top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ebit Lew Menangis Kerana Aunty Foodpanda

Oleh : Ain Arifah

Penyunting : Sarah Marini

Sumber : Facebook Ebit Lew

BANGI, 12 Dis – Kisah Christine Ti atau lebih dikenali sebagai Aunty Foodpanda telah menyentuh hati penceramah terkenal, Ebit Lew apabila beliau berkesempatan untuk berjumpa wanita tersebut dan mendengar kisah hidup wanita cekal itu.


Perkhabaran tentang makcik Christine ini telah menarik perhatian Ebit Lew untuk turun padang memberikan bantuan dan sokongan moral setelah gambar makcik Christine yang bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda tular di media sosial beberapa hari yang lalu.


Dalam perkongsian di laman Facebook rasmi miliknya, Ebit Lew berkongsi perasaan sebak setelah berjumpa dengan makcik Christine di sebuah hentian bas di Ibu Kota dan menyatakan bahawa dia merupakan seorang yang peramah, cekal dan tabah.


“Kuat berusaha dan suka menolong orang. Tinggal berdua dengan adiknya. Mak baru meninggal dunia,” Ujar Ebit Lew.


Menurut beliau, Aunty Foodpanda pernah bekerja sebagai penulis majalah Bahasa Inggeris. Namun, wanita tersebut telah kehilangan pekerjaan semenjak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, dia mula bekerja sebagai Foodpanda menggunakan kereta kancilnya.


“Saya tolong repair kereta kancil Aunty, 25 tahun kereta ni. Katanya dia sangat sayang keretanya. Gantikan tayar baharu dan service.


“Beri sedikit duit belanja dan nanti nak tengok rumahnya. Dengarnya dah bocor dan ada kerosakan,” kongsi Ebit Lew di hantaran Facebook miliknya.


Penceramah tersebut turut berkongsi bahawa beliau terharu dengan tindakan baik makcik Christine yang mahu membayarkan tiket letak kenderaan beliau dan rakan-rakannya. Beliau turut memohon masyarakat untuk mendoakan kesejahteraan makcik Christine.


Nadi Bangi sempat meninjau komen dan perkongsian daripada warganet di hantaran Facebook Ebit Lew dan ramai menyatakan rasa syukur serta terima kasih kepada penceramah tersebut kerana sentiasa setia membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan.


This was truly respect and show the world how Malaysians stay as regardless different of religion or nation. Helping beyond race and religion may UEL be blessed. Closet example to prophet Muhammad S.A.W. Stay Safe Ustaz,” komen daripada pemegang akaun Toby Lim.


“Laju betul ustaz ni. Baru je tengok orang kongsi ustaz dah pergi jumpa dan tolong insan yang memerlukan tu. Semoga urusan ustaz dipermudahkan selamanya,” komen daripada pemegang akaun Dollyyy.


“Rakyat Malaysia sebenarnya baik-baik tanpa mengira bangsa dan agama… Terbaik Ustaz Ebit Lew menunjukkan kepada agama lain sebenarnya Islam itu indah. Semoga makcik itu dikurniakan kesihatan yang baik-baik sahaja dan dimurahkan rezeki,” komen daripada pemegang akaun Aliza Husin.


Kisah tentang Christine Ti telah tular setelah salah seorang pengguna laman Facebook memuat naik gambarnya yang menunjukkan kegagahan wanita warga emas itu bekerja sebagai Foodpanda berserta perkongsian kata-kata semangat dan hashtag #salute #wishyouallthebest.

53 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page