top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

‘Alang Rentak Seribu’ Juara Festival Teater UKM 2019

Oleh: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar

Penyunting: Siti Norasikin Binti Ariffin


Sumber: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar

Bangi, 7 Dis – Alang Rentak Seribu dari Kolej Burhanuddin Helmi merangkul gelaran juara dalam Festival Teater Universiti Kebangsaan Malaysia (Fester UKM) 2019 yang berlangsung di Panggung Seni, UKM pada 23 November hingga 1 Disember lalu.


Fester UKM merupakan sebuah acara tahunan anjuran Kelab Teater Rimba Artisukma UKM yang telah berjaya mengumpulkan penggiat serta peminat seni teater dari dalam dan luar UKM sepanjang empat tahun penganjuran.


Festival ini menjadi pentas utama dalam mempertandingkan sebanyak 12 karya seni teater oleh kolej-kolej kediaman di UKM. Karya-karya yang dipertandingkan terdiri daripada naskah yang diolah dari karya asal oleh para peserta itu sendiri bagi merebut gelaran juara.


Alang Rentak Seribu merupakan hasil karya Dato’ Syed Alwi arahan Nur Marsya Amani Jamil iaitu pelajar tahun 3 Fakulti Undang-Undang. Menurut Marsya, “Kami tidak menyangkakan kemenangan ini kerana waktu latihan adalah terhad ditambah pula dengan tahap kesihatan beberapa orang pelakon yang tidak berapa baik pada saat-saat akhir.”


Tambahnya, “Matlamat kami lebih kepada menjalankan pementasan dengan lancar dan sehabis baik sahaja supaya dapat memberikan keadilan yang selayaknya kepada naskah dan mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh penulis.”


“Saya berharap ahli-ahli Kelab Teater Tekad tidak mudah rasa selesa dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti persembahan pada masa akan datang khususnya dalam pemilihan naskah dan pelakon yang sesuai,” ujarnya lagi.


Sementara itu, ketua juri Fester UKM, Ismail Kassan berkata, “Setiap kumpulan yang bertanding mempunyai kekuatan sendiri dan masing-masing telah melakukan pementasan yang baik. Program sebegini perlu diperbanyakkan lagi agar dapat melahirkan lebih ramai penggiat seni teater kelak.”


Selain merangkul juara, Alang Rentak Seribu turut meraih gelaran Pengarah Terbaik, Pelakon Utama Lelaki Terbaik dan Lakonan Berkumpulan Terbaik.


Juara membawa pulang hamper, sijil, piala iringan dan wang tunai bernilai satu ribu ringgit serta piala pusingan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.


Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim.

165 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page