top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Integriti Dalam Kalangan Warga PDRM Perlu Ditingkatkan

Updated: Jan 23, 2022

Penulis: Muhammad Fareez Budiman Naim

Penyunting: Ridho Permana Prasetyo Aldi

Sumber: AskLegal


Sepanjang tahun 2020 iaitu daripada januari sehingga disember, seramai 116 pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah terlibat dengan kes salah laku dan masalah disiplin. Isu Integriti ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu didengari malah setiap tahun perkara ini sering disuarakan oleh pelbagai pihak sama ada daripada orang awam, mahupun ahli politik. Oleh itu, adalah satu perkara yang wajar untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan tahap integriti dari masa ke semasa.


Isu integriti ini hampir berjaya diselesaikan dengan adanya cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), namun sehingga kini masih tiada kata putus untuk menubuhkan IPCMC akibat tidak mempunyai perbahasan yang kukuh untuk menjayakan penubuhan suruhanjaya tersebut.


Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika berucap di dalam sebuah program di UKM, PDRM sendiri mempunyai bahagian integriti mereka sendiri dimana mana-mana pegawai atau anggota PDRM yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).


Beliau juga turut menyatakan bahawa isu gaji kecil juga tidak sepatutnya menjejaskan integriti kerana mereka yang berkhidmat di dalam PDRM diberikan elaun.


Jika dilihat dari aspek perubahan zaman, ia memainkan peranan yang penting untuk menunjukkan tahap integriti sesebuah anggota mahupun pegawai dalam PDRM ini. “Zaman Viral” sebagaimana yang sering diungkapkan oleh netizen telah membuktikan bahawa dengan adanya teknologi dan internet, segala salah laku polis boleh dirakam dan terus di muatnaik di platform media seperti Facebook, Twitter, dan yang terkini, aplikasi TikTok.


Antara video yang dapat dilihat adalah daripada anggota menerima rasuah, sehingga video anggota menayangkan senjata, gari, walkie talkie semata-mata untuk mendapat jumlah tontonan yang tinggi. Rata-rata video ini telah menyebabkan orang awam mempertikaikan integriti seorang pegawai mahupun anggota PDRM.


Namun juga tidak semua video adalah seratus peratus kesalahan daripada polis. Terdapat sebuah kes yang telah berlaku di Pulau Pinang dimana suspek telah hilang kawalan motor dan mengalami kecederaan setelah dikejar oleh polis pada 18 januari tahun lepas. Kita dapat lihat bahawa terdapat beberapa individu yang bertindak mempersoalkan integriti polis dalam melaksanakan tugas mereka. Video tersebut telah viral dan mengundang persepsi negatif terhadap anggota yang terlibat dalam kejadian tersebut.


Walau bagaimanapun, dengan adanya bukti rakaman yang kukuh daripada kereta peronda PDRM, Suspek tersebut telah cuba untuk melarikan diri daripada anggota tersebut sehingga melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.


Individu di dalam video tersebut telah dikenakan tindakan undang-undang kerana melemparkan kata-kata fitnah serta mengugut untuk mencederakan anggota tersebut.


Terdapat beberapa cara yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan tahap integriti dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM antaranya adalah dengan membentang semula IPCMC dan meluluskannya supaya orang awam lebih berani untuk melakukan aduan salah laku terhadap PDRM kerana IPCMC tersebut sendiri merupakan sebuah badan bebas daripada pengaruh dalaman serta menjamin integriti dan sikap professional pegawai dan anggota PDRM.


Seterusnya adalah dengan memberikan kamera badan (Body cam) kepada setiap anggota yang sedang bertugas. Dengan adanya kamera badan yang merakam tindakan yang dilakukan oleh anggota yang sedang bertugas, sedikit sebanyak tahap integriti ketika sedang melaksanakan tugas dapat dipertingkatkan serta jika berlaku sebarang masalah yang membolehkan suspek bertindak seolah-olah tidak melakukan kesalahan dapat dibuktikan melalui kamera badan yang terdapat pada anggota yang sedang bertugas tersebut.


Hal ini sekaligus dapat mengelakkan daripada video viral yang dirakam hanya memihak kepada suspek dan menjadi bahan tohmahan warga netizen terhadap PDRM serta menjadi bukti untuk melawan segala tuduhan yang dilemparkan kepada pihak polis.


Seterusnya, Pegawai atasan wajar menunjukkan contoh yang baik kepada anak buah untuk memupuk tahap integriti yang tinggi dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM. Dengan adanya “kepimpinan melalui teladan” iaitu seperti tidak mengharapkan sesuatu balasan sekiranya melakukan pekerjaan.


Melihat daripada isu dalaman, Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mengatakan bahawa perasaan takut tidak ada dalam undang-undang. Oleh itu jika mereka benar-benar mendalami undang-undang negara, masalah integriti tidak akan sesekali menjadi sebuah isu kepada mana-mana pegawai mahupun anggota.


Contoh yang diberikan adalah jika pegawai atasan melakukan salah laku, anggota mahupun pegawai tersebut tidak wajar berasa takut, sebaliknya boleh membuat nota bertulis pada tarikh kejadian supaya sekiranya berlaku apa-apa terhadap dirinya, nota bertulis tersebut boleh diguna untuk membela dirinya kerana jika seseorang itu berani mematuhi arahan yang diberikan, mereka perlu bersedia menanggung akibatnya.


Integriti dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM perlulah sentiasa ditekankan dan dipertingkatkan supaya keselamatan rakyat dapat terus dikecapi untuk masa yang akan datang.

704 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page