top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Grab Malaysia Sokong Perniagaan Kecil Ketika Pandemik

Oleh : Keziah Shamma Mahendran

Suntingan: Kishan Kumar Selvaraju


Sumber: Grab


PETALING JAYA, MEI 24- Grab Malaysia melancarkan inisiatif baharu dengan memperkenalkan ‘GrabFood Small Business Programme’ yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil-kecilan yang kini perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu yang mencabar di kala pandemik Covid-19 ini.


Sejak dunia dibelenggu krisis kesihatan ini, ramai memilih untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan secara atas talian. Oleh hal yang demikian, bagi membantu golongan peniaga kecil yang paling terkesan dengan perubahan ini, Grab memperkenalkan satu lagi program di bawah kempen #techuntuksemua mereka bagi membantu golongan ini menjana pendapatan dengan cara yang lebih mudah secara atas talian.


Program ini mempunyai tiga matlamat utama; memberikan suatu penyelesaian mudah bagi menjalankan perniagaan secara atas talian, mengadakan kempen pemasaran yang membantu meningkatkan permintaan di samping melonjakkan keterlihatan perniagaan kecil di aplikasi GrabFood, serta membangunkan lebih banyak peluang bagi peniaga-peniaga kecil yang terlibat dalam inisiatif khas ini.


Dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Grab, peniaga kecil yang menyertai program ini berpeluang untuk membina jenama mereka sendiri dengan menggunakan kedai online mereka yang disediakan oleh Grab. Pautan URL yang unik bagi setiap peniaga juga disediakan di samping perniagaan tersebut dihubungkan secara automatik kepada perkhidmatan Grab yang lain seperti GrabExpress, GrabPay, dan GrabRewards bagi kemudahan pelanggan dengan setiap penyertaan Grab Online Shop yang akan dilancarkan pada bulan Jun (2021) yang akan datang.


Para peniaga yang berminat hanya perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Grab; lebih daripada 5% daripada item di dalam menu makanan mempunyai gambar serta penerangan, lebih daripada 50% daripada item tersedia di dalam menu kedai, waktu operasi perniagaan secara atas talian sekurang-kurangnya perlu mencecah 20 jam seminggu serta merupakan perniagaan kecil dengan jualan bulanan kurang daripada RM30 ribu di GrabFood.


Melalui program ini peniaga kecil dapat menikmati pelbagai faedah yang membantu meningkatkan pendapatan mereka melalui Grab. Webinar serta bahan-bahan pendidikan tentang cara meningkatkan prestasi perniagaan serta kewujudan platform atas talian disediakan khas bagi mereka yang baru menyertai GrabFood. Bukan sahaja itu, setiap peniaga kecil akan didaftarkan secara automatik untuk menyertai Kempen GrabFood Small Business Week yang akan berlangsung selama seminggu setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan kecil dalam GrabFood.


Bagi peniaga yang menyertai kempen ini pada tahun ini, mereka akan dapat menikmati 0% bayaran perkhidmatan sepanjang tahun ini (10% bayaran perkhidmatan akan dikenakan selepas tahun 2021)


Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh, pandemik ini telah menjejaskan perniagaan kecil dan situasi ini telah memberikan gambaran yang jelas kepada Grab tentang keperluan mereka membantu golongan yang terjejas ini dalam mengatasi cabaran yang terhasil akibat norma baru masyarakat di kala pandemik ini.


“Kajian menunjukkan bahawa para pengguna akan lebih cenderung untuk terus menggunakan perkhidmatan digital pada masa hadapan, walaupun dalam tempoh pasca pandemik. Selepas mempertimbangkan kemungkinan ini, kami yakin bahawa teknologi dan kemampuan Grab dapat membuka laluan dan menyediakan peluang bagi para peniaga kecil dengan membangunkan solusi perniagaan jangka panjang untuk membantu golongan ini menangani keperluan pengguna yang terus berkembang." tambah beliau lagi.


Bagi memulakan Kempen GrabFood Small Business Programme, Grab akan menawarkan promosi penghantaran percuma dari 25 Mei ini sehingga 7 Jun, 2021 bagi meningkatkan prestasi perniagaan dan kewujudan atas talian para peniaga kecil.


60 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page