top of page
  • Muhammad Yusry Haiqal Yusof

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Mahukan Kemenangan Besar

Penulis: Muhammad Yusry Haiqal bin Yusof

Penyunting: Nur Aiman Syahmi bin Zainuddin

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon. Sumber Foto: The Vibes


KUALA LUMPUR, 23 Dis Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon bukan sekadar mahukan kemenangan malah menuntut jaringan gol yang besar pada perlawanan menentang Laos dalam saingan Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Beliau berkata jumlah jaringan menentang Million Elephants esok dan perlawanan berikutnya menjadi amat penting bagi menentukan pasukan mana akan mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Malaysia mengutip tiga mata selepas menewaskan Myanmar 1-0 dalam perlawanan pembukaan kumpulan pada Rabu lepas, manakala Vietnam menang besar ke atas Laos 6-0.

“Sasaran kita, mesti menang (esok) dan jika kita mahu menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas, kita perlu mengejar perbezaan gol. Vietnam sudah dapat enam jaringan manakala kita satu, dan kita kurang lima gol.


“Kita amat menghormati Laos kerana selepas kekalahan besar, mereka pasti bangkit lebih kuat. Tentu mereka tidak mahu kalah lagi. Kita perlu lebih kuat berdepan Laos untuk capai sasaran kita,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.

Pan Gon mengingatkan anak buahnya agar tidak mengambil pertemuan dengan Laos secara sambil lewa kerana skuad bimbingan Michael Weiss itu pastinya akan menjadi lawan yang sukar.

“Mereka akan kawal bola dan tidak bagi kita ruang. Kita perlu fokus, tepat dan bersungguh-sungguh. Sudah pasti satu perlawanan yang agak sukar tapi jika kita patuh dengan cara kita, saya yakin kita mampu melakukannya dengan baik,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Sementara itu, pemain tengah skuad Harimau Malaya Brendan Gan berkata skuad negara sentiasa mencipta peluang untuk menjaringkan seberapa banyak gol dalam setiap perlawanan namun kadang-kadang tidak seperti diharapkan.

Beliau berkata pasukan perlu ikut arahan diberikan jurulatih jika mereka mahu mencapai keputusan yang diinginkan.

“Kita tidak perlu risau tentang bagaimana corak permainan Laos atau terperangkap dalam corak permainan lawan. Kita perlu fokus tentang pasukan kita dan mampu melaksanakan gaya permainan yang telah diberikan oleh jurulatih,” kata pemain Selangor FC itu.

Malaysia tidak pernah tewas kepada Laos dalam saingan Piala AFF dan pada pertemuan terakhir dalam saingan kumpulan edisi lepas, skuad Harimau Malaya menang 4-0.

Selepas menerima kunjungan Laos, Malaysia akan berdepan dua pesaing sukar Vietnam di Hanoi pada Selasa depan sebelum menerima kedatangan Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Jan.

5 views0 comments

Related Posts

See All
bottom of page