top of page
  • Writer's pictureNurul Yasmin Yuhanis Ahmad Yunus

Kemunculan Sulung Pelajar UKM Di Slot Lestari TV3

Updated: Jan 15, 2023

Penulis: Nurul Yasmin Yuhanis Ahmad Yunus

Penyunting: Umi Hanisah Jeshri


Sumber Foto: Preti Kaur Gill


BANGI, 10 Jan - Siapa sangka seorang gadis Punjabi beragama Sikh yang mulanya hanya membuat kandungan di TikTok dengan dialek bahasa Terengganu yang pekat telah menjadi tular sehingga mampu menceburi dalam bidang lakonan.


‘Bawah Blok’ merupakan kemunculan sulung lakonan beliau di slot Lestari TV3 iaitu sebuah siri drama yang mengisahkan persahabatan lima remaja yang tinggal di flat yang sama dan berjanji untuk saling menjaga dan tidak jatuh cinta antara satu sama lain, siri ini diarahkan oleh Shuhaimi Lua Abdullah dan diterbitkan oleh Tanah Beris Film Production Sdn Bhd.


Menurut Preti Kaur Gill A/P Jagjit Singh Gill, 22, pelajar Tahun 2 Media dan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau hanya membuat video kandungan mengikuti trend di TikTok kerana minat dan beliau tidak menyangka bahawa salah satu video beliau menjadi viral dalam masa 24 jam.


“Life as a Sikh Teen in Terengganu” merupakan video Tiktok pertama Preti yang telah tular di TikTok.


“Saya agak terkejut kerana sejurus selepas saya memuat naik video tersebut di TikTok ramai yang memberi komen bahawa mereka kurang pengetahuan tentang agama Sikh dan ramai yang meminta saya untuk membuat lagi kandungan yang berkaitan dengan agama saya di Malaysia.


“Lama kelamaan dengan memuat naik konten berkaitan kehidupan saya sebagai seorang gadis Sikh yang fasih berbahasa Melayu dengan menggunakan dialek Terengganu, rezeki datang dengan melimpah ruah,” katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.


Oleh kerana fasih dan lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dengan dialek, berbanding dengan bahasa ibundanya, iaitu bahasa Punjabi. Preti Kaur Gill telah menjadi Ikon Terengganu Keluarga Malaysia pada tahun 2022 sejurus selepas viral dengan video TikTok beliau.


Sejurus selepas itu, kerana minat beliau dalam bidang media dan komunikasi, beliau cuba menceburi dalam Cek Mek Molek Tati Pencarian DJ Radio Molek FM anjuran Molek FM oleh Media Prima dan telah menjadi antara finalis, 5 Terbaik.


Preti sebagai DJ Cek Mek Molek Tati Molek FM, sebagai muka hadapan Dewan Bahasa, semasa di set penggambaran Ikon Terengganu Keluarga Malaysia 2022. Sumber Foto: Preti Kaur Gill


“Bagi dalam bidang lakonan, ia sememangnya rezeki yang saya sangat hargai kerana saya tidak pernah melalui sebarang uji bakat lakonan dan saya mendapat watak bagi siri televisyen TV3 ‘Bawah Blok’ ini melalui TikTok produksi Tanah Beris Film Production,” ujarnya.


Walaupun tiada latar belakang sebagai pelajar teater atau pernah memasuki kelas lakonan tetapi kerana minat beliau dalam bidang lakonan, beliau berasa sangat gembira dan bersyukur kerana ia merupakan impian beliau untuk menjadi seorang pelakon.


“Banyak yang saya pelajari untuk menceburi dalam bidang lakonan ini semasa di set penggambaran ‘Bawah Blok’, saya perlu belajar lebih mendalami lagi dalam bidang lakonan ini kerana ia merupakan impian dan minat saya lebihan lagi bidang yang berkaitan dengan jurusan saya di UKM ini.


Preti di set penggambaran ‘Bawah Blok’.

Sumber Foto: Preti Kaur Gill

Preti bersama barisan pelakon utama ‘Bawah Blok’ di set penggambaran.

Sumber Foto: Preti Kaur Gill


“Saya ingin menjadi wakil kaum Punjabi di Malaysia kerana jumlah pelakon dan pengamal media daripada kaum saya amat sedikit, bagi anak muda di luar sana jangan risau dengan warna kulit, bangsa serta keturunan anda ia tidak wajar untuk menjadi sebagai alasan untuk tidak boleh menyertai dunia seni,” ungkap beliau dengan penuh harapan.


Saksikan drama ‘Bawah Blok’ yang bersiaran setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9.00 malam menerusi slot Lestari TV3 atau strim secara atas talian di watch.tonton.com.my.


Poster rasmi siri televisyen ‘Bawah Blok’ di Lestari TV3. Sumber Foto: TV3


124 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page