top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ngaji Ko Nikoh?

Oleh: Muhammad Haziq Fikri Hassan

Penyunting: Zarith Sofea Zawawi



Sumber: Facebook PEMBINA UKM

BANGI, 21 DIS – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan sebuah program tahunan iaitu Majlis Ilmu Ngaji Ko Nikoh yang dilihat dapat menyatukan masyarakat terutamanya dalam kalangan pelajar UKM.


Program yang dijalankan pada 5 Disember yang lalu bertempat di Masjid UKM telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar.


Program ini turut dihadiri oleh seorang penceramah yang merupakan seorang penulis buku Tarbiah Sentap yang dikenali ramai dengan penulisannya yang begitu mendalam iaitu Ustaz Adnin Roslan.


Buku Tarbiah Sentap yang diasaskan pada Ogos 2014 ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, menyampaikan cara pemikiran Islam yang sebenar, dan syumul meliputi seluruh aspek kehidupan.


Pengarah Program, Mohd Akmal Affandi Mohd Nasir, 20 berkata, program seperti ini mampu memberikan kemahiran pengurusan organisasi secara kreatif dan efektif disamping menjadi seorang pemimpin dimana lebih baik memimpin daripada mengarah.


“Selain daripada kita menimba ilmu, kita dapat mengenali jiwa setiap watak manusia dalam masyarakat dengan lebih dekat dan mampu bertindak berdasarkan situasi bukannya diri,” tambahnya lagi.


Dalam pada itu, Yang Dipertua PEMBINA, Ahmad Luqman Mat Ariffin, 22, berkata, “PEMBINA UKM bermula pada tahun 2009 dan telah banyak menyumbang bakti kepada UKM dan masyrakat luar.


“Program-program PEMBINA sememangnya mengikuti panduan syariat Islam yang mana batasan pergaulan pada setiap mesyuarat dan program yang melibatkan lelaki dan perempuan.”


Jelasnya lagi, beliau menyeru agar pelajar UKM dapat terus bersama PEMBINA dan menyokong agenda Melakar Kanvas Baharu Mahasiswa 2020 di UKM.


Menurut salah seorang peserta program, Fairuz Khairuddin, 25, “Program seperti ini seharusnya diperbanyakkan terutamanya kepada golongan muda kerana pada zaman kecanggihan teknologi ini, kita terlalu leka sehingga terabai untuk mengumpul bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.”


Pelbagai aktiviti lain yang menarik turut dijalankan menerusi program ini antaranya bacaan Al-Mathurat, alunan selawat, iftar dan juga solat maghrib secara berjemaah.

73 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page