top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

COVID-19: APA NASIB PENIAGA KECIL?

Oleh: Syahzanani Sajidah

Editor: Fazlan Kamaruzaman

Sumber: Astro Awani


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac yang lalu menimbulkan kebimbangan kepada segelintir rakyat Malaysia apabila sepanjang tempoh dua minggu ini Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Datuk Dr. Haji Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penutupun premis kerajaan dan swasta kecuali hanya badan yang terlibat dalam perkhidmatan penting negara sahaja dibenarkan beroperasi.


Perkara ini berlaku berikutan dengan wabak jangkitan Covid-19 di Malaysia yang mencatat sebanyak 1624 kes yang membawa kepada 16 kematian melibatkan pelbagai golongan termasuk doktor perubatan yang juga merupakan kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia setakat 25 Mac 2020.


Justeru itu, dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, peniaga-peniaga kecil yang berniaga di pasar tani, pasar malam mahupun penjaja-penjaja yang jual di tepi jalan tidak dibenarkan beroperasi bagi mengelakkan dari orang ramai berkumpul.


Bagi restoran yang dibuka selama 24 jam pula dibenarkan beroperasi namun orang ramai hanya dibenarkan membeli makanan secara pandu lalu atau membeli secara atas talian (online) bagi restoran yang menawarkan perkhidmatan food delivery.


Persoalannya, bagaimanakah dengan pendapatan peniaga-peniaga kecil ini sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan? Apakah yang akan terjadi sekiranya ada sebahagian peniaga-peniaga kecil ini tidak mempunyai simpanan pada waktu begini? Adakah duit yang mereka punyai sekarang mencukupi untuk membeli barangan keperluan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan? Apakah pula tindakan kerajaan dalam menangani masalah ini?


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan mengulas untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengeluarkan wang yang berjumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan bagi meringankan beban kos sara hidup yang terjejas akibat dari wabak jangkitan Covid-19, namun suka untuk penulis mengingatkan bahawa golongan yang terdiri dari peniaga dan penjaja kecil ini tadi tidak mempunyai KWSP untuk dikeluarkan seperti rakyat lain yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta.


Justeru itu, suka penulis tekankan bahawa golongan ini perlu diberikan perhatian yang lebih kerana sepanjang perintah kawalan pergerakan kawalan dijalankan, pastinya perniagaan-perniagaan mereka tidak dapat dijalankan. Perlu diingatkan bahawa golongan ini juga mempunyai keluarga dan tanggungan yang perlu ditanggung.


Dalam keadaan begini, penulis turut bersetuju dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memberikan bantuan kecemasan kepada golongan peniaga-peniaga kecil sebanyak RM1500 yang bertujuan untuk meringankan beban bagi golongan yang terjejas pendapatannya sepanjang perintah kawalan pergerakan ini dijalankan.


Selain itu, penulis juga turut ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan ataupun mana-mana NGO sekiranya tidak dapat memberikan bantuan dari segi kewangan, sekurang-kurangnya berikanlah bantuan dari segi makanan kepada golongan peniaga-peniaga kecil ini kerana dikhuatiri mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk dimakan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.


Kesimpulannya, dalam pada kita risau akan keadaan ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak jangkitan Covid-19, kita juga perlu memikirkan masyarakat sekeliling yang terjejas pendapatannya akibat tidak dapat meneruskan perniagaan-perniagaan kecil demi mematuhi perintah kerajaan untuk menutup semua premis perniagaan yang bukan dalam kategori perkhidmatan penting demi mengurangkan dan melindungi rakyat dari terkena penyakit berjangkit Covid-19. Sesungguhnya, semua golongan memerlukan sokongan pada masa genting ini, dan dalam memerangi wabak jangkitan Covid-19, kebajikan rakyat sepanjang tempoh pelaksaan perintah kawalan pergerakan turut perlu diberi keutamaan.

37 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page