top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

LEMBU MENDENGAR MUZIK MENJADI DAYA TARIKAN UTAMA DI FARM FRESH @ UPM

Penulis: Aisyah Antasya binti Shamsol Jazlisham

Penyunting: Muhammad Amir Ridzuan Bin Ruslee


Sumber Foto: Google


Pernahkah anda terfikir lembu mendengar muzik sewaktu mereka sedang berehat? Ironinya, itulah yang berlaku di Farm Fresh @ UPM, Serdang ini. Para lembu diberi ruang untuk mendengar muzik semasa mereka sedang berehat. Alangkah lebih terujanya pengunjung apabila mengetahui muzik yang didengari oleh lembu-lembu tersebut merupakan muzik bergenre jazz. Antara daya tarikan utama disini adalah lembu-lembu Holstein Jersey yang diimport dari Australia. Lembu-lembu ini diasingkan di sebuah kandang khas bertujuan bagi menghasilkan susu yang berkualiti. Penjagaan khusus oleh pihak Farm Fresh secara tidak langsung telah membuat para pengunjung berasa tertarik.


Tujuan lembu-lembu tersebut diberikan ruang untuk mendengar muzik adalah untuk menjaga kesihatan mental mereka agar mereka tidak mengalami sebarang tekanan. Perkara ini mempunyai perkaitan dengan penghasilan susu mereka. Menurut kajian, penghasilan susu yang berkualiti tinggi adalah daripada lembu yang sihat dan bahagia. Dalam erti kata lain, lembu-lembu tersebut perlu bebas dari sebarang tekanan. Tambahan, sekiranya lembu-lembu tersebut selesa dan jauh dari sebarang tekanan, bukan sahaja mereka menghasilkan susu yang berkualiti tinggi, malahan mereka juga meghasilkan kuantiti susu yang lebih banyak. Oleh disebabkan itulah telah terjawabnya persoalan mengapa produk tenusu berjenama Farm Fresh ini harganya lebih tinggi sedikit berbanding jenama susu lokal yang lain. Kualiti yang perlu dikekalkan adalah merupakan faktor utama yang membuatkan susu jenama ini terasa lebih lazat.


REPLIKA LEMBU


Bukan itu sahaja, replika-replika lembu di pintu masuk ladang itu juga menjadi salah satu daya penarik para pengunjung. Terdapat beberapa buah replika lembu yang membolehkan pengunjung untuk bergambar sebagai tanda kenang-kenangan berkunjung ke ladang tersebut. Terdapat juga sebuah kafe buat pengunjung yang disediakan. Sudah pasti susu Farm Fresh yang menjadi produk jualan utama di kafe tersebut. Ia merupakan salah satu strategi pemasaran tambahan. Malahan, terdapat juga kedai khas yang menjual aiskrim dan sayur-sayuran hasil daripada tanaman yang ada di ladang tersebut.



Sumber Foto: Google



Sumber Foto: Google


ZOO HAIWAN PELIHARAAN


Seterusnya, usai melawat lembu di kandang yang sedia ada, pengunjung juga boleh melihat jenis haiwan yang lain. Boleh dikatakan terdapat sebuah kawasan yang berupa seperti mini zoo dan menempatkan pelbagai jenis haiwan ternakan lain yang turut ada di ladang Farm Fresh tersebut. Antara haiwan yang ada termasuk arnab, rusa, ayam, itik dan banyak lagi. Sudah pasti kanak-kanak berasa teruja apabila melihat haiwan-haiwan ini. Haiwan-haiwan ini ditempatkan berdekatan dengan kandang lembu.



Sumber Foto: Google


TANAMAN


Bukan itu sahaja, di ladang Farm Fresh ini juga terdapat pelbagai jenis tanaman yang boleh dilihat oleh pengunjung. Menariknya, pengunjung akan menaiki traktor untuk dibawa pusing keseluruh ladang Farm Fresh tersebut bagi melihat setiap jenis tanaman yang ada. Antara tanaman yang ada termasuk kebun cili, sawi, dan macam-macam lagi. Keterujaan menaiki traktor bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak. Malahan orang dewasa juga berasa sangat seronok semasa berada di atas traktor tersebut. Ia mencipta satu kenangan yang menyeronokkan semasa menaiki traktor tersebut beramai-ramai.


Sumber Foto: Google


KOLABORASI


Farm Fresh merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia. Jika terlintas jenama ini di fikiran, tidak lain tidak bukan, sudah tentulah produk tenusu yang menjadi pilihan. Tahukah anda, ladang ini adalah sebuah kolaborasi Farm Fresh bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri (Industry Centre of Excellence ICOE)?



Sumber Foto: Berita Harian


UPM-Farm Fresh bekerjasama untuk mewujudkan Pusat Agro Pelancongan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang perniagaan tenusu dan menggalakkan generasi muda untuk meminati bidang pertanian. Ladang Tenusu ICOE ini dipasarkan sebagai inisiatif agritourism. Pakej ini membolehkan pengunjung merasai pengalaman berada di ladang tenusu dan menikmati elemen penting dalam pelancongan pertanian. Ianya termasuklah aktiviti rekreasi seperti zoo haiwan peliharaan, serta pelbagai jenis susu dan makanan berasaskan ternakan. Syarikat Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., yang bernaung di bawah firma induknya Holstein Milk Company Sdn. Bhd., memulakan inisiatif ini pada 2017 dengan 130 ekor lembu di UPM pada September 2019, dan mempunyai 418 ekor lembu menjelang November 2019. Kerjasama ini telah membina sebuah ladang yang mula menjadi pilihan sebagai tempat pelancongan terutamanya kepada ibu bapa.






19 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page