top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Valve Tangguh TI 2020

Updated: Jun 8, 2020

Oleh: M.Nuraiman

Penyunting: Syukri Mazli

Sumber : Laman web ESL One (https://www.esl-one.com)

3 Jun – Valve Corporation yang berpengkalan di Bellevue, Washington kini merasai kesan akibat daripada wabak COVID-19 yang melanda sejak 4 bulan yang lalu. Salah satu pertandingan e-sport terbesar dunia anjuran Valve iaitu Dota 2 : The International terpaksa ditangguhkan ekoran daripada wabak tersebut.


Pihak penganjur mengumumkan bahawa pertandingan tersebut yang akan diadakan di Ericsson Global Arena di Stokholm Ogos ini terpaksa ditangguhkan ke tahun 2021. Walaubagaimanapun, tarikh yang sebenar masih belum dapat dipastikan.


“ Kami masih belum menetapkan sebarang kebarangkalian tarikh yang pasti tetapi ianya berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun 2021. Melihat kepada landskap yang tidak menentu yang menghadkan aktiviti berkumpulan yang besar, trajektori virus, dan juga polisi pergerakan secara global, kami belum mempunyai keyakinan yang tinggi dalam menetapkan tarikh dalam masa terdekat,” merujuk kepada pengumuman yang dibuat di laman blog Dota 2.


Jika kita lihat pada pertandingan yang sebelum ini, pihak Valve mengumpul wang kemenangan melalui pembelian Battle Pass bermusim. Battle Pass ini dapat dibeli oleh setiap pemain Dota 2 seluruh dunia secara atas talian dan sebahagian besar wang hasil kutipan ini akan dimasukkan kedalam Prize Pool atau dalam erti kata lain, tabung wang kemenangan. Namun begitu, pengumuman berkenaan Battle Pass pada tahun ini terpaksa dikeluarkan tanpa pertandingan dalam masa terdekat.


Persoalannya kini, bilakah tarikh yang terdekat pertandingan The International ini akan diadakan? Adakah wang terkumpul pada pertandingan kali ini akan menunjukkan lonjakan yang agak tinggi akibat daripada jumlah pemain yang terpaksa berkurung di rumah? Adakah Valve akan mempertimbangkan keputusan untuk menjalankan pertandingan ini secara atas talian tanpa berkumpul di stadium seperti pertandingan pada tahun-tahun sebelumnya?


Jika dilihat pada keadaan statistik COVID-19 kini, ianya masih belum dapat dipastikan lagi tambahan pula dengan keadaan di negara seperti Amerika Syarikat di mana kes masih belum menunjukkan penurunan. Keputusan untuk mengadakan pertandingan ini pada tahun 2021 mungkin adalah langkah yang terbaik buat masa sekarang.


Rata-rata peminat Dota 2 : The International ini kelihatan agak kecewa dengan keadaan di mana pertandingan ini terpaksa ditangguhkan kerana ianya merupakan salah satu pertandingan yang amat dinanti-nantikan saban tahun oleh peminatnya. Namun begitu, Valve mungkin dapat menyaksikan lonjakan jualan Battle Pass bermusim ini akibat lebihan masa para pemain yang terkurung di rumah. Namun begitu, pihak Valve seharusnya memberikan ganjaran yang lebih daripada setiap pembelian pas tersebut. Merujuk kepada kemaskini baharu daripada Valve, setiap pemain mendapat ganjaran lebih banyak hasil daripada aduan para pemain yang menginginkan ganjaran yang lebih daripada pembelian pas tersebut.


Persoalan ketiga ini mungkin tidak dapat dilaksanakan akibat daripada sekatan peraturan daripada Valve sendiri. Hal ini demikian kerana wang ganjaran yang diperoleh dengan kemenangan The International ini mencecah puluhan juta USD dan ianya perlu dilakukan secara langsung dihadapan penonton dan pegawai pertandingan bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan kelajuan internet yang mungkin berbeza-beza yang akan mengakibatkan ketidakadilan berlaku sekaligus mendatangkan masalah yang lain.


Kesimpulannya di sini, walaupun COVID-19 ini kelihatan hanya menyerang dunia nyata, namun begitu kehidupan di alam maya juga agak terkesan. Seharusnya kita semua berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Perintah kerajaan seharusnya diikut dengan baik agar kita semua dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.

6 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page