top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pelajar FSSK Sahut Seruan Sambutan Hari Kanser Payudara

Oleh : Ang Xin Yi

Penyunting : Fatin Nasuha Binti Remle


Sumber: Ang Xin Yi

BANGI, 25 Okt - Program Hari Kanser Payudara - Wear It Pink yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa FSSK (PMFSSK) mendapat sokongan dan sambutan yang baik dengan kehadiran pelajar berpakaian merah jambu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Oktober merupakan bulan kesedaran kanser payudara. Menurut laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanser payudara dilaporkan menjadi faktor utama kematian dalam kalangan wanita. Dianggarkan 27 wanita daripada setiap 10,000 penduduk menghidap penyakit ini.


Berdasarkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, 60 peratus penyakit kanser di negara ini dikesan pada tahap yang lewat dan kempen kesedaran amat penting kepada rakyat Malaysia supaya lebih prihatin terhadap isu ini.


Exco PMFSSK, Aina Batrisyia binti Busroni, mengatakan bahawa program ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran kepada para pelajar di UKM tentang Hari Kanser Payudara dan menunjukkan sokongan kepada para pesakit kanser payudara.


“Kanser payudara telah menjadi pembunuh wanita di dunia termasuk Malaysia. Kanser payudara merupakan satu isu yang perlu dititikberat oleh semua orang. Ramai orang mengesan kanser ini pada tahap lewat dan kritikal.


“Ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan secara segera. Kami telah memberikan risalah kepada pelajar supaya mereka mengetahui simptom awal tentang kanser payudara” kata Aina.


Ramai pelajar telah memberikan sokongan yang baik terhadap kempen ini dengan memakai pakaian merah jambu di FSSK dan pihak PMFSSK juga memberikan pin ribon sebagai tanda penyertaan kepada para pelajar.


Siti Nur Syafiqah, Sains Politik, tahun 3 mengatakan bahawa dia mengetahui kempen ini melalui post yang dibuat oleh Neelofa di Instagram milik beliau semasa menyertai kempen kanser payudara yang dianjurkan oleh Estee Lauder.


“Saya didorong oleh beliau dan apabila saya mengetahui FSSK sedang menjalankan kempen ini, saya turut memakai baju pink untuk menyertai kempen ini,” katanya.


Siti juga mengatakan kempen ini telah membawa mesej kepada penghidap kanser bahawa mereka bukan berseorangan dan ramai sedang memberikan sokongan.


Anis Adibah Izwani, pelajar Psikologi turut menyertai kempen setelah dia mengetahui kempen ini melalui media sosial PMFSSK UKM.


“Kempen kesedaran seperti ini amat penting kerana sebagai mahasiswa, kita perlu mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap isu-isu yang sedang berlaku dan menjaga kesihatan kita.” kata Anis.


Muhammad Fadhil, Fakulti Pendidikan Islam pula mengatakan bahawa sebagai seorang lelaki dan juga bakal suami pada masa hadapan, kita juga perlu prihatin tentang penyakit ini kerana kita akan hidup dengan wanita dan bukan sahaja wanita yang akan menghidap penyakit ini, lelaki juga berpotensi mendapat kanser payudara.


Kempen kesedaran ini berjaya menarik perhatian para pelajar di FSSK tidak kira perempuan mahupun lelaki dan dijalankan dengan sangat baik.

30 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page