top of page
  • Writer's pictureNurul Izzah Aisa

Cipta Kemenangan Seawal Usia 9 Tahun dalam Field Archery Challenge!

Updated: Nov 20, 2022

Penulis: Nurul Izzah Aisa

Penyunting: Wong Yee Tian


Sumber Gambar: Nadi Bangi


NILAI, 13 Nov Seawal usia 9 tahun, seorang kanak-kanak telah berjaya mencipta kemenangan dalam Field Archery Challenge anjuran Persatuan Pemanah Warisan Negeri Sembilan (PEWARIS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) yang diadakan di Taman Awam Nilai, Negeri Sembilan pada 13 November yang lalu.

Nur Dayana Batrisyia, 9 yang merupakan wakil Kelab Memanah D’ Klana, Seremban, Negeri Sembilan telah berjaya memperoleh sebanyak 120 mata secara keseluruhan dan sekaligus dinobatkan sebagai juara kategori bawah 9 tahun daripada 17 peserta yang bertanding dalam kategori ini.

Menurut Nur Dayana, cabaran padang ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana tempat sasaran panahan sangat tinggi dan sasaran yang paling kecil adalah hanya bersaiz 20cm.

“Cabaran Field Archery Challenge kali ini agak sukar kerana tempat sasaran itu tinggi termasuk juga ada saiz sasaran yang kecil,” katanya.

Sebelum ini Nur Dayana pernah memenangi dua pertandingan memanah iaitu tempat pertama dalam Program Memanah Masjid Sikamat dan tempat keenam dalam Liga Memanah Tradisional Kuala Lumpur Siri 1 2022.

Pemenang tempat pertama kategori bawah 9 tahun ini mula menyertai sukan tradisional memanah sejak umur 7 tahun. Pada awalnya, Nur Dayana hanya menyertai kelas memanah di sekolahnya tetapi kini beliau telah mula menunjukkan bakat dengan menyertai pertandingan memanah yang dianjurkan.

Nur Dayana akan berlatih pada setiap hari Ahad di bawah bimbingan pelatihnya yang lebih dikenali sebagai Coach Azmi, iaitu salah seorang pelatih bagi Kelab Memanah D’Klana.

Menurut salah seorang penganjur Field Archery Challenge, Kamaruzaman, 45 berkata umur bukanlah satu penghalang bagi kanak-kanak untuk berjaya kerana apabila dilatih dengan cara yang betul, mereka dapat memahaminya dan semuanya bergantung kepada strategi komunikasi pelatih itu sendiri.


“Memanah tidak perlukan kekuatan fizikal mengikut peringkat umur tetapi kemahiran berfikir. Untuk melatih mereka yang masih kanak-kanak ini perlukan komunikasi yang betul. Kanak-kanak sukakan keseronokan tetapi dalam masa yang sama kita perlu melatih mereka dengan komunikasi yang ringkas tetapi boleh difahami.

“Selain itu, cabaran untuk bawah kategori 9 tahun ini sebenarnya dilihat agak sukar kerana dalam umur sebegini mereka perlu anggarkan jarak dekat dan jauh, saiz sasaran ada yang kecil dan ada yang besar.

“Setiap checkpoint yang disediakan di sini mempunyai jarak sasaran yang berbeza-beza mengikut kategori yang dipertandingkan dan ini menguji peserta untuk lebih berfikir bagaimana cara untuk mencapai sasaran yang tepat. Bukan itu sahaja, ia juga dapat menguji fleksibiliti dan kelebihan yang ada dalam diri peserta itu sendiri,” katanya.

Field Archery Challenge merupakan satu pertandingan sukan tradisional iaitu cabaran memanah padang yang mana ianya telah menggabungkan seramai 150 orang peserta remaja dan kanak-kanak di seluruh daerah Negeri Sembilan termasuk juga Negeri Selangor dan Pahang. Antara kategori yang dipertandingkan dalam sukan ini adalah kategori bawah 9 tahun, bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan juga bawah 18 tahun.

Dalam pada itu, Field Archery Challenge ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan membuka kategori dewasa pula dan sekaligus dapat mempelbagaikan sukan tradisional. Bukan itu sahaja, ia juga dapat menarik orang ramai supaya lebih berminat dengan sukan memanah ini dengan melihat kepada kejayaan-kejayaan yang diperoleh oleh peserta.

81 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page