top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Isu Gaji Minimum Tuntut Tindakan Segera Kerajaan

Penulis: Aina Syahirah Haidil

Penyunting: Amirah Shahirah Sukemi

Sumber: Google


Tidak lama lagi kita bakal melangkah ke tahun 2022, tetapi rakyat masih lagi dibelenggu dengan bebanan kos sara hidup yang kian meningkat secara mendadak dengan kadar upah pekerja yang masih lagi dianggarkan tidak berubah seperti 10 tahun lalu telah mengundang kepada desakan rakyat terhadap kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum di Malaysia.


Jika dilihat secara asas, gaji minima dengan kadar RM1,100 hingga RM1,200 sebulan pada tahun 2021 bagi individu yang menetap di Kuala Lumpur, dengan komitmen bagi menampung keperluan asas, wang simpanan, insuran perlindungan dan kesihatan adalah sangat tidak wajar dan membebankan. Tetapi penyelesaian dalam menangani isu gaji minima yang tidak relevan masih lagi kabur dan mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk bertindak?


Gaji minimum menurut takrifan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) ialah jumlah umum saraan yang dikehendaki oleh majikan untuk membayar upah bagi kerja yang dilakukan dalam tempoh tertentu, yang tidak boleh sama sekali dikurangkan secara kolektif atau kontrak individu. Tujuan penetapan gaji minimum adalah untuk melindungi pekerja dari gaji yang terlampau rendah, juga bagi membantu memastikan bahagian yang adil dan saksama dari hasil kemajuan kepada semua. Ianya juga boleh menjadi salah satu elemen dasar untuk mengatasi kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan, termasuk golongan lelaki dan wanita, dengan mempromosikan hak untuk bayaran yang sama rata dengan nilai kerja.

Malaysia Berada di Tahap Kemiskinan Serius

Berdasarkan laporan tahunan dari Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan isi rumah kategori miskin tegar meningkat kepada 639.8 ribu pada tahun 2020 berbanding 405.4 ribu pada tahun 2019. Ini secara langsung membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan mutlak daripada 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020. Sementara itu, kadar kemiskinan tegar dianggarkan meningkat daripada 0.4% (2019) kepada 1.0% yang melibatkan 78 ribu isi rumah.


Apa yang lagi membimbangkan adalah apabila masih ramai lagi pekerja di Malaysia memperoleh gaji yang rendah iaitu di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara iaitu sebanyak RM2208. Penulis berpendapat bahawa isu ini tidak boleh didiamkan kerana ianya mencerminkan realiti sebenar bahawa kemajuan rakyat adalah cerminan kepada kemajuan sesebuah negara.


Tidak mustahil saban hari nilai mata wang Malaysia semakin susut, harga barang kekal melonjak naik namun gaji minima masih berada di tahap yang sama. Dalam masa yang sama, jurang pendapatan antara kelompok yang bergaji tinggi dan kelompok yang bergaji rendah juga semakin tinggi. Jurang pendapatan ini adalah tidak sihat kerana ianya merupakan pengukur kepada pengagihan kekayaan, kenaikan pangkat dan peluang pekerjaan yang tidak seimbang antara semua golongan. Hal ini adalah satu kebimbangan besar, juga menjadi indikator yang menggambarkan kelemahan pengurusan ekonomi negara yang kurang agresif dan produktif.


Intervensi Untuk Menangani

Justeru, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mendesak kerajaan menyemak dan menaikkan gaji minima sebanyak RM1,500 beserta Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan.


Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor juga mendesak kerajaan untuk melakukan semakan terhadap pelaksanaan gaji minima sekali pada setiap dua tahun selaras dengan Akta 732, Seksyen 25(1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. “Kerajaan wajib menyemak dan menaikkan kadar gaji minimum pada 1 Januari 2022. Pelaksanaan ini perlu disegerakan dan diseragamkan di seluruh Malaysia bagi membawa mesej jelas bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah tunjang kepada dasar kerajaan.” Ujar beliau.


Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengambil langkah-langkah awal sebelum pelaksanaan terlebih dahulu seperti memperkenalkan kenaikan gaji minimum ketika ledakan ekonomi sedang berlaku bagi mengurangkan kadar pengangguran.


Selain itu, pelaksanaan ini disarankan untuk dijalankan secara berperingkat dengan mengambil kira aspek kesediaan majikan dan syarikat. Di samping dapat menjalankan pemerhatian awal akan bagaimana pasaran ekonomi bertindak balas.


Meskipun begitu, penulis berpendapat bahawa kenaikan gaji ini tidak dapat menangani kadar pengangguran sepenuhnya, malah mungkin berisiko untuk semakin menambahkan kadar pengangguran tersebut memandangkan kebanyakan syarikat dengan pendapatan rendah dan terhad akan meminimalkan pengambilan pekerja bagi menjimatkan kos. Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk merangka inisiatif lain terhadap pihak majikan.


Seterusnya, penulis berharap agar kerajaan dapat mencari mekanisme terbaik dalam mencari penyelesaian terhadap isu ini secara segera dengan mengambil kira beberapa aspek lain seperti kos sara hidup, kos perumahan yang semakin tinggi tidak seiring dengan peningkatan pendapatan serta peluang pekerjaan dengan kadar gaji mengikut kelayakan.

183 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page