top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

COVID 19: UKM Arah Tangguhkan Kesemua Perhimpunan Awam.


Oleh: Auzaee Athallah

Penyunting: Fauzan Ismail




Sumber: Harian Metro


BANGI, 20 Mac- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengarahkan agar kesemua aktiviti perhimpunan awam dalam dan luar kampus ditangguhkan berikutan penyebaran wabak Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) yang semakin kritikal baru-baru ini.


COVID-19 merupakan strain baharu coronavirus yang sebelum ini tidak dikenalpasti. Penyakit ini mampu berjangkit daripada individu kepada individu melalui titisan pernafasan dan sentuhan. Kes pertama wabak ini telah dilaporkan di Wuhan, China.


Sebanyak 167,511 kes dilaporkan di seluruh dunia dan sebanyak 553 kes dilaporkan di Malaysia setakat 16 Mac 2020.


Pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM pada 13 Mac 2020 mengarahkan, semua perhimpunan awam yang melibatkan pelajar, lawatan pihak luar, seminar, bengkel berskala besar, persidangan serta lain-lain perhimpunan umum agar ditangguhkan dan arahan ini berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu.


Pekeliling turut menyatakan bahawa perkara ini merupakan langkah proaktif UKM dalam membendung penularan jangkitan virus itu.


Pengarah program International Festival (InterFest) anjuran Kolej Keris Mas yang turut ditangguhkan, Aminnudin Arshad Bin Jamaludin (Sarjanamuda Pengurusan Bisnes, 2) menyatakan bahawa penangguhan perhimpunan umum di dalam dan luar kampus ini merupakan tindakan bijak pentadbiran UKM dalam membendung penularan COVID-19 di dalam kalangan mahasiswa UKM khususnya.


“Secara peribadi saya berasa kecewa akan penangguhan program-program setelah kami membuat persediaan rapi namun kami perlu akur akan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pentadbiran UKM dalam usaha untuk mengurangkan risiko penularan wabak ini.


“Sebagai pengarah program, saya perlu memandang perkara ini dengan serius dan perlu menangguhkan InterFest sehingga tarikh baru dikeluarkan. Kami akan sentiasa peka dan bersedia setiap masa untuk menjalankan InterFest setelah dibenarkan oleh pentadbiran UKM,” ujar beliau sewaktu ditemu ramah oleh Nadi Bangi.

80 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page