top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Anto Ke-22 Tampil Kelainan dengan Persembahan yang Menarik

Updated: Mar 8, 2020

Oleh: Vimala Shanmugam

Penyunting: Nazrin Sarnin



BANGI, 7 Mac - “Saya pernah menghadiri acara Anto beberapa kali, dan acara kali ke-22 ini merupakan yang terbaik kerana terdapat pelbagai pertunjukan baharu dan menarik,” kata Siveram Marthammuthu, seorang alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Antologi Sajak dan Cerpen (Anto) telah diadakan buat kali ke-22 di Panggung Seni, UKM pada 29 Februari 2020 yang lalu.


Anto merupakan acara pelancaran buku antologi sajak dan cerpen bahasa Tamil, yang dikarang oleh pelajar IPTA dan IPTS dari seluruh Malaysia. Semua karya tersebut dibukukan dan diterbitkan dalam buku tahun ini yang berjudul Vaazh(l)munai Varigal.


Program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Perwakilan Mahasiswa India (PMI), UKM. Acara tahun ini telah dimeriahkan lagi dengan pelbagai pertunjukan seperti tarian tradisional masyarakat India dan juga persembahan Isai Sollum Kathai, yang merupakan lakonan drama dengan penceritaan dalam bentuk lagu.


Sudeshna Rajasingam (Psikologi) yang merupakan salah seorang pengunjung acara tersebut menyatakan, “biasanya acara pelancaran buku agak membosankan, tetapi program Anto ini disusun padat dengan pelbagai persembahan yang menarik menyebabkan audiens tidak sedar masa berlalu.”Antara objektif program Anto ini adalah untuk menggalakkan penggunaan dan penulisan karya-karya bahasa Tamil dalam kalangan mahasiswa universiti dengan inovasi program berteraskan pertandingan.


Johan bagi kategori Penulisan Cerpen Tamil, Kartigesan Murugaya


Menurut Ketua Pengarah Projek Anto ke-22, Shaline Murugan (Genetik), program ini seharusnya diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang bagi mengekalkan penggunaan bahasa ibunda masyarakat Tamil agar tidak hilang ditelan zaman.


“Dalam era penggunaan bahasa Tamil yang semakin berkurang dalam kalangan masyarakat India, saya berasa amat bangga kerana dapat melibatkan diri dalam inisiatif yang diadakan oleh PMI UKM untuk mengadakan acara seperti ini yang dapat melahirkan apresiasi mahasiswa universiti terhadap bahasa Tamil.”


Program Anto ke-22 telah dirasmikan oleh Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Haji Syed Ibrahim Bin Kader.





133 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page