top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kursus Media: Mendepani Cabaran Globalisasi

Oleh : Nazrin Zulkafli Editor : Shafiq Muslim



Sumber: Google

Seperti sedia maklum, banyak syarikat media yang mana pada masa kini sedang menapis dan juga membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan juga sebagainya. Sebagai contoh, Media Prima yang mana mewakili New Strait Time Press dan beberapa saluran televisyen lagi telah mengumumkan akan membuang pekerja di awal tahun hadapan yang mana mencecah ribuan pekerja.


Ancaman terhadap media konvensional hari ini dilihat sebagai satu perkara yang membimbangkan terutamanya dalam kalangan mahasiswa mahasiswi yang sedang mengikuti kursus media dan komunikasi di institusi-institusi pendidikan tinggi tempatan. Pernyataan ini sering menimbulkan persoalan di dalam benak fikiran penulis akan apa sebenarnya yang berlaku dalam dunia media hari ini.


Hal ini kerana wujudnya impak yang begitu besar bukan sahaja kepada organisasi media dan pengamal media itu sendiri, malah memberikan cabaran kepada graduan yang baru menamatkan pengajian dalam bidang media dan komunikasi yang sedang mencari peluang dalam syarikat-syarikat media tempatan.


Apa tidaknya, fenomena yang melanda dunia media hari ini umpama satu tsunami yang dahsyat tatkala globalisasi menjadi agen terpenting dalam perubahan landskap hidup masyarakat dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Kesan yang signifikan terutamanya, dapat kita lihat apabila media konvensional berubah kepada media baharu yang lebih mudah diakses menerusi capaian yang lebih pantas.


Jika dahulu masyarakat menunggu berita-berita terkini menerusi cetakan akhbar yang menjadi satu medium untuk mendapatkan berita yang sahih, berbeza situasinya hari ini apabila masyarakat telah beralih arah kepada media digital yang mudah dicapai selain dapat menjimatkan kos mereka untuk mendapatkan berita.


Trend baharu ini juga menjadi penyumbang kepada ketidakcelaruan organisasi media khususnya media cetak dan surat khabar yang menjadi huru-hara selepas peralihan masyarakat kepada media digital. Banyak syarikat akhbar yang terpaksa ditutup sehingga ramai pekerja yang diberhentikan.


Fenomena ini secara tidak langsung memberikan pengajaran dan gambaran awal kepada institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia untuk menilai semula silibus pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan.


Memetik kenyataan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, berkata pelajar bidang itu perlu tahu mengenai realiti baharu perniagaan dan operasi media termasuk keseluruhan disiplin pengumpulan, pemprosesan dan penyebaran berita. Beliau juga turut menambah IPT mencakupi universiti awam (UA) perlu memastikan kurikulum yang diajar menepati kehendak industri dan tidak ketinggalan zaman kerana media masa kini amat berbeza dengan 10 tahun lalu.


Menyedari hakikat ini, penulis berpendapat bahawa sebagai seorang yang bakal berhadapan dengan dunia revolusi industri yang kian mencabar ini seseorang yang berkecimpung dalam bidang ini perlu mengambil inisiatif sendiri dengan menonjolkan diri dalam semua aspek. Sebagai contoh, pelajar media tersebut perlulah mengetahui selok-belok untuk menjadi seorang wartawan yang mana mampu untuk menghasilkan berita dengan baik dan juga cepat.


Hal ini kerana, sebagai pelajar media seseorang perlu berusaha untuk lebih proaktif, produktif dan kreatif bukan sahaja dalam akademik malah kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan sebagai seorang pengamal media. Antara aspek kemahiran termasuklah menulis berita, wartawan lokasi dan juga pelbagai lagi.


Hal ini seiring dengan kemunculan media baru yang dipacu oleh kemajuan teknologi, perubahan dalam dunia kewartawanan juga beralih kepada pendekatan dalam talian. Oleh itu, seseorang pelajar media tersebut perlulah mengetahui dengan lebih mendalam ataupun telah menguasai teknologi kini yang mana semakin mendapat perhatian ramai daripada aspek berita. Lihat sahaja pada hari ini yang mana anak muda lebih gemar menggunakan media sosial mereka untuk membaca dan mengetahui tentang sesuatu berita tersebut jika dibandingkan dengan surat khabar yang dijual dikedai-kedai.


Latihan praktikal seperti industri media dan juga organisasi berkaitan perlulah memberikan tunjuk ajar kepada pelajar media tersebut untuk memberi pengalaman yang sewajarnya kepada mereka. Ini kerana seperti sedia maklum jika seseorang digelar praktikal pasti hanya diberikan kerja yang senang dan mudah untuk disiapkan. Malahan, ada juga tempat-tempat yang memberikan kerja tidak berkaitan dengan kursus yang diambil semasa mereka belajar. Jelas menunjukkan latihan praktikal juga memberikan impak yang besar kepada seseorang pelajar media untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.


Hakikatnya, kajian media dan kewartawanan masih relevan. Bagaimanapun, ia memerlukan perubahan dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan komunikasi semasa. Kita perlu memperbaiki bidang pengajian keseluruhan, sementara media korporat perlu melihat diri mereka untuk menilai untuk menentukan pendekatan baru untuk masa yang mencabar.

653 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page