top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Google Gagal Berfungsi Resahkan Pengguna

Oleh: Marllisa Anttonysamy

Penyunting: Aqilah Azanil

Sumber : Google


BANGI, 14 Dis : Perkhidmatan Google termasuklah YouTube, Docs, Gmail dan Google Maps gagal berfungsi secara tiba-tiba di seluruh dunia meresahkan pengguna dan syarikat tersebut menyatakan bahawa kuota simpanan dalaman (internal storage quota) adalah puncanya.


Downdetector, sebuah aplikasi yang meninjau masalah dan gangguan semua jenis perkhidmatan menunjukkan 9,000 kes telah dilaporkan oleh pengguna yang mengalami masalah mengakses YouTube. Gangguan yang serupa telah dilaporkan oleh Gmail dengan 79 peratus pengguna menghadapi masalah log masuk dan 15 peratus pengguna tidak dapat mengakses laman web. Menurut Downdetector juga, 88 peratus pengguna Google menghadapi masalah log masuk sementara 11 peratus menghadapi masalah dalam hasil carian.


Apabila Facebook, Instagram dan Twitter tidak berfungsi sebelum ini, pengguna tidak berasa hairan kerana itu bukan sesuatu yang baru, namun apabila Google dan YouTube tidak berfungsi, rata-rata pengguna terkejut. Tahun 2020 merupakan tahun yang paling tidak dijangka dan hampir semuanya tidak berlaku seperti yang dirancang. Ketika semua orang beranggapan tahun ini sudah cukup baik, namun perkara yang paling tidak dijangka berlaku apabila Google mengalami masalah.


Ashikin, 22 mengatakan “Apabila Google dan YouTube tidak dapat diakses, saya rasa macam tidak tenang sebab tidak dapat membuat kerja. Saya sebagai seorang pelajar memerlukan akses Google untuk membuat tugasan, namun tugasan yang hendak saya lakukan tergendala buat seketika. Lebih-lebih lagi, apabila terpaksa mengejar tarikh akhir tugasan. Tapi nasib baik Google telah dibaikpulih dalam masa yang terdekat”.


Nadi Bangi juga telah mengajukan pendapat kepada seorang lagi pelajar iaitu Suguneswaran, 21, mengatakan “Pada waktu tersebut saya sedang menyiapkan tugasan yang diberi sambil mencari rujukan di YouTube untuk pemahaman lebih lanjut. Tiba-tiba YouTube terhenti dan saya ingatkan bahawa ada masalah dalam kestabilan Internet saya. Kemudian saya difahamkan bahawa server YouTube tidak berfungsi dan tidak boleh diakses di hampir seluruh dunia. Saya menunggu seketika kerana kebiasaannya isu seperti ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat tetapi kali ini telah mengambil lebih dari satu jam menyebabkan saya hilang fokus dalam menyiapkan tugasan”.


Caroline, 28 mengatakan “Saya baru sahaja pulang dari kerja dan selalunya saya akan menggunakan YouTube untuk menghilangkan tekanan kerja sambil berehat. Namun, pada hari ini apabila saya sedang menonton sebuah drama, tiba-tiba YouTube tidak berfungsi. Walaupun sudah beberapa kali memuat semula halaman YouTube, tetap tidak dapat diakses. Lalu saya membuka aplikasi Twitter dan mendapati ramai pengguna Twitter, membuat kicauan mengenai masalah yang dihadapi oleh Google dengan #googledown dan #YouTubeDOWN. Ramai juga yang memuat naik meme yang melucukan”.


Sekitar jam 7.55 malam waktu Malaysia, Gmail menghantar pesanan bahawa mereka menyedari masalah yang dihadapi oleh pengguna. Pada 8.10 malam YouTube mengeluarkan tweet menyatakan bahawa pasukan mereka akan meneliti masalah dalam mengakses platform YouTube. Selepas sejam lebih, Google Workspace mengicau “We’re all clear folks! Thanks for staying with us”.

155 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page