top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Dari Konti Turun Ke Hati

Oleh: Zarith Sofea Zawawi

Penyunting: Nasuha Mizam


Sumber: Radio Midas UKM

BANGI, 13 Oktober - Bakal berwajah baharu pada 16 Oktober ini, Radio Midas UKM kini tampil dengan tagline yang mengejutkan ‘dari konti turun ke hati.’


Radio Midas UKM merupakan sebuah organisasi radio yang dikendalikan oleh 27 orang pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media di bawah Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital (MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Menurut Encik Hasrul Hashim, pensyarah MENTION, “Konsep Radio Midas yang cuba diterapkan pada setiap batch adalah mereka perlu tampil dengan keunikan tersendiri dari segi penjenamaan logo, tagline, konsep rancangan dan kesemuanya diserahkan sepenuhnya kepada para pelajar.


“Saya suka melihat persaingan yang sihat antara setiap kumpulan pada setiap semester. Oleh itu, saya cuba membawa kelainan daripada sebelum ini dengan membentuk kumpulan pengurusan, kreatif, teknikal dan promosi,” ujar beliau.


Oleh itu, setiap kumpulan akan mempunyai ahli yang tertentu dan mereka perlu menjalankan tugas masing-masing berdasarkan organisasi radio yang sebenar di Malaysia.


Bukan itu sahaja, setiap pelajar dilihat berpeluang untuk menjadi penyampai dan mereka perlu mematuhi perjalanan pengurusan dengan baik sesuai dengan konsep pengurusan organisasi media.


Hal ini sekaligus dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar tentang tugas sebagai penyampai radio dan persediaan yang perlu dilakukan di konti sebelum ke udara.


Muhammad Syazwan Zul selaku Ketua Radio Midas UKM, akui bahawa tanggungjawab yang digalas adalah besar dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap Radio Midas UKM pada kali ini.


“Saya akan cuba yang terbaik untuk menjadikan Radio Midas UKM sebagai saluran radio UKM dan akan membantu setiap kumpulan menguruskan segala masalah yang berlaku.


“Saya juga perlu memastikan bahawa setiap ahli kumpulan memberi perkembangan terkini mengenai kumpulan mereka pada setiap masa,” katanya.


Antara lapan rancangan menarik yang bakal menghiburkan semua pendengar termasuklah breaky sport, heart breaker, carta gasm, sembang kari, sembang bawah tanah, sml, pullingows dan 3 doctors.


Istimewa kali ini setiap rancangan yang dikeudarakan akan dirakam dan akan dimuat naik ke podcast Radio Midas UKM tidak lama lagi.


Pengikut Radio Midas UKM kini boleh mendengarkan mereka secara langsung di Instagram Live @radiomidasukm pada setiap hari Rabu bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

75 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page