top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

KRM Bakal Lancar Akademi Ragbi Malaysia

Updated: Apr 30, 2021

Oleh: Izzati Azali

Penyunting: Aina Safuan


Sumber: Fahmy Jalil


BANGI, 27 April - Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bakal merangka pelancaran Akademi Ragbi Malaysia yang melibatkan pengadil dan juga pemain sebagai inisiatif terbaru dalam pembangunan ragbi Malaysia pada suku keempat tahun ini.


Menurut Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil berkata, pelancaran program tersebut masih dalam peringkat pembikinan dan penstrukturan dasar yang telah dibincangkan padaawal tahun ini. Rancangan bagi pelancaran program itu juga dikatakan telah mendapat kelulusan dan persetujuan bersama oleh semua pihak yang terlibat.


“Berkaitan dengan program ini, akan diumumkan dengan lebih lanjut oleh Presiden Ragbi Malaysia setelah semuanya bersedia nanti” ujar beliau dalam temubual semalam.


Beliau juga turut menerangkan bahawa program itu berkemungkinan bakal menitik beratkan asas dalam ragbi sehingga ke peringkat yang tertinggi. Program tersebut turut menjadikan pemain dan pengadil yang sedang aktif berkhidmat mahupun yang telah bersara sebagai kumpulan sasaran.


“Program ini merupakan satu program jangka masa panjang dan berterusan. Sama seperti program yang dikeluarkan atau dijalankan bagi sesebuah organisasi pelajaran,” kata beliau lagi.


Beliau turut mengulas bahawa KRM lebih fokus terhadap perancangan dua kejohanan tahunan buat masa kini. Lembaga Pertandingan Ragbi Malaysia telah memutuskan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2021 di Ipoh, Perak serta Kejohanan Piala Agong 2021 seluruh Malaysia yang bakal berlangsung mulai Julai ini.


Susulan daripada perancangan kejohanan tersebut, beliau turut menyatakan bahawa pihak KRM telah mengeluarkan surat jemputan kepada semua yang terlibat iaitu seramai 18 ahli gabungan yang melibatkan 14 buah negeri di Malaysia, Labuan, Putrajaya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan dengan penganjuran kejohanan tersebut bagi persiapan awal oleh pihak KRM.


“Penganjuran program tertakluk kepada kebenaran yang dikeluarkan kerajaan dan ianya bergantung kepada situasi semasa” ulas Fahmy Jalil yang menegaskan bahawa pihak KRM akur dengan semua arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.


Beliau juga turut mengatakan bahawa pihak KRM sentiasa mengamalkan polisi dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh World Rugby berkaitan player welfare, Match Official, pengurusan bertauliah serta kendalian kejohanan di bawah World Rugby Match Commisioner.


“Pembangunan Ragbi Malaysia merupakan program yang tiada penghujungnya dan saya amat berharap kesinambungan dan kejayaan sesuatu program itu akan menghasilkan satu sejarah dan kegembiraan kepada semua warga Malaysia dimana kegembiraan dan kejayaan itu dikongsi bersama” kata beliau mengenai harapannya terhadap pembangunan Ragbi Malaysia dalam temu bual semalam.

504 views4 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page