top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

‘Tidak Tepati Janji’ Punca Tun M Lawan Semua Presiden UMNO

Penulis: Amir Aiman

Penyunting: Farzana Uyub


Sumber: Youtube


PETALING JAYA, 21 Nov - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan punca lawan semua presiden UMNO disebabkan oleh sikap mereka yang tidak menepati janji dan bertentangan dengan dasar perjuangan UMNO ketika menjawab pertanyaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di dalam podcast yang lalu.


Podcast Keluar Sekejap pada episod 65 yang dikendalikan oleh KJ bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan telah meraih perhatian orang ramai ekoran soalan panas yang diberikan kepada Tun M terhadap kelantangan beliau dalam menentang semua presiden UMNO selepas melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.


“Kerana mereka membuat perkara bertentangan dengan dasar perjuangan UMNO”, kata Tun M.


Dalam pada itu, beliau juga telah mengkritik pemerintahan Perdana Menteri sebelum ini dengan menyatakan Tunku Abdul Rahman tidak membantu nasib orang Melayu. Disamping, lantang bersuara sehingga perlu mengambil tindakan terhadap kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Najib dan Tun Abdullah.


“Bercakap tentang menentang Tunku, setelah merdeka, dia tak buat apa pun untuk tolong orang Melayu. Sebab itu saya tegur walaupun pada ketika itu saya bukanlah ketua apa-apa kecuali di Kedah sahaja.


“Apabila pemimpin buat sesuatu yang saya berpendapat tidak menepati janji-janji parti, saya terpaksa tegur dan ambil tindakan.


“Berkenaan Abdullah, dia berjanji dengan saya tetapi tidak buat. Selepas itu, bila dengan Najib saya sokong 100 peratus. Tiba-tiba dia datang dengan idea Cash Is King (Rasuah itu boleh diterima) saya tidak boleh terima”, katanya lagi.


Tambahan itu, beliau juga telah mengulas pemerintahan terkini UMNO dan mengatakan bahawa pemerintahan tersebut berpaksikan kepada kepentingan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi supaya terlepas daripada perbicaraan mahkamah.


“Ya, saya dapati bahawa yang penting bagi Zahid ialah terlepas daripada dibicara. Dan apabila dia menjadi Timbalan Perdana Menteri, tiba-tiba AG (Peguam Negara) tarik balik tuduhan. AG kalau nak tarik balik tuduhan perlu pergi ke mahkamah dan beritahu kenapa ia ditarik balik”, katanya.


Walau bagaimanapun, beliau masih sayang akan UMNO tetapi hanya yang dibentuk pada tahun 1946 dan bukan yang sekarang. Oleh kerana mereka telah berjuang demi bangsa, negara dan agama, ujarnya sebelum mereka menghentikan seketika segmen tersebut di dalam podcast.


72 views6 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page