top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Di Mana Adab Sebagai Mahasiswa?

Oleh: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli

Penyunting: Liaw Jia Ying


Sumber: Google

Baru-baru ini, Malaysia telah dikejutkan dengan sebuah insiden di mana seorang graduan di salah sebuah universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM) telah mencetuskan provokasi ketika majlis istiadat konvokesyen di universiti tersebut. Perbuatan tersebut dianggap sebagai biadap dan menjadi buah mulut netizen di media sosial.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, merujuk kepada tindakan graduan kejuruteraan awam yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan itu serta menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya. Perlakuan yang ditunjukkan oleh mahasiswa tersebut yang telah bergelar graduan adalah dianggap biadap dan tidak dapat diterima sama sekali.


Naib Canselor Dikatakan Tolak Perpaduan


Punca insiden tersebut adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati beliau terhadap Naib Canselor UM yang melibatkan diri dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6 Oktober lalu. Naib Canselor tersebut dikatakan gagal mempromosikan toleransi dan perpaduan kaum semasa kongres tersebut dan bukan itu sahaja, nama universiti tersebut juga digunakan untuk alasan perkauman dan politik sebagai salah sebuah daripada empat universiti yang menganjurkan kongres tersebut.


Walaupun ada sesetengah pihak pentadbiran Universiti Malaya yang menyokong tindakan graduan tersebut, namun perkara tersebut tetap dianggap sebagai biadap kerana tidak menghormati istiadat dan mengganggu kelancaran majlis konvokesyen itu. Justeru, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah menggesa pihak UM supaya mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut sebagai pengajaran buat mahasiswa lain.


Graduan Perlu Matang


Sebagai graduan yang menuntut di universiti terkemuka di Malaysia, beliau seharusnya mempunyai fikiran yang lebih terbuka dan matang untuk menyuarakan pendapat kepada pihak yang berkenaan. Masalah seperti ini seharusnya boleh dielakkan sekiranya mereka boleh berkomunikasi dengan baik antara kedua-dua belah pihak berbanding menggunakan media sebagai medium dalam melontarkan pandangan dan ketidakpuasan hati.


Berdasarkan insiden tersebut, adab dan kelakuan yang ditonjolkan mahasiswa itu terutamanya semasa majlis konvokesyen yang dihadiri oleh ribuan orang di mana kebanyakannya terdiri daripada ibu bapa para graduan yang terlibat dianggap sangat biadap. Sebagai masyarakat yang hidup di dalam sebuah negara yang berbilang kaum, mereka seharusnya lebih bersifat terbuka dan tidak terlalu terkongkong dengan stigma “rasisme”. Apabila kelakuan seperti itu ditunjukkan semasa majlis rasmi, sudah pasti akan timbul isu-isu perpaduan dan kesan negatif terhadap masyarakat.


Apa Itu Adab?


Apabila menyentuh perkara yang berkaitan dengan adab, kita sememangnya tidak dapat menyangkal bahawa adab yang ditonjolkan oleh seseorang individu itu merupakan cerminan kepada diri mereka. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, adab dapat didefiniskan sebagai tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus dan sopan. Dalam aspek pengertian yang lebih luas pula aspek adab sangat berkait rapat dengan ‘akal’ dan ‘budi’. Justeru, di mana aspek adab yang dapat dilihat semasa majlis konvokesyen tersebut?


Berdasarkan konteks yang ditekankan dalam rencana ini, bersesuaian dengan prinsip Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan di mana ianya menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat. Ianya bertujuan untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan di negara ini. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


Jangan Ibarat Menanam Tebu di Tepi Bibir


Prinsip Rukun Negara yang dilafazkan ini bukan hanya sekadar di bibir sahaja tetapi ia perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat yang bergelar warganegara Malaysia. Apabila Rukun Negara diamalkan, justeru negara yang berbilang kaum ini akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain.


Maka, kelakuan yang ditunjukkan oleh graduan tersebut sama sekali tidak dapat diterima dek akal. Hal ini kerana, sebagai mahasiswa yang bijak dan matang kita perlu tahu untuk membezakan perkara yang benar dan salah. Insiden seperti ini tidak seharusnya berulang dan dijadikan sebagai pengajaran di masa hadapan. Sebagai masyarakat yang hidup di bawah satu bumbung yang berbilang kaum, perpaduan perlulah sentiasa dipupuk bagi mengelakkan hal-hal seperti ini terjadi kerana ianya hanya akan mencemarkan nama negara.

278 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page