top of page
  • Writer's pictureChua Yung Qi

Filem Ma, I Love You Bakal Ditayangkan Sempena Tahun Baru Cina

Penulis: Chua Yung Qi

Penyunting: Ahmad Hasif bin Halimi


Poster rasmi filem Ma, I Love You. Sumber Foto: Astro Shaw


BANGI, 9 Jan - Filem terbitan Astro Shaw dan Multimedia Entertainment Sdn.Bhd. yang bertajuk Ma, I Love You bakal ditayangkan di pawagam Malaysia pada hari pertama Tahun Baru Cina, iaitu pada 22 Januari 2023.


Ma, I Love You yang berbahasa Mandarin ini dibintangi pelakon tempatan, iaitu Ong Ai Leng, Siow Li Xuan, Loh Kai Lan, Felina Cheah, dan Phei Yong sebagai watak-watak utama.


Filem yang berdurasi sepanjang 110 minit ini mengisahkan konflik antara seorang ibu tunggal yang bernama Mei Ling dan anak perempuannya yang bernama Qi Qi.


Bagi Mei Ling, anak perempuannya yang berumur 18 tahun itu bukan sahaja merupakan segala-galanya dalam hidupnya, maka beliau memberikan anaknya kehidupan yang sebaik mungkin.


Namun begitu, krisis hubungan bagi ibu dan anak ini berlaku apabila Mei Ling mendapati bahawa Qi Qi ingin melanjutkan pelajarannya di Perancis untuk mengejarkan impian.


Qi Qi menginginkan kebebasan daripada ibunya dalam perjalanan merealisaskikan cita-cita tetapi usahanya telah menyebabkan dunia ibunya mengalami perubahan drastik.


Walau bagaimanapun, Mei Ling tidak mahu untuk berhenti bersama anak tercintanya, maka beliau mengambil keputusan untuk belajar bahasa Perancis dan memperoleh lebih banyak wang supaya boleh menemani Qi Qi.


Sesi penggambaran peserta forum Mention Evolve bersama panel. Sumber Foto: Nadi Bangi


Treler filem ini telah ditayangkan sempena forum Mention Evolve anjuran pelajar Tahun 3 Komunikasi Media di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) pada 9 Januari yang lalu.


Salah seorang panel jemputan forum yang bernama Angela Chua An Qi merupakan penerbit filem Mandarin ini telah memperkenalkan filem ini kepada para peserta forum.


Menurut beliau, “Filem ini mengetengahkan hubungan yang intim antara ibu dan anak perempuan serta, menyampaikan mesej kepada penonton agar menghargai kasih sayang ibu yang tidak berbelah bahagi dan melahirkan rasa terima kasih kepada ibu melalui filem.”


Angela yang juga merupakan Ketua Pembangunan Perniagaan Malay Nusantara dan Astro Shaw menyeru para pelajar untuk menonton wayang baharu ini di pawagam nanti.

“Filem ini merupakan buah tangan daripada pengarah tempatan yang terkenal, iaitu Chiu Keng Guan yang pastinya anda tidak asing dengan filem terkenal arahan beliau seperti Ola Bola,” ulasnya lagi.


Keng Guan yang digelar sebagai The King of Malaysian Movies seperti petikan media South East Asian Globe sering menyentuh perasaan penonton tempatan tanpa mengira bangsa dan umur menerusi karya arahannya.


Para peserta juga diberikan sekeping poskad filem oleh pihak Astro Shaw untuk meluahkan kata-kata yang ingin diucapkan kepada ibu mereka.


Forum Mention Evolve merupakan anjuran pelajar Tahun 3 Komunikasi Media untuk memenuhi tugasan subjek Pengurusan Organisasi Media dan subjek Industri Komunikasi, Dasar dan Undang-undang.

20 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page