top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ban Ki-moon terima Anugerah Ijazah Kehormat UKM

Oleh: Ateefa Zulkifli

Penyunting: Fatin Nasuha


Sumber: Instagram @ukminsta

BANGI, 7 Dis – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan kepada bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pada 27 November yang lalu.


Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang juga Canselor UKM, Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) bersempena Konvokesyen UKM Ke-47.


"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan diatas ijazah kehormat ini yang akan terus menjadi motivasi dan pendorong kepada saya untuk membantu orang lain tanpa ada siapa yang tertinggal di belakang," ujar Ban Ki-moon dalam syarahannya.


Beliau menyeru agar semua pihak menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) PBB 2030 bagi membentuk sebuah pembangunan mapan dalam masa kurang daripada 11 tahun.


Melalui syarahannya bertajuk, Global Peace Sustainable Development, Ban Ki-moon menekankan bahawa perubahan iklim merupakan suatu cabaran global yang memerlukan kerjasama semua pihak baik yang tua mahupun muda untuk menanganinya.


"Tindakan dan inisiatif individu juga amat penting dalam usaha menangani perubahan iklim ini. Masyarakat perlu mengurangkan pembaziran air dan elektrik serta ambil tahu cara penggunaannya yang optimum. Amalan kitar semula dan pengurangan penggunaan beg plastik perlu diteruskan," jelas Ki-moon.


Beliau yakin institusi pendidikan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia mampu menggerakkan generasi muda untuk membantu perubahan tersebut demi pembangunan mapan dan keamanan sejagat.


Turut hadir pada majlis tersebut, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Burhanuddin dan Naib Canselor UKM, Prof Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor.

46 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page