top of page
Writer's pictureNadi Bangi

BENARKAH RAKYAT MALAYSIA BODOH SOMBONG?

Wartawan: Fatin Roslee

Penyunting: Amelin Yazimi

Sumber: Twitter


Berikutan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia, Malaysia turut terkena wabak ini dan menyebabkan seluruh negara berada dalam keadaan kebimbangan. Perdana Menteri kita sendiri, YAB Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac. Pada 25 Mac, Perdana Menteri kita membuat pengumuman sekali lagi bahawa tempoh PKP akan dipanjangkan sehingga 14 April. Secara bahasa mudahnya, rakyat Malaysia perlu membataskan pergerakan keluar dari rumah jika tiada tujuan yang mustahak. Rakyat Malaysia juga diminta untuk tidak pulang ke kampung halaman masing-masing. Namun, sudah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing sebelum PKP ini diisytiharkan lagi. Dalam tempoh PKP ini juga, hanya ketua keluarga atau seorang wakil keluarga sahaja yang dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan seharian. Namun mengapa masih ada segelintir rakyat Malaysia yang seolah-olah tidak faham bahasa dan ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini? Adakah memang sifat semulajadi rakyat Malaysia untuk bersikap bodoh sombong?


Kebanyakan yang ingkar dan masih berdegil ini adalah dari golongan veteran dan tua. Mereka masih mahu meneruskan rutin seharian mereka seperti bersenam di taman setiap pagi, pergi ke pasar, dan sebagainya. Ada juga yang sombong dan memikirkan bahawa Covid-19 ini adalah seperti penyakit biasa yang tidak begitu serius. Tidak lupa juga pada jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling yang masih berdegil untuk tidak menjalani ujian saringan. Rakyat Malaysia juga degil untuk menyatakan yang benar. Ini bagi pesakit yang sudah mempunyai simptom Covid-19 tetapi masih bodoh sombong dan menganggap ianya hanya demam biasa. Akibatnya, semua tempat yang telah dikunjungi oleh pesakit perlu disterilkan dan semua orang yang pernah berhubung dengan pesakit perlu turut menjalani ujian saringan. Sikap degil masyarakat Malaysia inilah yang telah menyusahkan banyak pihak dan menyebabkan wabak Covid-19 semakin menular.

Sikap degil masyarakat Malaysia bukan sahaja dalam sudut itu, malah dalam operasi menguatkuasakan PKP di Petaling Jaya, banyak alasan remeh yang diutarakan oleh rakyat Malaysia yang masih berdegil mahu keluar rumah dalam tempoh PKP ini. Antaranya adalah mahu hantar kek, hendak beli surat khabar, dan tapau makanan untuk makan tengah hari. Di Pulau Pinang pula, tular di media sosial menunjukkan suasana Pasar Awam Air Itam yang masih penuh dan sesak dengan orang ramai yang kononnya ingin membeli keperluan seharian. Segelintir rakyat Malaysia yang masih degil ini seolah-olah tiada belas kasihan dan simpati terhadap pekerja barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan kita semua. Malah, sehingga ada juga yang membuat video seolah-olah mempersendakan PKP ini dengan merakamkan suasana di ‘kenduri kepala kambing’.


Langkah yang bijak telah diambil oleh Perdana Menteri kita demi mengawal pergerakan rakyat Malaysia yang masih degil ini. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan untuk sama-sama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menguatkuasakan PKP dalam membasmi penularan wabak Covid-19 mulai 22 Mac 2020. Setelah ATM masuk campur dalam menguatkuasakan PKP ini, barulah keadaan dan rakyat Malaysia yang degil itu semakin terkawal. Sekatan juga diadakan di merata tempat bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia tidak berdegil dan duduk di rumah. Bagi yang sudah berada di kampung juga perlu terus berada di tempat masing-masing sehingga PKP ini tamat. PDRM dan ATM adakan sekatan di lebih 30 plaza tol dan arahkan mereka untuk balik semula. Situasi di Pasar Awam Air Itam juga semakin terkawal selepas penguatkuasa menyuruh para peniaga untuk menutup gerai-gerai mereka. Isu ‘kenduri kepala kambing’ itu juga telah diselesaikan dengan mengambil tindakan terhadap perakam video tersebut dan penganjur kenduri kepala kambing tersebut. Ternyata undang-undang memang perlu diperketatkan, barulah rakyat Malaysia takut dan faham bahasa.

72 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page