top of page
  • Writer's pictureSharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

PASCA PRU15: GPS serah kepada Agong tentukan PM-ke10

Penulis: Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Penyunting: Siti Kamariah Sujeno


Sumber Gambar: Suara Sarawak


Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 telah menunjukkan persaingan yang sengit terutamanya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang diibaratkan seperti bertegang urat leher berkeras buku lidah apabila masing-masing tidak mahu mengalah dalam mencapai kata sepakat.

Keputusan pilihan raya telah dikeluarkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dengan keputusan pertembungan 4 pepenjuru didahului oleh PH 82 kerusi, PN 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi dan juga tiada kerusi bagi Gerakan Tanah Air (GTA).

Selain itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 23 kerusi, diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, Warisan 3 kerusi, Bebas 2 kerusi dan Parti Bangsa Malaysia dan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 1 kerusi.

Namun disebabkan tiada kemenangan majoriti daripada setiap parti yang bertanding, kerajaan masih belum dapat dibentuk walaupun sudah 3 hari pilihan raya berlalu.

Persoalannya, sejauhmanakah parti dari blok Borneo iaitu GPS yang sebelum ini dilihat sebagai ‘king maker’ membuat pilihan terhadap gabungan parti yang akan membentuk kerajaan selepas PRU15? Impian 'King maker' terkubur

Sebelum PRU15, pelbagai ramalan telah diramal dengan pendapat bahawa gabungan dari Sarawak dan Sabah akan menjadi kuasa penentu atau ‘king maker’ kepada mana-mana gabungan yang bercita-cita untuk membentuk kerajaan pusat untuk tempoh lima tahun akan datang.

GPS merupakan gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang sebelum ini keluar dari BN sejurus PRU14.

Dalam PRU15, GPS dan GRS masing-masing menguasai 23 dan enam kerusi daripada 56 kerusi yang membawa jumlah keseluruhan 28 kerusi daripada dua blok utama Borneo.

Menurut sumber Berita Harian, gabungan yang dilihat berpotensi untuk membentuk kerajaan pasca PRU15 berteraskan parti politik Melayu dan Borneo adalah kerjasama PN, GPS, GRS dan BN.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir yakin gabungan PN, BN, GPS dan GRS yang akan membentuk kerajaan, khususnya selepas Muhyiddin sendiri mendedahkan rundingan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Sejurus rundingan berlaku, Abang Johari telah mengumumkan GPS bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan empat lagi parti politik Semenanjung dan Sabah bagi menstabilkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Apabila rakyat telah di hujani berita pembentukan kerajaan daripada pihak PN, PH muncul sebagai gabungan yang memiliki kerusi terbanyak sedang mengadakan perbincangan dengan BN.

BN yang mengalami kejatuhan paling buruk dalam sejarah pilihan raya, kini muncul sebagai ‘king maker’ dalam tempoh beberapa jam sahaja menggantikan GPS yang disebut sejak beberapa bulan yang lalu.

Belajar kesilapan dari PRU lepas

Melihat sokongan positif GPS dengan PN menimbulkan persoalan untuk kemungkinan PH bekerjasama dengan GPS. Namun ia hampir mustahil kerana permusuhan keras GPS dan DAP Sarawak.

Layanan DAP terhadap Sarawak semasa menganggotai kerajaan persekutuan menjadi satu titik tolak ketidaksefahaman susulan cadangan pembentukan kerjasama antara PH, GPS dan GRS dicadangkan oleh beberapa pihak.

Menurut Naib Presiden Parti Pesaka Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sidang media sebelum ini, DAP tidak memberi layanan yang baik kepada Sarawak, terutama selepas membentuk kerajaan selepas PRU14.

Seterusnya, perbezaan ideologi politik dalam beberapa isu telah menyebabkan ketidaksefahaman kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan semasa PH menguasai Putrajaya.

Antara isu yang disebut, ialah PH membatalkan beberapa projek infrastruktur di Sarawak serta kenyataan Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng yang mengatakan Sarawak bakal muflis jika GPS kekal menerajui kerajaan negeri itu kerana hutang Sarawak sebanyak RM2.352 bilion kepada kerajaan persekutuan. Serah kuasa Agong pilih PM ke-10

Selepas keputusan PRU15 keluar, Abang Johari telah memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Kemelut politik di Semenanjung Malaysia, telah mendorong GPS menyerahkan keputusan melantik Perdana Menteri kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia.

Walaupun berbeza ideologi namun objektifnya adalah sama untuk memastikan politik di peringkat nasional stabil kerana negara kita akan menghadapi kemelesetan ekonomi dan kita perlukan kerajaan yang kuat, stabil dan kukuh untuk kita bangkit terutamanya dalam aspek ekonomi. Ini adalah demi kepentingan rakyat.

“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” menerusi kenyataan Pejabat Premier Sarawak.

GPS secara umum menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil dalam mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

Pendirian GPS juga berpegang teguh kepada mandat rakyat hendaklah dihormati dan tidak dikhianati.

67 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page