top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Topeng yang dibuang, dikutip dan dijual semula?


Wartawan: Liu Jiun Er

Penyunting: Amira Zulaikha Saidon

Sumber: Twitter


Selesai menggunakan topeng muka atau face mask ketika berada di luar rumah, anda pun bertindak mencabut topeng muka tersebut dengan tangan yang sudah memegang pelbagai barangan di pasar raya tadi. Kemudian dengan sewenang-wenangnya topeng muka tersebut dibuang ke dalam tong sampah malah mungkin dicampak di tepi jalan sahaja. Sedarkah anda sebenarnya mungkin telah bersubahat mengakibatkan jangkitan Covid-19 kepada orang lain?


Ke belakangan ini, satu gambar telah tular di Twitter menunjukkan seorang lelaki warganegara China yang mengutip topeng muka di tepi jalan. Tindakan tersebut dipercayai berlaku kerana lelaki tersebut ingin menjual semula kepada topeng muka tersebut kepada orang awam. Sekiranya benar, perlakuan ini sangat bahaya kerana berisiko tinggi untuk menularkan lagi wabak Covid-19 kepada masyarakat.


Persoalannya, apakah langkah yang betul selepas menggunakan topeng muka? Perlukah kita potong dan koyakkan topeng muka dahulu sebelum membuang ke dalam tong sampah? Apakah risiko pula kepada pakcik yang bertugas memungut dan memunggah sampah setiap hari ke dalam lori?


Walaupun topeng muka yang terpakai pada waktu pandemik COVID-19 tidak diklasifikasikan sebagai bahan buangan berbahaya, ini tidak bermakna orang awam tidak perlu peka tentang cara pembuangannya.


Topeng muka yang telah digunakan tidak perlu digunting tetapi harus dibuang dengan cara yang betul. Masyarakat juga digalakkan untuk membuang topeng muka ke dalam tong sampah di rumah dan bukan di tempat awam. Hal ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku seperti penyalahgunaan topeng terpakai oleh golongan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.


Demi keselamatan dan mengurangkan risiko jangkitan kepada orang awam, pembuangannya sepatutnya mengikuti prosedur yang boleh mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 yang semakin menular ini.


Langkah pertama: Basuh tangan anda dahulu dengan sabun atau jika ketiadaan air boleh menggunakan hand sanitiser.


Langkah kedua: Tanggalkan topeng muka dengan memegang gelung atau telinga topeng tanpa menyentuh lapisan luar atau dalam topeng.


Langkah ketiga: Lipat topeng tersebut tanpa mendedahkan lapisan yang ‘tercemar’ dengan bendalir dari mulut dan hidung.


Langkah keempat: Bungkuskan topeng muka ke dalam plastic atau kertas sebelum dibuang ke dalam tong sampah.


Langkah kelima: Basuh tangan anda dengan sabun.


Ayuh rakyat Malaysia, kita sama-sama jalankan tanggungjawab untuk membendung wabak ini dari terus menular dalam negara kita. Jangan hanya menunggu tindakan dari kerajaan, sebaliknya kita perlu berganding bahu menghadapi musuh yang sama iaitu wabak Covid-19. Marilah kita patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan dan duduk diam-diam di rumah.


23 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page