top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Konsert K-POP Dibatalkan Gara-gara COVID-19


Oleh: Yazlin Farina Yahaya

Penyunting: Amy Ting



Sumber: Star Planet



Konsert sebuah kumpulan penyanyi terkenal Korea Selatan, GOT7 yang sepatutnya diadakan pada 7 Mac 2020 di Axiata Arena terpaksa dibatalkan gara-gara wabak Novel Koronavirus (Covid-19).


Menurut wakil Star Planet, penganjur konsert GOT7 2020 World Tour ‘Keep Spinning’ In Kuala Lumpur, konsert tersebut terpaksa dibatalkan demi menjaga keselamatan artis, kakitangan serta peminat dari wabak yang semakin teruk melanda dunia ketika ini.


Star Planet juga memberi kenyataan bahawa, keputusan untuk membatalkan konsert tersebut diambil setelah menjalankan pelbagai pertimbangan dan perbincangan bersama pihak agensi GOT7, JYP Entertainment sendiri.


Wakil Star Planet berkata, “Kedua-dua pihak ini telah bersetuju untuk membatalkan konsert tersebut demi menghormati garis panduan kedua-dua negara untuk membanteras Covid-19 dari terus berleluasa dengan mengelakkan pergerakan masuk dan keluar pelancong ke dalam dan ke luar negara”.


JYP Entertainment turut mengeluarkan kenyataan kepada peminat dan memohon maaf atas pembatalkan konsert tersebut serta berjanji akan membawa GOT7 kepada peminat pada masa akan datang.


Yazmiera Fariesha Yahaya, 17, antara peminat GOT7 berkata, “Walaupun saya tidak berpuas hati dengan pembatalan konsert GOT7 di Malaysia, tetapi saya menghormati keputusan Star Planet dan JYPE demi menjaga keselamatan pelbagai pihak dan bukan sahaja keselamatan artis”.


Nur Husnina Azmi, penuntut Management and Science University (MSU) yang juga seorang peminat GOT7 menyatakan bahawa, pihak penganjur dan pihak agensi telah mengambil langkah yang baik dengan membatalkan konsert GOT7 di Kuala Lumpur.


“JYPE dan Star Planet sebenarnya mengambil langkah yang sangat baik kerana mereka bukan sahaja ingin menjaga keselamatan pelbagai pihak, tetapi juga menghormati tindakan pihak kerajaan yang ingin mengelakkan pelancong masuk serta keluar dari negara ini”, katanya.


Walaupun rata-rata peminat seperti menyokong tindakan pembatalan konsert GOT7 itu, namun terdapat juga yang menentang. Nur Alifah (Sarjanamuda Linguistik, 2) yang berpendapat bahawa kerajaan serta penganjur boleh melakukan pelbagai kaedah lain selain membatalkan konsert itu antaranya melakukan pemeriksaan menyeluruh kepada semua artis, kakitangan bahkan kepada peminat yang hadir ke konsert mereka.


“Penganjur boleh melakukan pelbagai inisiatif lain selain daripada batalkan konsert itu, seperti agihkan topeng penutup muka, hand sanitizer dan lakukan pemeriksaan menyeluruh kepada semua yang terlibat dengan konsert GOT7”, katanya.


6 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page