top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Patuh PKP, Bantu Frontliners

Oleh : Nurul Ain Samad

Penyunting : Syakila Hidayu Suhaimi

Sumber : Berita Harian Online

Baru-baru ini seluruh dunia telah digemparkan dengan jangkitan wabak Corona Virus Disease 19 (COVID-19) yang menular di 163 buah negara dan tidak terkecuali Malaysia. Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung dan membasmi wabak COVID-19 ini, pihak kerajaan telah melakukan beberapa tindakan serta penguatkuasaan undang-undang tehadap rakyat Malaysia melalui pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pada awalnya berkuatkuasa pada 18 Mac hingga 31 Mac namun ianya dilanjutkan hingga 14 April kerana kadar jangkitan wabak tersebut meningkat secara mendadak.


Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 163 buah negara telah dijangkiti wabak ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 378,292 orang dan jumlah kematian keseluruhan seramai 16,269 orang. Malaysia menduduki tangga ke-20 dengan 1,796 kes serta bilangan kematian penduduk negara seramai 20 orang setakat 25 Mac. Jika dilihat statistik wabak ini mengikut negeri di Malaysia, Selangor merupakan negeri yang paling tinggi catatan kes setakat ini iaitu sebanyak 381 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 257 kes diikuti dengan Sabah sebanyak 170 kes. Selaras dengan perintah kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia, antara negeri yang paling patuh arahan penguatkuasaan PKP adalah Perak, Terengganu dan Pahang. Bermula 22 Mac yang lalu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah ditugaskan untuk mengawasi dan mengawal pergerakan masyarakat serta mengadakan beberapa sekatan jalan raya bagi memastikan PKP dalam kalangan masyarakat dapat dikawal.


PKP dikuatkuasakan bagi mengekang penyakit berjangkit COVID-19 daripada terus menular, namun sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia patuh pada arahan PKP dan yang selebihnya masih berdegil, memandang enteng dan tidak mengendahkan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Terdapat sesetengah masyarakat yang tidak memandang serius akan perkara ini walaupun mengetahui virus tersebut boleh membawa maut. Bukan itu sahaja, masih ada segelintir anak muda yang melepak bersama kawan-kawan di kawasan terbuka dan ada juga yang mengambil kesempatan ini untuk pulang bercuti ke kampung halaman.


Persoalannya, adakah arahan kerajaan kepada rakyat mengenai isu PKP ini tidak jelas? Mengapa masih ada segelintir rakyat yang masih berdegil? Adakah benar inisiatif PKP ini merupakan jalan yang terbaik bagi mengekang COVID-19 daripada terus menular? Semua pihak sebenarnya bertanggungjawab untuk saling membantu bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini dan salah satunya adalah mengikut sahaja arahan kerajaan yang telah dinyatakan dalam PKP.


Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah beberapa kali melakukan sidang akhbar berkaitan dengan perkara ini bagi menyampaikan perutusan berkaitan COVID-19 kepada masyarakat, jadi sebarang masalah tidak sepatutnya menjadi isu yang besar dalam aspek ini. Selain itu, ketua keluarga perlu memainkan peranan peting bagi memastikan setiap ahli keluarga patuh akan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan berkaitan dengan wabak COVID-19 ini. Pihak keselamatan negeri dan daerah seperti rukun tetangga dan sebagainya perlulah sentiasa mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing supaya kekal berada di dalam rumah. Jika masyarakat ingkar akan arahan yang telah dikeluarkan, dikhuatiri rantaian jangkitan COVID-19 ini akan berterusan dan berleluasa sekaligus mampu meningkatkan lagi kes COVID-19 dalam negara.


Tuntasnya, rakyat sendiri perlu memainkan peranan penting dalam menyokong para frontliners agar masalah COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini dapat dibendung. Jangan disebabkan kelalaian dan kedegilan untuk mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan, orang lain yang terpaksa menanggung derita. Bak kata pepatah melayu, sudah terhantuk baru terngadah. Selain PKP, KKM turut menggalakkan amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian bagi membendung wabak COVID-19 ini. KKM serta kerajaan turut menyarankan agar masyarakat mengekalkan penjarakan sosial atau social distancing antara satu sama lain sejauh satu meter dan kerap mencuci tangan serta memakai topeng muka bagi memastikan kesihatan diri dan orang lain terjamin.

38 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page