top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Takdir Penyanyi Berjiwa ‘Leman’ Tersingkir Di Minggu Ke-10

Penulis: Raihan Farhanna Binti Mohamed Rizal

Penerbit: Emmyllisa Anak Achai


Sumber: myBERITA



SHAH ALAM, 26 Nov: Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 32, berada di kedudukan yang tercorot pada minggu ke-10 iaitu minggu suku akhir bagi All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.


Persembahan Aliff yang menyanyikan lagu Gambus Jodoh dari filem klasik Madu Tiga, nyanyian asal Tan Sri P.Ramlee & lagu Cindai dari Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak membuahkan hasil yang diingini apabila persembahannya tersebut tidak memberikan impak yang padu kepada ketiga-tiga juri mengakibatkan Aliff terkandas pada minggu suku akhir.


Perbezaan markah adalah amat ketara antara Aliff dengan penyanyi yang berada ditempat yang ke-8 iaitu Liza Hanim, 44, yang mendapat markah 63.25 peratus berbanding dengan Aliff yang hanya berjaya memperolehi 55.75 peratus sahaja.


Penyanyi tersebut menyatakan bahawa dirinya sudah sakit sejak tiga minggu yang lalu dan dua minggu kebelakangan ini, penyanyi tersebut bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor. Aliff turut disahkan menghidapi penyakit Rhinosinusitis, sekaligus menyebabkan dia berpendapat bahawa itu adalah salah satu punca penyingkirannya.


Selain itu, menurut ketua juri All Stars Gegar Vaganza (GV10), Datuk Ramli Ms, Aliff terlihat seperti kehilangan fokus dan tidak memberikan usaha yang sepenuhnya, menyebabkan kualiti nyanyiannya menjadi kurang memuaskan.


“Dia hilang fokus, sangat ketara pada bahagian nyanyian dan penjiwaan lagu,” kata Datuk Ramli Ms.


Pada dua minggu lalu, Aliff telah berhasil membuatkan banyak penonton terpaku dan terhibur dengan persembahannya dengan menyanyikan lagu Cek Mek Molek nyanyian Datuk M. Daud Kilau. Keberhasilan ini bahkan membuat Aliff meraih gelaran penyanyi 'leman' dari Datuk Ramli Ms.


“Alhamdulilah, Aliff sudah diberi peluang untuk terus beraksi selama 10 minggu sehingga ke peringkat suku akhir dan ini adalah pentas terbesar dalam kerjaya Aliff.”


“Bermacam memori indah dan pahit getir yang telah Aliff lalui di mana pada masa sama saya juga perlu mengharungi ujian kesihatan,” kata Aliff Aziz.


Syafiqah Afiqah, 25, menyatakan bahawa konsert Aliff pada malam ini walaupun tidak digemari oleh para juri, namun sebagai seorang peminat tegar, dia merasakan bahawa penyanyi kelahiran Singapura ini telah melakukan yang terbaik bagi menghiburkan peminat-peminatnya yang menggelarkan diri mereka Aliff Aziz Fans.


“Walaupun faktor kesihatan Aliff kurang baik dan ia menjejaskan persembahannya pada malam ini, namun bagi saya Aliff telah melakukan yang terbaik apabila menyampaikan lagu-lagu yang ditugaskan pada minggu lepas dengan cara Aliff tersendiri.”


“Bagi saya sebagai seorang peminatnya, ia sudah memuaskan kerana Aliff telah berusaha yang terbaik”, katanya.


Namun begitu, Muhd Rafiq, 28, menyatakan bahawa dirinya bersetuju dengan komen-komen yang diberikan oleh para juri walaupun dia merupakan peminat Aliff Aziz.


“Saya menyokong komen yang diberikan oleh Datuk Ramli Ms mengenai Aliff sepertinya tidak memberikan fokus yang sepenuhnya ketika melakukan persembahan sebentar tadi.”


“Sebagai seorang peminat, kita seharusnya menghormati komen yang diberikan daripada mereka yang lebih mahir. Walaupun sebagai peminat, kita sering bersikap berat sebelah dengan menyokong penyanyi yang kita sukai namun kita kena berbalik semula kepada realiti bahawa ini adalah suatu pertandingan di mana akan terdapatnya pasang dan surut dalam setiap persembahan yang disampaikan oleh para penyanyi,” katanya.


Sementara itu, kedudukan teratas menjadi milik penyanyi Naqiu dan juga Hady Mirza dimana kedua-duanya merupakan juara bagi Gegar Vaganza Musim Ke-6.


22 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page