top of page
  • Writer's pictureEzzati Rosli

Pelajar UKM Sertai Bengkel Pengacaraan Professional Bersama Pengacara RTM

Penulis: Nur Ezzati Rosli

Penyunting: Phuan Kennie

Sumber: Nadi Bangi


BANGI, 28 Mei – Seramai 30 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Bengkel Pengacaraan Profesional bersama Pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Shahril Sarapudin yang merupakan Master Trainer Ikon Academy dan juga Pengasas Ikon Academy tersebut.


Shahril Sarapudin adalah seorang wartawan, pengacara Selamat Pagi Malaysia dan juga penyampai berita di RTM. Beliau juga pernah menjadi Pengulas RTM bagi siaran langsung Majlis Rasmi Negara, Istiadat Diraja, Istiadat Kemangkatan dan banyak lagi.


Bengkel tersebut dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) bagi memberi pendedahan kepada para pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang berpotensi dalam bidang pengacaraan untuk mengetengahkan bakat mereka.


Menurut Timbalan Setiausaha PMFSSK, Sharifah Umairah Syed, program seperti ini diadakan kerana di UKM tiada satu mekanisme yang khusus untuk memilih pengacara majlis. Kebiasaannya, penganjur hanya akan tangkap muat atau memilih mana-mana pelajar yang menjadi bidang terjun. Jadi, cara ini kurang wajar.


“Selain itu, para pelajar yang minat dan selalu menjadi emcee juga tidak menerima pendedahan berkaitan teknik pengacaraan yang tepat dan sebab itulah bengkel ini dianjurkan,” tambahnya lagi.


Priiyalakshmi A/P Kumarrajah, pelajar Tahun 2, Komunikasi Media berkata, banyak perkara yang telah dipelajari daripada bengkel tersebut seperti intonasi, artikulasi dan lain-lain. Selama ini jika menjadi emcee, orang akan fikir pengacara itu hanyalah baca skrip semata-mata, tetapi sebenarnya pengacaralah yang menghidupkan sesebuah majilis tersebut.


“Secara keseluruhan, Bengkel Pengacaraan Profesional sangat best sebab dia bagi hands on activities. Jadi, di situ sebenarnya kita boleh tahu mana nak kena improve,” tambahnya lagi.


“Bengkel ini bagus sebab dapat tingkatkan keyakinan diri dan ada juga peserta yang menyertai tidak ada pengalaman mengacara. Jadi, hal ini membuatkan mereka bersemangat untuk mencuba perkara yang baharu,” kata Priiya.


Menurut Nur Natasha Hanafiah, pelajar Tahun 1, Persuratan Melayu berkata, bengkel tersebut dijalankan dalam suasana yang santai, menyeronokkan dan cukup menghiburkan.


“Kami juga dapat mengenalpasti cabaran-cabaran sebagai pengacara dan mengaplikasikan inisiatif untuk mengatasi cabaran tersebut, bahkan pelbagai bentuk seni penyampaian juga turut dipelajari semasa berada dalam bengkel itu,” kata Nur Natasha.


“Bengkel tersebut dapat membina kreativiti dan kepekaan yang tinggi sebagai seorang pengacara dalam menguruskan sesebuah majlis, sama ada secara formal ataupun informal,” tambahnya lagi.


“Saya rasa bengkel pengacaraan perlu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia menggalakkan sikap berkolaborasi sesama pihak seperti kami para pelajar serta mengenalpasti corak penyampaian yang berkualiti,” kata Nur Natasha.


“Apa yang sangat penting ialah bengkel tersebut menyentuh tiga elemen dalam bidang pengacaraan iaitu dari segi intonasi, bahasa tubuh dan juga vokal yang dapat meningkatkan serta menambahbaik mutu pengacaraan sehingga ke tahap professional,” katanya.


Manakala Nur Balqis Nor Azman, pelajar Tahun 1, Geografi berkata, dia dapat belajar ilmu baharu mengenai bidang pengacaraan dan membuatkan tahap keyakinannya untuk bercakap di khalayak ramai semakin tinggi disebabkan semangat rakan-rakan yang menyertai bengkel tersebut.


“Mungkin dengan adanya sedikit ilmu tentang pengacaraan, saya boleh aplikasikan dalam kehidupan seharian seperti mencuba mengambil peluang untuk menjadi emcee,” tambahnya.


20 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page