top of page
  • Writer's pictureSiti Syazreen Mahdzim

Kemelut Menstruasi Wanita

Penulis : Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Penyunting : NorFara Faziera Moh Razali


Sumber Foto: The Merdeka Times


Dalam menelusuri kehidupan berpaksikan kemajuan dan alaf baharu, masih ada masyarakat yang duduk di bawah kepompong kemiskinan dan hal ini amat menimbulkan kegusaran orang ramai. Konteks kemiskinan yang dimaksudkan bukanlah hanya tertumpu kepada harta benda semata-mata. Mungkin kerana salah faham inilah masyarakat boleh tutup sebelah mata mengenai isu kemiskinan haid.


Jika hendak dilihat pada skala global, menurut World Bank Group, 2022, setiap bulan sekurang-kurangnya 500 juta wanita di seluruh dunia mengalami kemiskinan haid. 12 peratus daripada 355 juta orang yang datang haid di India tidak mampu untuk membeli produk pengurusan haid seperti tuala wanita, menstrual cup dan lain-lain. Seperti yang dinyatakan oleh NGO Plan International, kemiskinan tempoh ditakrifkan oleh empat elemen penting ini iaitu kekurangan akses kepada produk sanitari, pendidikan kebersihan haid, tandas, kemudahan mencuci tangan dan pelupusan sampah. Jika wanita tidak mempunyai akses kepada mana-mana elemen ini, mereka akan mengalami kesukaran menguruskan haid mereka, yang akan membawa kepada kemiskinan haid.


Pernahkah kita terfikir bagaimana kaum wanita yang tinggal di kawasan pedalaman, tiada kemudahan asas seperti air yang bersih dan juga tidak mampu untuk membeli tuala wanita untuk menguruskan diri mereka semasa mereka dalam tempoh haid yang mungkin isu ini masih dianggap sebagai tabu dan remeh dalam kalangan masyarakat kita?


Di Malaysia sendiri, satu pek yang mempunyai 16 tuala wanita berharga kira-kira RM10

manakala satu bungkus tampon berharga kira-kira RM28. Isu ini amat menekan kelompok miskin bandar terutama semasa penularan COVID-19 kerana mereka akan lebih mengutamakan perbelanjaan untuk keperluan asas seperti makanan, air dan tempat tinggal berbanding kebersihan haid untuk menghadapi lagi peningkatan kos sara hidup di bandar.


GOLONGAN YANG BERISIKO MENGALAMI KEMISKINAN HAID


Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, bilangan warganegara perempuan adalah seramai 15.9 juta orang. Nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada tahun 2019 pula adalah pada RM2,208 sebulan.


Meskipun tidak ada pengelompokan usia wanita yang hanya mengkhususkan kepada wanita dari kalangan usia reproduktif atau statistik khusus yang menunjukkan bilangan perempuan yang masih didatangi haid, ia tetap menunjukkan akan terdapat golongan yang bakal atau sedang berdepan dengan masalah ‘kemiskinan haid’ terutamanya bagi golongan luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar.


Masalah ini juga sering berlaku semasa krisis seperti banjir, kebakaran dan migrasi. Semasa krisis, bekalan untuk mendapatkan tuala wanita dan air pasti akan terjejas. Sebagai contoh, di pusat pemindahan banjir, bilangan tandas awam adalah terhad. Hal ini sudah pasti akan merumitkan kaum wanita untuk membersihkan diri semasa tempoh haid.


Di sub-Sahara Afrika, kertas, pakaian lama, daun, kapas atau kepingan bulu lebih cenderung digunakan daripada produk menstruasi yang tradisional seperti tuala wanita.


KEKELIRUAN KEMISKINAN HAID


Pengurusan haid yang baik adalah sangat penting untuk memastikan kebersihan dan kesihatan seseorang. Kelengkapan alatan pengurusan haid seperti tuala wanita dan tampon merupakan suatu keperluan penting sepanjang tempoh menstruasi. Walau bagaimanapun, akibat kemiskinan dan bilangan tuala wanita yang terhad, ada yang terpaksa menggunakan tuala wanita yang sama bagi tempoh yang panjang.


Dr Sharifah Fatimah Alzahrah yang merupakan Penasihat Peduli Merah, iaitu satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia berkata setiap wanita perlu untuk mendapatkan akses terhadap keperluan asas kebersihan seperti tuala wanita secara percuma dan peluang pendidikan yang setara.


Sumber Foto: Twitter @PeduliMerah


Beliau yang sedang mengkaji isu kemiskinan haid dalam kalangan belia, berkata stigma dan perspektif negatif tentang haid yang masih menebal dalam kalangan masyarakat menjadikan ianya sukar untuk dibincangkan secara terbuka.


“Banyak negara di dunia mengambil langkah dalam menangani cabaran kemiskinan haid, contohya negara Britain yang memperuntukkan dua juta pound (RM10.7 juta) kepada pertubuhan yang mengusahkan advokasi berkaitan kemiskinan haid ini


“Scotland misalnya memberi akses percuma kepada barangan haid kepada semua wanita dan inisiatif ini mampu untuk menangani kemiskinan haid secara efektif. Begitu juga Perancis yang mengurangkan cukai jualan untuk barangan haid,” katanya.


HAPUSKAN STIGMA MASYARAKAT


Banyak pertubuhan bukan kerajaan bekerja keras untuk memerangi kemiskinan haid ini. Selain NGO, aktivis kemiskinan had banyak membuat kempen baharu yang bertujuan untuk menamatkan fenomena ini. The Pink Protest yang berpangkalan di United Kingdom bekerjasama dengan aktivis kemiskinan haid dalam kempen Free Periods untuk menyeru kerajaan British untuk mengambil inisiatif bagi menamatkan kemiskinan haid rakyat British.


The Pink Protest menunjukkan bagaimana masyarakat boleh menggunakan media sosial untuk memerangi masalah kemiskinan haid. Hal ini untuk menggalakkan golongan muda di seluruh dunia untuk mengambil satu tindakan setiap minggu melalui siri Instagram mingguan mereka dengan tanda pagar #OnWednesdaysWearPinkAndProtest.


Sementara itu, alumni MYCorps, Fitriyati Bakri, Maisarah Razali dan Amir Junaidi yang

merupakan sukarela belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan, mencetus satu idea untuk mencipta tuala wanita guna semula (BUNGA Pads) secara percuma untuk diberikan kepada golongan memerlukan.



Sumber Foto: The Star


Di Malaysia, baru-baru ini Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

44 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page