top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

COVID-19: Pelaksanaan Dan Pembelajaran Secara Atas Talian Dihentikan

Updated: Mar 24, 2020

Oleh: Syakila Hidayu Suhaimi

Penyunting : Nurul Ain Samad



Sumber : Facebook Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM



BANGI, 20 Mac - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terpaksa menghentikan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara atas talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berkuatkuasa bermula 18 Mac hingga 31 Mac.


Statistik terkini daripada World Health Organization (WHO) menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 165 buah negara yang dijangkiti Corona Virus Disease 19 (COVID-19) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 900 kes. Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 223 kes dan 123 kes. Setakat ini, terdapat 2 kematian yang membabitkan lelaki warga tempatan berumur 34 dan 60 tahun.


Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor, aktiviti P&P yang dilaksanakan atas talian dihentikan mulai 18 Mac hingga 31 Mac mengikut garis panduan isu-isu berhubung penularan wabak COVID-19 bagi Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).


“Kehadiran ke kampus bagi sebarang kerja-kerja penyelidikan yang melibatkan sel-sel kultur, spesimen dan lain-lain yang sama kategorinya hendaklah mendapat kelulusan ketua jabatan bagi staf dan penyelia. Bagi pelajar pula, prosedur untuk memastikan tisu kultur, tikus makmal atau spesimen untuk terus hidup boleh dijalankan tetapi masa yang dibenarkan adalah sangat minima.”


Merujuk Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh KPT, UA dan IPTS yang tidak menggunakan pembelajaran atas talian secara sepenuhnya dalam pelaksanaan P&P adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pembelajaran secara atas talian kerana bimbang sekiranya ada pelajar yang ketinggalan atas sebab tidak dapat mengakses internet.


UA dan IPTS boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari saluran telegram MKN Rasmi dan disarankan agar sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa.

47 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page