top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Konsert Sumbang Ekonomi dan Hiburan Buat Masyarakat Malaysia

Updated: Jan 30

Penulis: Ali Zaki

Penyunting: Izzah Tarmezi

 

Sumber Foto: Ali Zaki


Konsert di Malaysia bukan sahaja merupakan acara hiburan yang meriah namun memiliki impak yang positif terhadap ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Pendapatan daripada tiket konsert, penjualan produk dan sektor-sektor berkait tidak hanya menyokong artis dan pihak penganjur tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, konsert juga menjadi saluran untuk mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia dan memberi sokongan kepada industri kreatif serta pasaran muzik tempatan.

 

Lebih dari sekadar penghasilan ekonomi, konsert juga memberikan hiburan yang bermakna dan pengalaman bersama kepada masyarakat. Pengalaman tersebut bukan hanya menyenangkan tetapi juga mencipta kenangan yang sangat berharga. Dalam konteks ini, konsert tidak hanya menjadi medium hiburan, tetapi juga menyatukan masyarakat dalam satu pengalaman bersama yang menarik.

 

Sumbang Konsert Dari Sudut Ekonomi

 

Kehadiran konsert mampu menjadi pemacu ekonomi dengan menyumbang kepada pelbagai sektor. Proses penyelenggaraan konsert melibatkan perbelanjaan yang besar dalam pelbagai aspek seperti penyewaan tempat, perkhidmatan logistik, dan promosi. Ini membuka peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan kreatif serta memberi impak kepada perniagaan tempatan. Kedatangan penonton dari luar kawasan juga memberikan dorongan kepada industri pelancongan dan perkhidmatan lain seperti makanan dan penginapan.

 

Selain itu, konsert juga memainkan peranan penting dalam memajukan industri muzik tempatan. Ia menjadi platform untuk mempromosikan bakat-bakat tempatan dan mengekalkan identiti seni Malaysia. Melalui konsert, artis-artis tempatan berpeluang menyampaikan karya mereka secara langsung kepada penonton, memperkenalkan ragam budaya dan genre muzik tempatan kepada lapisan masyarakat yang lebih luas.

 

Sumber Foto: Google

 

Nadi Bangi sempat menemu ramah dengan salah seorang pengunjung bagi konsert FENIX 360 yang berlangsung pada 21 Januari lalu. Imran Yusof, 24 mengatakan konsert antara cara yang boleh dilakukan dalam memberi sumbangan kepada ekonomi negara terutama buat pengusaha. Mereka juga dapat mempromosikan barangan dan produk walaupun ia dilakukan secara percuma buat orang ramai. Ini sekali gus memberi kesan kepada kedai berhampiran yang lain dalam menikmati keuntungan bersama.

 

 

“Konsert ini sebenarnya beri sumbangan kepada ekonomi negara walaupun konsert tersebut percuma tetapi ia membuka peluang kepada pengusaha untuk mempromosikan produknya kepada orang ramai. Dalam pada itu, kedai-kedai berhampiran juga turut terkena tempias dimana pengunjung yang datang secara tidak langsung dapat meningkatkan penjualannya,” katanya.

 

 

Sumber Foto: Ali Zaki

 

Sumbang Konsert Dari Sudut Hiburan Sosial 

 

Konsert menyumbang kepada pembinaan hubungan sosial dalam masyarakat. Kedatangan ramai penonton untuk berkumpul dan menikmati persembahan secara langsung mencipta satu pengalaman yang tidak terhingga. Pengalaman ini tidak hanya menghiburkan tetapi juga memupuk semangat persaudaraan di kalangan penonton. Ia mencipta memori yang berharga dan merapatkan hubungan yang lebih erat antara peminat dan juga artis.


Pentingnya konsert dalam mengekalkan kebahagiaan masyarakat juga perlu diberi perhatian. Dalam dunia moden yang penuh dengan cabaran dan tekanan, konsert menjadi satu saluran untuk masyarakat meluahkan perasaan, melepaskan tekanan, dan mengalami kegembiraan bersama-sama. Pengalaman ini membawa kesan positif kepada kesejahteraan emosi dan mental masyarakat.

 

Menurut Pengunjung Konsert FENIX 360, Zuleykha Zahidin, 23, mengatakan dari sudut hiburan ia dapat meningkatkan kreativiti masyarakat melalui penghasilan musik dan lirik yang diketengahkan oleh para pemuzik. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan kehidupan masyarakat lebih tenang dan bahagia.

 

“Bagi sudut hiburan suntikan kreativiti juga dapat diberikan melalui alunan musik. Secara tidak langsung mereka dapat mempelajari dan menghayati penghasilan lirik yang cuba diketengahkan oleh band-band. Dan ia buatkan kehidupan masyarakat akan lebih tenang dan kekal bahagia,” ujarnya lagi.

 

Secara keseluruhannya, konsert di Malaysia bukan sekadar acara hiburan tetapi juga satu fenomena yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara dan kebahagiaan masyarakat. Perluasan impak ekonomi, pengembangan industri muzik tempatan, serta sumbangan kepada aspek sosial dan emosi masyarakat membuktikan bahawa konsert adalah elemen penting dalam pembinaan kelestarian dan kemajuan negara.


83 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page