top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Mayat Tarikan Seksual Pelaku Nekrofilia

Oleh : Nur ‘ Ain Syafiqah Rahim

Penyunting : Nurul Huda Nasuha Mizan


Sumber : Imej Google

Dua orang remaja berasal dari Davao, Filipina dikhabarkan telah bertindak merogol mayat seorang wanita berusia selepas menggali kuburnya di Tanah Perkuburan Awam Bandar Digos sehari selepas pengebumian. Perbuatan mereka mula dihidu oleh saudara-mara mereka sendiri apabila kubur mangsa, Isabel Bastatas, 84, kelihatan digali semula dengan keadaan kedua-dua belah kaki mangsa terjulur keluar dari keranda. Memetik laporan Daily Mail Online, seorang pegawai polis di tempat kejadian, Leftenan Kolonel Ernesto Castillo berkata penangkapan suspek dibuat selepas saksi-saksi tampil membantu siasatan dan menyatakan kes itu disiasat atas tuduhan terlibat dengan nekrofilia.


Nekrofilia yang dimaksudkan adalah perlakuan seks oleh individu terhadap mayat. Ia dikategorikan sebagai masalah penyimpangan seksual dan pelakunya lebih dominan kepada kaum lelaki. Seks adalah salah satu nafsu yang memang wajar ada pada diri manusia tetapi mungkin ramai di kalangan kita tidak menyedari bahawa dalam masyarakat hari ini terdapat individu atau komuniti yang mempunyai tarikan seksual yang menyimpang daripada nafsu seksual secara normal seperti nekrofilia berbanding isu pedofilia (tarikan seksual dan perlakuan seks terhadap kanak-kanak).


Perlakuan hubungan intim bersama orang yang sudah mati sememangnya dianggap pelik dan jijik tetapi itulah realitinya dan pahit untuk ditelan bahawa kebenaran tentang wujudnya manusia-manusia ‘seks mania’ tersebut. Umumnya, motif si pelaku nekrofilia ini adalah cubaan untuk mendapatkan pasangan seks yang tidak mampu bertarung atau melawan dan membolehkan mereka bebas meluahkan diri secara seksual tanpa berlaku sebarang penolakan.


Kategori Penghidap Nekrofilia


Menurut Anil Aggrawal dalam Journal of Forensic and Legal Medicine, perlakuan nekrofilia atau namanya dalam Bahasa Inggeris, Necrophilic ini terbahagi kepada 3 jenis penghidap utama iaitu ;


1. Necrophilic Homicide


Penghidap gangguan seksual ini akan bertindak mencari mangsa untuk membunuhnya terlebih dahulu supaya boleh mendapatkan mayat, kemudian menyetubuhi mangsa bagi memperolehi kepuasan.


2. Regular Necrophilic


Penghidap ini pula hanya menggunakan mayat yang sudah mati dan kebiasaannya akan bertindak menggali kubur mayat yang telah dikebumikan bagi mencapai kepuasan seksual mereka semata-mata.


3. Necrophilic Fantasy


Penghidap Necrophilic Fantasy mendapatkan kepuasan seksualnya dengan hanya berfantasi yang membayangkan mereka sedang melakukan hubungan seks dengan mayat, tetapi hakikatnya tidak.


Simptom Gejala Nekrofilia


  • Tidak berupaya menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan

  • Tertarik dengan bau busuk

  • Tidak peka dengan tragedi kehilangan nyawa

  • Berkulit kering

  • Tertarik dengan perkara kesakitan dan kematian

  • Ketidakupayaan untuk ketawa

  • Cenderung terhadap senyum sinis

  • Kurang spontan

  • Suka berpakaian warna gelap

  • Percaya bahawa menyelesaikan konflik memerlukan cara kekerasan atau keganasan

  • Cenderung memecahkan dan memotong benda-benda kecil


Sumber : Imej Google

Bahana Hubungan Intim Dengan Mayat


Selain menyimpang daripada norma sosial, nekrofilia juga membahayakan individu yang terlibat dalam hubungan seks dengan mayat sehingga boleh menyebabkan maut. Ini kerana mayat yang dijadikan mangsa seks ini kebiasaannya tidak menjalani proses pengebumian atau pelupusan mayat secara sebetulnya.


Sisa air dan kotoran yang dikeluarkan oleh mayat-mayat tanpa dikebumikan dan tidak diletakkan di makam pengebumian atau ruang simpanan mayat sementara boleh mengakibatkan penyebaran gastroenteritis (keradangan lapisan usus) dari kandungan usus jenazah. Malah, mayat atau bangkai manusia secara azalinya akan mengeluarkan bau busuk akibat pelepasan zat Cadaverine dan Putresin dan jika dihidu dalam masa yang lama boleh meyebabkan keracunan.


Pelaku nekrofilia juga berisiko terkena penyakit jangkitan dan penyakit kronik melalui hubungan intim dengan mayat yang mungkin menderita penyakit seperti Hepatitis B dan Hepatitis C, HIV, Patogen usus, batuk kering, taun dan lain-lain.


Punca Nekrofilia


Sehingga kini, punca terjadinya gejala tarikan seksual abnormal ini belum pasti diketahui. Namun, umumnya orang yang menghidap nekrofilia juga mengalami gangguan yang lain. Misalnya gangguan cemas atau kemurungan. Selain itu, terdapat juga pelaku kegiatan mengerikan ini terlibat dengan penggunaan narkotik atau bahasa mudahnya, najis dadah.


Nekrofili Datang Dari Broken Homes


Kes nekrofilia ini bukan lagi suatu kes yang diangap ‘unik’ di luar negara apatah lagi di benua Eropah. Seperti kes nekrofilia yang popular tahun ini dan kisahnya telah menarik minat pihak Netflix untuk menerbitkan sebuah dokumentari bersiri untuk tatapan umum. Dokumentari “The Ted Bundy Tapes” ini dibintangi oleh aktor terkenal, Zac Efron bagi watak Ted Bundy selaku seorang psikopat, kejam, dan pencinta mayat.


Berdasarkan dokumentari ini, Ted Bundy dikenali sebagai seorang rupawan, peramah dan berkarisma. Bagaimanapun, di sebalik wajah kacaknya terselindung minda jahat seorang pembunuh bersiri. Di antara tahun 1974 dan 1978 Bundy telah bertindak menculik dan membunuh seramai 20 orang wanita muda di Amerika Syarikat. Itu antara jumlah yang direkodkan dan pakar jenayah mengatakan yang dia mungkin terlibat dengan kehilangan dan pembunuhan 40 orang perempuan lain yang tidak diakuinya.


Bagi kes nekrofilia yang dilakukan oleh Ted Bundy ini, dia telah memecah masuk ke dalam rumah mangsanya yang ketika itu sedang tidur dan mula memukul mereka dengan objek keras sehingga mati. Selepas membunuh mereka, Bundy dengan nafsu binatangnya akan merogol, menyeksa mayat atau memotong anggota badan mangsa, lalu dia menyimpan anggota badan ini sebagai cenderamata selama berbulan-bulan.

Kehidupan Ted Bundy ketika masih kecil tidak seindah seperti kanak-kanak biasa. Dia dipercayai merupakan seorang anak yang dilahirkan hasil sumbang mahram oleh ibunya, Eleanor Louise Cowell bersama datuknya. Zaman ketika itu, masyarakat di Amerika Syarikat mempunyai persepsi negatif terhadap wanita yang melahirkan anak luar nikah. Maka, dia diserahkan kepada datuk dan nenek kandungnya untuk dibesarkan. Malangnya, datuk Ted dikatakan tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai seorang penjaga malah sering membelasah isterinya iaitu nenek Ted di hadapannya.


Pembentukan Anak Dipengaruhi Latar Belakang Keluarga


Ini menunjukkan latar belakang keluarga juga memainkan peranan penting dalam membentuk seseorang dari aspek ciri peribadi, perilaku, dan kehidupan masa hadapannya. Jika diperhatikan, ramai psikopat seperti Nechrophilic ini datang dari ‘broken homes’ atau dalam erti lain, keluarga yang tidak sempurna . Keretakan rumah tangga atau kegagalan ibu bapa dalam menjalankan tugas mereka telah memberi kesan kepada hidup mereka.

‘Broken Homes’ yang dimaksudkan bukan setakat ibu bapa berpisah, tetapi juga ibu bapa yang terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk diluangkan bagi membina perhubungan dan kepercayaan dengan anak-anak serta mengajar mereka nilai-nilai kehidupan. Mereka tidak diminta untuk lahir menjadi seorang pembunuh dan perogol mayat tetapi angkara persekitaran kehidupannya membentuk mereka menjadi sebegitu.


Jika zaman kanak-kanak seseorang itu bahagia, walaupun mempunyai genetik pembunuh, anda berkemungkinan boleh hidup sebagai orang dewasa yang normal. Jika seorang pembunuh berpotensi mempunyai genetik yang salah dan zaman kanak-kanak yang buruk, ia ibarat satu bom jangka yang tunggu masa mahu meledak.

69 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page