top of page
  • Writer's pictureSudais Ferhard

Banjir Di Kuala Lumpur, 141 Tahun Tanpa Solusi

Penulis: Sudais Mohd Perhard

Penyunting: Nurul Asyiqin Abd Rashid


Sumber: Rileklah.com


Setiap kali berlakunya hujan lebat di Kuala Lumpur, pusat bandaraya serta kawasan sekeliling pastinya akan dilanda banjir yang teruk. Pada bulan Disember 2021, hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan banjir kilat di sekeliling kawasan Kuala Lumpur yang membawa kepada anggaran kerugian sebanyak RM3.1 billion sebagai kos pemulihan.


Sebenarnya, masalah banjir di Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang baharu dan merupakan bencana biasa yang berlaku di Malaysia kebiasaanya pada awal dan akhir setiap tahun. Sejak tahun 1800-an lagi, banjir telah melanda bandar ini yang namanya dipetik daripada penemuan kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak di pusat ibu kotanya.


Antara banjir besar terawal yang pernah melanda bandar Kuala Lumpur adalah pada tahun 1881, di mana sebuah banjir besar telah memusnahkan struktur bangunan-bangunan kayu di sekitar bandar Kuala Lumpur. Pada abad 70-an dan 80-an, sekitar 9% tanah Malaysia dan hampir 2.7 juta orang terjejas akibat banjir-banjir yang berlaku pada tahun 1967, 1971, 1973 dan 1983. Terutamanya, banjir besar 1971, di mana bandar Kuala Lumpur terus hanyut akibat hujan lebat yang berterusan selama seminggu. Air Sungai Klang dan Sungai Gombak telah melimpah dengan teruk sehingga 32 orang terbunuh dan keselamatan seramai 180,000 orang awam terjejas.


Masalah banjir yang ada sejak kelahiran Kuala Lumpur dan sehingga kini semakin memburuk telah membawa kepada satu persoalan. Mengapakah tiadanya infrastruktur, dasar mahupun langkah yang berjaya membendung masalah banjir di Kuala Lumpur, sedangkan ibu kota negara ini mempunyai sejarah banjir besar sejak hampir 141 tahun yang lalu?


Ya, perubahan iklim menyebabkan cuaca untuk menjadi lebih ekstrim dan alam semula jadi tidak boleh dilawan. Kebanyakan banjir yang berlaku merupakan hasil semula jadi kitaran monsun semasa musim hujan tropika yang dicirikan oleh hujan lebat dan kerap sekitar Oktober hingga Mac. Kajian oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan bahawa purata taburan hujan semakin meningkat sejak abad 60-an, di mana taburan hujan adalah sebanyak 1.5m, dan telah naik ke 2.4m pada abad 80-an. Pada tahun 2021 pula, purata taburan hujan telah meningkat sebanyak 2.6m.


Akan tetapi, ketidakcekapan manusia merupakan punca masalah yang jauh lebih besar dalam hal ini. Kuala Lumpur bukan sahaja dibanjiri dengan air, tetapi juga dengan kadar pendudukan masyarakat yang semakin meningkat di kawasan-kawasan banjir seperti di hilir dan lembah. Pada tahun 1991, kadar penduduk di Kuala Lumpur hanya sebanyak 1.1 juta dan kini telah mencapai 1.9 juta pada tahun 2017. Kadar penduduk yang meningkat juga mengakibatkan pertambahan aktiviti seperti perlombongan, pembukaan penempatan agrikultur, pembalakan dan pembangunan bandar.


Aktiviti ini telah menyumbang kepada hakisan tanah, kelodak dan perubahan terhadap sistem hidrologi sedia ada dan semula jadi. Tambahan pula, perparitan yang tidak mencukupi disebabkan oleh pembangunan yang tidak terkawal dalam kebanyakan kawasan bandar juga meningkatkan kebarangkalian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat.


Sejak malapetaka tahun 1971, pelbagai projek mitigasi banjir telah dijalankan yang merangkumi langkah seperti mengosongkan, mendalami dan melebarkan sungai yang mengalir ke bandar, mengukuhkan tebingnya dan membina tembok penahan banjir.


Antaranya ialah Kuala Lumpur Flood Mitigation Project (KLFMP) yang dilancarkan pada tahun 1988 sebagai inisiatif untuk membendung masalah banjir dengan kos sebanyak $385.5 juta. Projek ini menerima sokongan kerajaan Jepun yang menjalankan kajian di bawah Japan International Cooperation Agency (JICA). Pada ketika itu, projek tersebut dijangka untuk menyelesaikan masalah banjir di bandar Kuala Lumpur secara kekal. Namun, jelas bahawa projek tersebut tidak berjaya, sebaliknya banjir semakin teruk.


Setakat ini, tiada projek tebatan banjir yang sampai kos KLFMP pada tahun 1971. Jabatan Perairan Selangor (JPS) telah anggarkan keperluan peruntukan kewangan sebanyak RM20 billion untuk mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur. Akan tetapi, dalam setiap Rancangan Malaysia, JPS hanya menerima peruntukan kewangan sebanyak RM1 billion sehingga RM2 billion untuk tempoh lima tahun. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 hanya memberi peruntukan RM1 billion untuk projek mitigasi banjir.


Kerajaan negeri telahpun mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15 bilion untuk tahun 2023 hingga ke 2030, tapi tambahan tersebut masih tidak mencukupi kerana ia hanya merangkumi RM 1.8 bilion setiap tahun. Adakah wakil rakyat memikir bayaran yang melampaui berbillion Ringgit Malaysia setiap tahun untuk menanggung kerosakan yang berlaku akibat banjir adalah solusi yang mampan berbanding kos pembinaan infrastruktur yang dapat mencegah masalah banjir sekaligus?


Tahun ini, lapan syarikat telah mencadangkan projek mitigasi banjir kepada kerajaan yang memerlukan kos di antara RM5 billion hingga RM15 billion. Antara syarikat yang mencadangkan projek termasuklah Gamuda Bhd yang membina SMART Tunnel di Kuala Lumpur pada tahun 2007 dengan kos sebanyak RM2 billion. Projek cadangan Gamuda adalah SMART2 Tunnel iaitu sebuah terowong bawah tanah sepanjang 22km yang dilengkapi dengan saluran pemintas dan sistem pam air banjir ke laut. Terowong ini akan melangkaui kawasan banjir seperti Taman Sri Muda, Shah Alam, Setia Alam, Bandar Klang dan Taman Sentosa.

Terdapat juga cadangan viral di media sosial untuk mengubah wawasan pembangunan bandar Kuala Lumpur ke arah pembinaan bandar span, atau dikenali juga sebagai “sponge city”. Konsep ini digunapakai untuk mengatasi masalah banjir kilat dan telah dibuktikan kejayaannya di beberapa negara lain, seperti China dan Thailand. Dengan konsep bandar span, sesebuah bandar mempunyai pengurusan air bandar yang lebih cekap melalui pengumpulan, penyimpanan dan perawatan air hujan dan sekaligus meningkatkan keupayaan untuk penyusupan air secara semula jadi.


Solusi tersebut bukanlah senang untuk dicapai. Bandar Kuala Lumpur sudah merupakan sebuah bandar yang cukup pesat dengan pembangunan yang tidak terkawal. Walaubagaimanapun, pengubahsuaian pembangunan bandar Kuala Lumpur secara menyeluruh mungkin merupakan solusi yang diperlukan jika kami ingin menyelamatkan bandar ini daripada hanyut dalam masa yang terdekat.


60 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page