top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Suara Varsity Boys Gegarkan Stadium

Oleh: Shafiq Muslim

Penyunting: Vikneswaran


Sumber: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Okt - Perlawanan Piala Cabaran 2019 antara UKMFC dan JDT II yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 13 Oktober lepas dibanjiri dengan kehadiran seramai 400 penyokong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang rata-ratanya terdiri daripada ahli kelab Varsity Boys (VB), UKM.


Varsity Boys merupakan kelab penyokong bola sepak rasmi UKM yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan UKM, di mana mereka akan sama-sama turun padang ke setiap perlawanan sukan yang berkaitan pasukan UKM.


Presiden VB, Fakhrullah Azmin, 24 sewaktu ditemu bual oleh wartawan Nadi Bangi menyatakan bahawa objektif utama penubuhan kelab ini adalah untuk memupuk semangat cinta akan UKM yang merupakan tempat mereka menimba ilmu selama ini.


“Semangat cinta akan universiti ini yang kita mahukan, VB bukan sahaja menyokong pasukan bola sepak, tetapi kelab ini menyokong apa jua sambutan dan perlawanan yang diwakili oleh UKM kerana bagi kami penyokong adalah aset penting pasukan yang merupakan sebahagian daripada pasukan itu sendiri.


“VB memupuk nilai kekeluargaan dalam kalangan ahli, saya yakin apabila adanya nilai itu dalam sesebuah organisasi maka ianya akan terus bergerak dengan lebih baik kerana kami akan terus menyokong antara satu sama lain tidak kira dalam apa jua keadaan. Keseronokan menjadi ahli VB hanya boleh dirasai jika anda menyertai kami.” Kata Fakhrullah.


Penyokong UKMFC yang hadir pada perlawanan akhir di antara UKMFC dan JDT II kebanyakannya menyatakan rasa puas hati kerana dapat bersama-sama turun padang untuk menyokong pasukan bola sepak kegemaran mereka secara langsung.


Salah seorang ahli VB yang datang menyaksikan perlawanan tersebut iaitu Muhammad Faiq, 22 memberitahu bahawa dia berasa sangat bangga dan teruja kerana kehangatan suasana perlawanan akhir ini bukanlah seperti perlawanan biasa-biasa yang pernah dihadirinya dan VB juga telah membuat persiapan rapi bagi perlawanan ini.


“Bagi pihak VB kami telah melakukan pelbagai persiapan dari segi peralatan muzik, lagu dan sebagainya. Kami juga turut mencipta beberapa lagu untuk perlawanan akhir ini bagi memastikan sorakan kami dapat memberikan suntikan yang bermakna kepada pemain UKMFC.” Kata Mohd Hazrul Izzwan, 22 yang juga ahli VB.


Menurut salah seorang ahli VB perempuan, Nur Zulaikha, 21 walaupun dia seorang perempuan tetapi dia sangat suka menonton perlawanan bola sepak dan ingin sekali menyertai pasukan penyokong bola sepak seperti Ultras Malaysia, kini dengan adanya VB di UKM sekaligus telah membuka peluang untuknya bagi menyertai pasukan penyokong bola sepak seperti yang diidam-idamka.


Warga UKM yang berminat untuk menyertai sebagai ahli, mendapatkan maklumat serta ingin mengikuti perkembangan aktiviti semasa VB ini, anda boleh melayari Instagram rasmi @varsityboysofficial bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini tentang mereka.


Terdahulu, pada perlawanan ini UKMFC hanya terpaksa berpuas hati dengan mendapat Naik Juara selepas tewas 6-5 kepada JDT II menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 1-1.

173 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page