top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Beli Dahulu, Bayar Kemudian Galak Rakyat Malaysia Berhutang?

Updated: Jan 10, 2022

Penulis: Hazlina Nasa Sutrisno

Penyunting: Alyaa Zainal

Sumber: Google


Konsep ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian' telah menjadi sebuah trend popular dalam transaksi pembelian dalam talian khususnya platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Zalora dan sebagainya, yang semakin lama semakin mendapat tempat kerana kemudahan kredit yang ditawarkan. Konsep ini menyerupai pinjaman peribadi yang dilakukan pembeli kerana jumlah pinjaman akan dibahagikan secara ansuran mengikut kadar yang ditetapkan.


Konsep ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ sebenarnya semakin popular di Malaysia sejak kebelakangan ini apabila munculnya teknik pembayaran melalui SPayLater (Shopee), LazPayLater (Lazada), Atome (Zalora), Hoolah dan sebagainya. Konsep ini agak berbeza dengan pembayaran melalui kad kredit kerana sebuah syarikat misalnya Shopee akan bertindak sebagai pemiutang yang akan membayar dahulu bagi pihak pembeli berbanding kad kredit yang diuruskan oleh pihak bank. Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kebanyakan skim ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ yang ditawarkan di Malaysia tidak dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ianya bukan ditawarkan oleh pihak bank.


Malahan, menurut Pine Labs Pte Ltd, sebuah platform pedagang terkenal Asia mengatakan bahawa pengguna kemudahan kredit ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ kebanyakannya berusia 25 tahun hingga 50 tahun. Namun, persoalannya, adakah kemudahan ini mampu dimanfaatkan dengan sebaiknya atau menjerumuskan rakyat Malaysia dengan amalan berhutang?


KELAYAKAN PERMOHONAN

Pengguna Shopee yang menepati syarat kelayakan 18 tahun dan mempunyai kad pengenalan boleh menghantar permohonan dengan melampirkan tangkapan gambar kad pengenalan dan melakukan pengesahan wajah bagi mengaktifkan kemudahan SPayLater. Selepas diproses dan mendapat kelulusan, pengguna boleh menikmati jumlah kredit sehingga RM 6,000 mengikut kelayakan masing-masing. Jumlah kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga mencapai had yang ditetapkan selain pembeli boleh memilih tempoh bayaran balik pada bulan berikutnya atau dalam tempoh 2 bulan, 3 bulan mahupun 6 bulan. Namun, pembeli akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak 1.25% dan caj kelewatan sebanyak 1.5% apabila mereka lambat melangsaikan ansuran pinjaman dan ‘hutang’ mereka.


Konsep ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ dilihat sebagai suatu teknik pemasaran syarikat-syarikat e-dagang dalam menarik minat pembeli dan meningkatkan jumlah jualan. Jika dilihat dari perspektif ekonomi, sudah pasti ia membantu merangsang aliran pertumbuhan ekonomi melalui kuasa beli yang meningkat. Jika dahulu, pembeli perlu menunggu gaji di akhir bulan untuk membeli barang yang diinginkan, namun dengan kemudahan ini, pembeli boleh membeli tanpa rasa was-was dan tanpa memikirkan kekangan kewangan.


REAKSI AWAM

Melalui tinjauan di salah satu postingan ShopeePayLater yang dimuatnaik oleh @farihaathenaa di aplikasi TikTok, rata-rata netizen masih lagi ragu-ragu dan bimbang akan penggunaan teknik pembayaran tersebut. Namun ada juga yang memberi respons positif terhadap teknik pembayaran ini.


Tapi serious talk sapa yang takde duit maksudnya takde duit untuk bayar balik bahaya oii. Pikir panjang dulu sebelom guna. Dia ibarat macam pinjam. -@Nashriq


Bijak la membeli jgn la terjerat dgn hutang camni. -@916gold


Dah 5 bulan pakai. syukur belum pernah sangkut or lambat byr. sebulan 1k shopping. -@Nur Hidayah Said


Benda ni mmg membantu lepas saya kahwin haritu. mesin basuh apa semua pakai paylater. boleh la gak nak membayar sikit sikit. -@Apatu?


Walaupun begitu, penulis berpendapat bahawa kemudahan ini seperti memupuk amalan berhutang dalam kalangan masyarakat Malaysia dan sudah pasti akan menjejaskan kemampuan pengurusan kewangan khususnya di era endemik ini. Melihat kepada keadaan ekonomi semasa khususnya pasca COVID-19, kebanyakan rakyat telah diisytiharkan muflis selain kebanyakan golongan M40 turun ke tahap B40. Konsep dan skim ini juga dibimbangi akan menggalakkan pengguna berbelanja di luar kemampuan dengan kadar hutang yang tinggi sehingga mereka mengalami kesukaran untuk membayar balik.


Selain itu, jika dilihat dari perspektif kelayakan pendaftaran, pemilik kad pengenalan Malaysia berusia 18 tahun ke atas boleh menikmati kemudahan kredit tersebut bergantung jumlah kredit yang diluluskan tanpa mengira tahap kewangan dan pendapatan pembeli.


Menurut pengalaman, penulis juga telah mencuba mengaktifkan kemudahan ini dan telah menggunakan kemudahan kredit tersebut pada jumlah RM800 walaupun penulis merupakan seorang pelajar yang belum mempunyai sumber pendapatan. Penulis merasakan jumlah tersebut terlalu besar bagi seseorang yang tiada sumber pendapatan terutama untuk membayar kembali dengan kadar faedah yang ditetapkan.


Kesimpulannya, kemudahan kredit ini perlu dipertimbangkan khususnya bagi golongan yang tiada sumber pendapatan dan tahap kewangan yang rendah. Rakyat Malaysia juga harus bijak dalam menguruskan kewangan selain membaca terma dan syarat serta kadar faedah yang akan dikenakan oleh penyedia kredit ini. Selain itu, rakyat juga perlu diberi pendedahan akan pengurusan kewangan dan memupuk pembayaran tepat pada masanya. Lebih baik kita mengukur baju di badan sendiri daripada menanggung hutang dan kadar faedah yang tinggi yang kelak akan membebankan diri sendiri.


213 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page