top of page
  • Writer's pictureHaisyadatul

Jangan Ambil Mudah Dengan Penyakit PCOS Bagi Kaum Wanita

Penulis: Haisyadatul Hurairi

Penyunting: Farena Hani


Sumber : Google


Satu dalam 10 wanita di dunia menghidap penyakit PCOS


Statistik menunjukkan satu dalam 10 wanita menghidap keabnormalan PCOS, iaitu 10 hingga 15 peratus wanita di peringkat umur reproduktif didiagnosis dengan penyakit ini dan apa yang lebih merisaukan, 50 peratus tidak didiagnosis kerana tidak sedar selain gejala yang mereka alami adalah dari segi fizikal sahaja. PCOS merupakan penyakit yang berkait rapat dengan gangguan metabolik, endokrin dan reproduktif yang mempengaruhi tahap hormon wanita.


Polycystic Ovarian Syndrome atau Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) merupakan salah satu masalah kesihatan dalaman bagi kaum wanita. PCOS adalah sindrom yang memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seorang wanita yang menghidapnya.


Penyakit ini tidak boleh dipandang remeh kerana menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Zuhairah Zulkufli, pesakit PCOS cenderung menghidap penyakit seperti obesiti, diabetes jenis 2, kanser endometrial, hipertensi disebabkan kehamilan, kelahiran anak yang pramatang dan mudah mengalami keguguran sekiranya hamil. Jadi, wanita diluar sana perlu menitikberatkan kesihatan diri sendiri sekiranya ada penyakit PCOS.


Simptom-simptom PCOS yang dialami oleh sesetengah wanita


Antara simptom yang paling kerap berlaku adalah kitaran haid yang tidak teratur serta mengganggu proses ovulasi yang menyumbang kepada kemandulan wanita. Hal ini kerana ada sesetengah wanita yang sudah berkahwin sukar untuk mengandung kerana mereka tidak dapat mengira waktu subur dengan baik. Ada sesetengah pesakit PCOS terpaksa menanggung kesakitan senggugut ketika datang bulan. Selain itu, pesakit PCOS juga mengalami masalah berat badan yang naik dengan mendadak sehingga berkemungkinan mencapai tahap obesiti dan ada kalanya seseorang itu mengalami insomnia.


Seterusnya, wajah dipenuhi jerawat melampau, kulit menjadi berminyak dan kehadiran tompok hitam yang degil juga merupakan antara simptom PCOS. Wanita yang menghidap penyakit PCOS cenderung mengalami masalah pertumbuhan rambut berlebihan dibahagian muka disebabkan oleh tahap hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi dan menghasilkan hirsutism.


Kebanyakan wanita PCOS mengalami lebih daripada satu simptom dan kebanyakan daripada mereka mempunyai kombinasi simptom yang berbeza kerana arahan genetik dalam setiap wanita itu berbeza. Simptom-simptom ini cukup memberi kesengsaraan kepada mereka yang mengalaminya sendiri.


Nour Fadhilah, 32, merupakan seorang ibu yang menderita dengan penyakit ini semenjak zaman remaja lagi. Beliau disahkan menghidap PCOS setelah melakukan pemeriksaan ultrasound yang menunjukkan ovari beliau bersifat polisistik. Pada awalnya, beliau mendapati bahawa terdapat abnormaliti dalam kitaran haid dimana haid beliau akan berlaku sekali dalam tempoh enam bulan. Beliau juga turut mengalami senggugut yang sangat teruk sehingga menyebabkan kesukaran dalam melakukan aktiviti harian. Bukan itu sahaja, wajahnya juga ditumbuhi bulu-bulu yang berlebihan serta jerawat yang banyak di bahagian bawah dagu. Berat badan beliau juga mudah meningkat dan pendarahan vagina juga berlaku semasa membuang air kecil. Pada awalnya, beliau menyangkakan dirinya menghidap penyakit batu karang, malangya, beliau merupakan salah seorang wanita yang menghidap penyakit ini.


Emosi dan mental pesakit PCOS terganggu


Golongan wanita yang mempunyai penyakit ini mungkin kelihatan seperti tiada masalah dalam kehidupan mereka, namun kita tidak tahu isi hati mereka kerana terpaksa menghadapi peritnya menghidapi penyakit ini. Disebabkan kitaran haid yang tidak teratur, ianya telah menyebabkan pesakit berasa gelisah lalu menyebabkan mereka banyak memikirkan perkara negatif yang mungkin berlaku kepada diri. Tambahan pula, pesakit rasa kurang selesa pada bahagian perut.


Paras rupa juga terjejas disebabkan oleh wajah yang dipenuhi dengan jerawat dan kulit yang berminyak menyebabkan pesakit tidak berasa yakin apabila berhadapan dengan orang ramai. Bulu-bulu yang tumbuh di muka juga membuatkan pesakit merasakan dirinya tidak seperti wanita-wanita normal di luar sana. Seperti yang kita tahu, terdapat sesetengah ahli masyarakat yang mempunyai mentaliti suka untuk menegur sekiranya wajah seseorang itu dipenuhi dengan jerawat. Hal ini akan menyebabkan emosi pesakit terganggu dan ianya mungkin akan memberikan kesan yang lebih buruk terhadap kesihatan mental pesakit itu.


Nour Fadhilah mengatakan ada juga rakan sepejabatnya yang sering mempersoalkan keadaan bahagian bawah dagunya yang dipenuhi dengan jerawat-jerawat yang besar. Hal ini telah menyebabkan beliau rasa tertekan sehingga tidak mahu bergaul serta berjumpa dengan rakan-rakannya lagi. Beliau juga turut mengalami senggugut yang teruk dan kesakitan tersebut telah menyebabkannya sukar untuk menjalani aktiviti harian. Menurutnya, beliau hampir kemurungan akibat daripada simptom yang dialaminya, namun beliau banyak dibantu oleh suaminya yang sering memberikan kata–kata semangat dan sokongan yang tinggi terhadapnya. Beliau juga tiada masalah dari segi kesuburan kerana setelah beberapa bulan mendirikan rumahtangga bersama suaminya, beliau telah disahkan mengandung pada usia 25 tahun.


Cara mengatasi PCOS


Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pesakit PCOS untuk mengurangkan kesan daripada simptom secara alami. Antaranya adalah menjaga pemakanan dengan cara mengurangkan pengambilan produk tenusu seperti susu kultur, susu dan tauhu, dan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet pemakanan seharian. Seterusnya, pesakit perlu mempraktikkan senaman yang kerap sekurang-kurangnya selama 30 minit sekali setiap hari.


Akhir sekali, bagi mereka yang menghidap penyakit ini, anda dikehendaki untuk belajar mengawal emosi dengan sentiasa berfikiran terbuka dan positif agar tidak memudaratkan kesihatan diri lebih-lebih lagi dari segi mental. Amalan gaya hidup yang sihat perlu diterapkan di dalam diri pesakit agar PCOS dan komplikasinya dapat dibendung dan dikurangkan.


145 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page