top of page
  • Writer's pictureSiti Kamariah Sujeno

Pelajar UKM Mohon Sumbangan Pembinaan Semula Rumah Yang Musnah Akibat Air Pasang Besar

Penulis: Siti Kamariah Binti Sujeno

Penyunting: Sharifah Nurhanni Binti Wan Narudin


Sumber Foto: Lucy


SANDAKAN, 3 Jan - Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, memohon ihsan warga UKM bagi menampung kos perbelanjaan pembinaan semula rumahnya yang musnah akibat fenomena air pasang besar, pada 24 Disember lalu.


Kejadian pada jam 11 malam yang dipercayai berpunca daripada kenaikan paras air pasang besar secara mendadak itu menyebabkan lebih seratus rumah roboh dan hancur di Kampung Forest, Sandakan.


Bencana tersebut menyebabkan ahli keluarga Lucy Abdul Rajit yang merupakan pelajar Tahun 2 Pengajian Bahasa Melayu, kini tinggal sehelai sepinggang setelah rumah yang didiami oleh mereka ranap dipukul ombak.


“Semasa kejadian, ahli keluarga saya telah berpindah beberapa minit sebelum rumah saya roboh dipukul ombak yang kuat.


“Tiada apa yang sempat diselamatkan melainkan dokumen penting. Semua harta benda termasuklah pakaian, barangan elektrik dan perabot rosak akibat tiga hari berendam di dalam air,” katanya.


Dia berkata, kejadian tersebut disifatkannya sebagai luar biasa memandangkan perkampungan rumahnya tidak pernah dilanda air pasang besar seteruk itu.


Lucy yang merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik itu turut menyatakan bantuan yang diberikan oleh beberapa kelab di UKM seperti kebajikan Kolej Ungku Omar, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kelab Pengajian Melayu dan Bitara masih tidak mencukupi untuk membangunkan semula rumahnya.


“Bantuan yang diberikan daripada beberapa kelab dan juga ihsan daripada pensyarah masih tidak mencukupi kerana kos pembinaan semula rumah memerlukan sebanyak RM 20, 000.


“Tambahan pula, keadaan keluarga saya yang kurang berkemampuan untuk menyewa rumah di luar menyebabkan kami memang memerlukan rumah yang dibina sendiri bagi mengurangkan beban perbelanjaan,” ujarnya.


Lucy mengaku bahawa dia sangat memerlukan bantuan sumbangan daripada orang ramai bagi meringankan beban keluarganya dalam membina semula rumah bagi mereka berteduh.


“Saya berharap akan ada lebih ramai orang yang dapat membantu saya dan keluarga di Sabah.


“Kehilangan sebuah rumah satu-satunya tempat kami berteduh meninggalkan trauma dan kesan yang mendalam pada kami sekeluarga dan sesungguhnya yang hilang itu bukanlah sekadar rumah,” ujarnya lirih.


Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pembinaan semula rumah Lucy ini boleh menyalurkan sumbangan tersebut melalui akaun Bank Islam 10043023261892(Lucy Abdul Rajit).

136 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page