top of page
  • Writer's pictureIzzaty Syazwani

Pelajar Turun Padang Bantu Kempen Derma Darah

Penulis: Nurul Izzaty Syazwani Hazizi

Penyunting: Mineshwara A/L Ramaispran

Sumber: Nadi Bangi


BANGI, 31 Mei - Walaupun kesibukan dan kemeriahan menyambut Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak(DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), para pelajar tetap turun padang membantu program kempen derma darah yang diadakan di Pusanika, UKM.


Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan(PERDANA) telah mendapat sambutan yang baik oleh pelajar UKM walaupun ketika itu terdapat banyak program dan sambutan hari raya yang diadakan.


Menurut Azrisyam Nawawi, pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian Islam Usuluddin dan Falsafah selaku pengarah program dan juga Presiden bagi Persatuan Mahasiswa Kelantan(PERDANA) berkata ini merupakan anjuran kedua daripada PERDANA dan sambutan daripada pelajar sangat menggalakkan.


Beliau berkata objektif menganjurkan kempen ini adalah bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar UKM untuk menderma darah disamping dapat berbakti kepada masyarakat dan negara.


“Ini kali yang kedua Kempen Derma Darah dianjurkan bawah PERDANA untuk semester ini dan saya harapkan lebih ramai lagi dapat menyumbang khidmat derma darah kerana ia adalah percuma selain dapat membantu golongan yang memerlukan dan berbakti kepada masyarakat”, katanya.


Faris Zikri, pelajar tahun 1, Fakulti Ekomoni dan Pengurusan(FEP), tidak melepaskan peluang untuk menderma kerana ia merupakan kali pertama baginya untuk merasai pengalaman dalam menderma darah.


“Ini merupakan pengalaman kali pertama bagi saya dalam menderma darah. Saya hampir pitam selepas menderma namun sempat dibantu oleh sahabat dan jururawat disitu. Hal ini mungkin kerana ini kali pertama jadi saya agak letih dan antibodi saya lemah namun saya sangat gembira kerana berjaya untuk menderma”, katanya.


Bagi Wan Mohd Alif, pelajar tahun 1, Fakulti Pendidikan (FPEND), beliau terus ke Pusanika selepas menghadiri sambutan hari raya di DECTAR kerana baginya ia satu kewajipan sebagai mahasiswa untuk berbakti kepada negara dengan cara menderma darah.


“Saya terus ke Pusanika selepas menghadiri sambutan hari raya di DECTAR untuk menderma darah kerana sebagai pelajar bagi saya satu kewajiban untuk berbakti kepada negara dan ini juga merupakan kali kedua saya menderma darah di UKM”. katanya.


Ainur Syahira merupakan pelajar Tahun 2, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata baru kali ini dia berkesempatan untuk menderma darah di UKM setelah pulang ke kolej.


“Pertama kali saya berkesempatan untuk menderma darah dan saya baru tahu saya adalah penderma darah berjenis ‘O’. Saya agak teruja kerana darah saya dapat membantu golongan yang memerlukan”, katanya.


“Saya lihat kempen kali ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar terutama bagi pelajar yang tidak pernah menderma tetapi ingin menderma dan ini merupakan satu tindakan yang bagus”, kata Nithiyaa, Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara.


Beliau berkata sambutan Kempen Derma Darah di UKM pada kali ini lebih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar kerana ramai yang sudah pulang ke kolej dan beliau sangat terharu ramai pelajar yang tidak pernah menderma datang untuk menderma.


Kempen Derma Darah ini berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei pada jam 10 pagi sehingga 4 petang dan bertempat di Pusanika, UKM. Semua pelajar diharapkan agar tidak melepaskan peluang untuk menderma demi membantu masyarakat dan negara.


19 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page