top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

FST Bakal Lancar Program Kenali Bakteria

Oleh : Nasuha Mizam

Penyunting : Nur Nadzra Natasha


(Sumber: Fakulti Sains dan Teknologi)

BANGI, 7 Dis – Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal mengadakan program ‘Discover The Tiny World Of Microbes’ pada 14 Disember 2019 bertempat di Bangunan Biologi Fakulti Sains dan Teknologi bagi mendedahkan kepentingan kehidupan organisma mikroskopik ini dalam kehidupan seharian manusia.


Program ini bertujuan untuk memperkenalkan proses bagaimana bakteria dihidupkan dan dimatikan yang diambil daripada mana-mana sampel selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang proses mikroorganisma membesar dan cara menanganinya.


Bakteria boleh dibahagikan kepada dua kumpulan (positif Gram dan negative Gram) berdasarkan perbezaan antara struktur dinding selnya sebagaimana yang telah didedahkan oleh pewarna Gram.


Program ini merupakan program wajib pelajar jurusan Mikrobiologi, Fakulti Sains dan Teknologi pada setiap semester sebagai batu loncatan untuk mereka menyediakan modal bagi kem Kelab Hari Keluarga akan datang.


Abdul Razzaq Che Aziz, Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi selaku Ketua Program ‘Discover The Tiny World Of Microbes’ berkata, program ini bukan di bawah pengendaliannya.


“Program ini sepatutnya di bawah pelaksanaan pelajar Tahun 2, namun untuk mencari dana bagi Hari Keluarga akan datang, saya sukarela meletakkan diri sebagai ketua program berdasarkan pengalaman saya dalam menguruskan program pada semester lepas,” katanya ketika ditebual semalam.


Muhammad Haziq Aiman Zainudin, Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi berkata “Pada hari Sabtu ni, kami akan menghidupkan bakteria seperti kulat atau cendawan sahaja sebagai pendedahan awal kepada masyarakat.


“Pendedahan ini adalah kepada bakteria sahaja dan bukan virus. Ini kerana virus adalah ejen kecil berjangkit yang hanya boleh berkembang biak di dalam sel organisma hidup. Jadi untuk menghidupkan virus adalah rumit kerana memerlukan hos atau perumah dan pendedahan terhadap virus amat merbahaya,” tambahnya lagi selaku Yang Di-Pertua Kelab Mikrobiologi.

Dr. Efrina Mohd Nor, Ketua Program Mikrobiologi berkata “Masyarakat dapat mengetahui kepentingan mikroorganisma di dalam kehidupan seharian mereka selain dapat menambah ilmu pengetahuan tentang bagaimana organisma ini boleh membiak menggunakan sumber yang ada di sekeliling kita.”


Program ini dipantau sepenuhnya oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi supaya matlamat sebenar dapat dicapai dengan baik dan cemerlang.


Bakteria juga merupakan organisma yang paling banyak terdapat di dunia dan sentiasa boleh didapati di dalam tanah serta di dalam air dan sebagai simbion bagi organisma lain.

45 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page