top of page
  • Writer's picturePriiyalakshmi Kumarrajah

Benarkah Bidang Teater "Tak Laku"?

Penulis: Priiyalakshmi Kumarrajah

Penyunting: Ahmad Bhaihaqi

Sumber Foto: Siti Nurhidayah Mohmud


Muktahir ini, terdapat perkhabaran daripada beberapa graduan teater yang mendakwa bidang seni pentas ini tidak relevan atau “tak laku” di pasaran. Mereka juga mendakwa kursus pengajian ini hanya sekadar membazirkan wang selama tiga tahun yang akhirnya ibarat kata tidak dipegangnya, janji tidak ditepati dalam memperoleh pekerjaan dalam bidang itu.


Isu pengangguran dalam kalangan graduan teater bukanlah suatu perkara yang baharu berlaku di sekeliling kita malahan jarang dibincangkan di khalayak ramai. Stereotaip bahawa graduan teater tiada masa depan dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam bidang tersebut perlu diatasi dengan segera.


Graduan Teater Lompat Bidang


Menurut Siti Nurhidayah Mohmud, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian (Teater), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini menjalankan perniagaan sendiri berkata graduan teater sukar memperoleh pekerjaan dalam bidang tersebut dan terpaksa melompat ke bidang lain kerana kriteria pemilihan pekerja yang rumit seperti jawatan Artisbudaya.


“Kebanyakan syarat yang dikenakan untuk jawatan misalnya Artisbudaya iaitu pegawai yang bertanggungjawab menjalani latihan dan membuat persembahan lakonan di dalam dan luar negari adalah ketat dan rumit seperti memerlukan berat badan dan ketinggian yang normal. Oleh itu, perkara ini secara tidak langsung menutup peluang mereka yang size plus atau berbadan kecil untuk memohon jawatan tersebut dalam sektor kerajaan.


“Selain itu, banyak syarikat tidak mahu mengambil graduan bidang teater malahan bidang lain untuk bekerja kerana perlu membayar gaji mengikut kelayakan akademik yang tinggi. Di samping itu, graduan seni persembahan teater tersepit untuk menjadi pendidik kerana tiada pengkhususan pendidikan dalam bidang ini di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Justeru, perkara ini menyukarkan mereka untuk memohon pengambilan guru secara one-off yang memerlukan ikhtisas penguruan,” katanya.


Sumber Foto: Fatin Nabila Rosali


Kemahiran Dipelajari Digunakan di Luar Bidang


Fatin Nabila Rosali, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teater dengan kepujian (Produksi), UiTM berkata walaupun sukar untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang teater, kemahiran yang dipelajari sepanjang pengajian di universiti sangat berguna dan dapat diaplikasikan semasa bekerja meskipun di luar bidang.


“Saya bekerja dalam bidang lain yang boleh dikatakan agak lari daripada bidang yang dipelajari dan diminati. Namun begitu, selain daripada pernah bekerja dalam retail iaitu bidang peruncitan barang dan perkhidmatan, pekerjaan khidmat pelanggan antara yang saya minati kerana kedua-duanya membolehkan saya berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali,” ujarnya.


Sumber Foto: Affizy Shaari


Perlu Bijak Meluaskan Jaringan


Affizy Shaari, 24, kini menyambung pengajian Doktor Falsafah Seni Persembahan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan bahawa graduan teater haruslah menonjolkan bakat mereka sejak pengajian mereka di IPT. Dengan cara ini, mereka dapat mengasah bakat terpendam mereka dan menggunakan kemahiran tersebut untuk merebut pekerjaan di luar sana termasuklah dalam industri teater sendiri.


Graduan teater perlu mengetahui bakat mereka yang boleh diperkembangkan. Misalnya, sekiranya seseorang graduan teater mempunyai bakat dalam lakonan, dia hendaklah bijak dalam mengatur strategi dalam meluaskan nama beliau dalam persada seni pentas seperti menghadiri uji bakat, berlakon dalam pementasan walaupun memegang watak kecil dan berlakon dalam pementasan teater daripada pelbagai negeri.


Graduan teater perlu memahami penonton yang hadir ke sesebuah pementasan bukan terdiri daripada orang awam sahaja malahan khalayak tersebut adalah daripada kalangan pengarah, pengurus produksi, penerbit dan wakil daripada mana-mana “production house” teater di Malaysia. Mereka yang hadir ada kalanya ingin mencari bakat baharu dalam kalangan graduan teater yang turun padang dalam sesebuah pementasan.


Teater Perlu Inovasi

Sumber Foto: Priiyalakshmi Kumarrajah


Affizy Shaari juga menegaskan bidang teater masih relevan pada masa ini. Perkara ini adalah kerana kursus pengajian ini masih ditawarkan di IPT dan diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA). Pada saban tahun, kerajaan telah memperuntukkan dana untuk industri seni tanah air termasuklah seni pentas dan telah diagihkan kepada universiti, badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyelidikan untuk menghasilkan nafas baharu dalam sesebuah persembahan teater.


Di sebalik itu, apa yang berlaku dalam industri ini adalah pengarah dan penerbit teater masih menggunakan kaedah komersial tradisional seperti rekaan poster seakan-akan tahun 2000-an menyebabkan masyarakat jarang mengambil tahu mengenai bidang ini dan mempunyai persepsi negatif terhadap bidang ini. Pengarah teater pada masa ini hendaklah membawa nafas baharu dalam seni pentas selaras dengan teknologi terkini.


“Sebagai pengarah, kita perlulah membawa perubahan dalam teater terlebih dahulu. Pengarah perlu memahami bahawa tidak semua penonton mempunyai ilmu seni teater dan ada dalam kalangan mereka menonton teater untuk kali pertama. Apabila pengarah syok sendiri menghasilkan teater yang membuatkan penonton sukar untuk memahami mesej yang disampaikan, maka penonton hilang minat untuk hadir menyokong persembahan teater yang akan datang.


“Ini juga menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi buruk terhadap teater yang mana penceritaan seni pentas tersebut sangat sukar difahami dan secara tidak langsung memberi impak negative terhadap graduan teater.


“Sebagai contoh, teater Mak Yong menggunakan dialek Kelate dan tidak semua penonton memahami dialek tersebut. Pengarah boleh melakukan inovasi dengan menyediakan paparan layer yang menunjukkan sari kata terjemahan kepada Bahasa Melayu. Perkara ini dapat mengubah persepsi masyarakat dalam bidang teater dan hadir untuk menyokong persembahan yang akan datang.


“Secara tidak langsung, pengarah, krew produksi dan para pelakon lebih bersemangat untuk menghasilkan teater yang membuatkan penonton datang ke teater seolah-olah menonton filem di panggung wayang. Perkara ini membantu industri teater untuk berkembang dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan teater untuk menjual bakat mereka seterusnya mempergiatkan industri ke peringkat yang lebih tinggi.”


163 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page