top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Sungai Batu Kota Peleburan Besi Purba

Oleh: Farhan Nasir

Penyunting: Ercy Gracella A


Sumber: Portal Berita mStar


Jika anda menelusuri jalan di kawasan Merbok, Sungai Petani, Kedah, pastinya anda akan tertarik dengan beberapa struktur binaan yang terletak di kiri dan kanan jalan tersebut. Kawasan tersebut dikenali dengan nama Sungai Batu dan struktur-struktur bangunan yang terdapat di kiri dan kanan jalan tersebut adalah merupakan Tapak Arkeologi Sungai Batu. Jadi, apa yang ada di tapak arkeologi tersebut dan apakah rahsia yang terdapat dikawasan tersebut?


Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, apa yang telah mereka jumpai sepanjang proses penggalian di tapak tersebut adalah alat peniup angin yang dipanggil ‘tuyere’, peralatan penting dalam industri kuno peleburan besi. Tuyere berbentuk bulat panjang bersaiz lapan inci dan terdapat lubang di tengahnya yang digunakan masyarakat purba Sungai Batu ketika itu untuk mengepam udara di relau semasa proses peleburan.


Lebih dua juta tuyere dijumpai di tapak tersebut berserta 12 tapak peleburan dan bilangan bijih besi yang sangat banyak. Dapat dibayangkan betapa sibuknya industri peleburan besi pada ketika itu. Alat tersebut dipanggil tuyere kerana ia dijumpai pertama kalinya di Perancis tetapi tidaklah begitu banyak, hanya 20 unit sahaja.


Jika hendak dibandingkan dengan Sungai Batu yang jumlah tuyerenya berjuta, maka terbuktilah tapak tersebut berfungsi sebagai industri peleburan besi terawal di Asia Tenggara iaitu pada kurun keenam sebelum Masihi atau 535 BCE.


TIADA PRODUK


Kajian yang dilakukan oleh pihak PPAG USM di tapak ekskavasi Sungai Batu yang lokasinya terletak dalam ladang kelapa sawit di jalan raya baru Merbok-Semeling sejak 2009, telah membuktikan bahawa tapak tersebut adalah tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara. Perkara ini telah dibuktikan berdasarkan ujian pentarikhan yang ditemui di tapak jeti, tapak peleburan besi dan syahbandar iaitu monumen pentadbiran yang berusia 2,600 tahun selepas kewujudannya pada 535 sebelum Masihi.


Melalui penemuan tersebut, Sungai Batu ini menjadi sebahagian daripada tamadun kerajaan Kedah Tua yang didapati menjalankan sistem ekonomi yang berteraskan kepada industri peleburan besi. Namun begitu, kumpulan penyelidikan PPAG USM berhadapan dengan kesulitan dalam melengkapkan kajian perusahaan kuno tersebut. Tiada sebarang produk siap yang mereka jumpai setelah tiga bulan menjalankan proses ekskavasi. Tiada apa-apa senjata, melainkan hanya pisau kecil yang dipercayai milik persendirian.


Jadi, timbul persoalan iaitu dimanakah produk akhirnya sedangkan pusat peleburan besi ini telah ditemui. Bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang sangat mustahil apabila tiada satu pun produk besi yang berjaya dijumpai sedangkan terdapat lebih 10 pusat peleburan dan jutaan tuyere di tapak tesebut. Hal ini merunsingkan kumpulan penyelidik PPAG.


JONGKONG BESI


Dalam merungkai masalah tersebut, Mokhtar bersama pasukannya mengambil keputusan untuk mengkaji balik semua yang berkaitan dengan industri logam lama. Pelbagai bahan bacaan telah dikaji semula dan mereka mendapati bahawa produk yang dihasilkan oleh masyarakat purba Sungai Batu bukanlah seperti apa yang mereka fikirkan.


Mereka membuat kesimpulan bahawa masyarakat zaman tersebut menghasilkan jongkong besi. Namun, mereka sekali lagi berdepan dengan masalah apabila mereka gagal menemui sebarang jongkong besi semasa proses ekskavasi seluas 4 kilometer diladang itu. Apabila bercakap mengenai jongkong, ramai individu termasuk pakar yang menganggap ia berbentuk segi empat yang sempurna walhal tidak ada satu pun tamadun awal ketika itu yang terlibat dalam perusahaan yang menghasilkan jongkong besi sempurna berdasarkan bukti-bukti sejarah dunia.


PPAG mengenalpasti perbezaan jongkong besi semasa tempoh pembinaan awal tamadun Timur Tengah bagi mencari jawapan kepada permasalahan itu dan mendapati segala yang terhasil daripada proses peleburan dan mengalir keluar daripada relau, tidak kiralah apa bentuk sekali pun, ia adalah jongkong besi. Kebiasaannya ia berbentuk seperti sisa besi.


LOKASI PENTING


Menerusi penemuan tersebut, Mokhtar yakin jongkong besi tersebut dihasilkan untuk tujuan dieksport keluar daripada kawasan tersebut. Hal ini turut membuktikan bahawa Sungai Batu telahpun memainkan peranan yang cukup besar dalam perkembangan tamadun rantau Asia Tenggara selain merupakan lokasi yang amat penting dalam peta dunia suatu ketika dahulu.

Mokhtar berkata terdapat beberapa hasil penulisan sejarah yang telah menceritakan kepentingan Sungai Batu purba dalam perusahaan besi serta keunggulan kerajaan tamadun Kedah Tua yang pernah wujud ditapak berkenaan seperti satu puisi Tamil iaitu ‘Pattinappalai’.


SIAPA PEMILIK KERAJAAN


Walaupun telah merungkai beberapa penemuan, namun pasukan PPAG masih belum menemui sebarang bukti mengenai manusia atau pemilik kerajaan tersebut. Mokhtar tetap yakin masyarakat purba Sungai Batu ketika itu telah pun memulakan satu tamadun yang hebat dan pastinya mereka bukanlah calang-calang orangnya. Akan tetapi, siapakah pemilik kerajaan ini?


Timbul tanda tanya lain seperti adakah ia dimulakan oleh orang Melayu atau sebaliknya? Persoalan ini masih menjadi misteri dan ini antara misi utama pasukan arkeologi Mokhtar untuk terus merungkai rahsia yang masih belum terungkai di Sungai Batu.


595 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page