top of page
  • Writer's pictureNur Amilya Husna Kamarul Zaman

Pembuatan Labu Sayong 'Kuale' Versi Baharu

Penulis: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman

Penyunting: Muhammad Haziq Aqmar Amirul Nurman


Pembuatan Labu Sayong. Sumber Foto: Nadi Bangi


Ketika terlalu memfokuskan terhadap inovasi terkini, seringkali kita terleka akan warisan seni tradisional yang patut dipertahankan seperti industri pembuatan tembikar. Namun begitu, situasi berbeza dapat dilihat di Kuala Kangsar, Perak apabila masih terdapat industri pembuatan tembikar labu sayong yang mengekalkan warisan ini dengan menggunakan cara moden.

Perkataan labu ‘sayong’ diambil daripada satu tempat terletak di daerah itu yang bernama Sayong. Sayong atau nama asalnya ‘Sai Ong’ dikatakan telah lama bertapak berikutan terdapat pedagang dari China yang meneroka Sungai Perak. Manakala, tembikar ini mengambil nama labu kerana bentuknya yang seakan sama dengan buah labu.

Melalui idea dan kreativiti yang semakin berkembang telah mendorong pengusaha Encik Mustafa Anjang Hashim, 40 tahun untuk terus mewarnai industri pembuatan tembikar yang semakin dilupakan.

Mustafa merupakan generasi ke-4 dalam perusahaan keluarganya, beliau telah mempelopori idea teknik moden selepas tiga generasi di belakangnya menggunakan teknik picitan (tradisional). Beliau mula berkecimpung dalam arena pembuatan labu sayong sejak berusia 18 tahun sehingga kini.

Menurutnya, perbezaan di antara pembuatan moden dan teknik picitan dianggap sebagai sebuah inovasi mengikut peredaran zaman kerana ia hanya mengambil masa yang singkat untuk menghasilkannya dalam kuantiti yang lebih banyak kira-kira 30-40 biji sehari berbanding dengan teknik picitan yang hanya mampu menghasilkan sebuah labu sayong dalam masa tiga hari.


Proses Pembentukan Labu Sayong Moden

Teknik bancuhan pembuatan moden. Sumber Foto: Nadi Bangi


Menurut beliau, bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan produk ini adalah seperti tanah liat, sodium dan air. Manakala teknik pengacuan (casting) merupakan satu cara untuk menghasilkan labu dalam kuantiti yang banyak.

“Dari segi teknik penghasilan, kaedah penggunaan alatan moden turut memainkan peranan utama dalam kaedah acuan (casting) dan mesin limparan alin (throwing).


“Setelah itu, warna serta motif kreativiti akan dimasukkan mengikut citarasa pengusaha sebelum dikeringkan. Kemudian, labu sayong akan disalai terlebih dahulu selama beberapa jam sebelum proses pembakaran dilakukan,” ujarnya.

Proses pembakaran akan mengambil masa 12 jam dengan menggunakan tanur gas pada suhu 1200 darjah celcius yang mampu memuatkan sehingga 120 biji labu sayong dalam satu masa.

Corak yang sering menjadi tumpuan pelancong adalah corak bermotifkan bunga, seperti bunga lawang dan paku. Terdapat kepelbagaian jenis labu sayong yang diusahakan oleh Encik Mustafa antaranya ialah labu gelugor, licin, lepap, dan panai.

Keunikan Labu Sayong

Pelbagai jenis corak pada labu sayong. Sumber Foto: Nadi Bangi


Tambah beliau, keunikan labu sayong bukan sahaja terletak pada hiasan semata. Malah turut berfungsi sebagai bekas penyimpanan air yang menjadi amalan tradisi terutama bagi masyarakat melayu pada satu ketika dahulu.

“Labu sayong ini menyimpan khasiat tersendiri bagi merawat demam kerana air yang disimpan dalam labu tersebut mampu menstabilkan suhu badan. Satu kajian telah dilakukan untuk membuktikan air di dalam labu sayong lebih segar berbanding apabila di simpan dalam botol biasa.


Kini, labu sayong juga mengalami anjakan baharu kerana ia telah menjadi antara cenderahati yang mendapat tempat di hati pelanggan seperti perhiasan magnet, bekas telur serta lampu hiasan.

“Teknik moden dikatakan lebih berjaya jika dibandingkan dengan teknik picitan mengikut dari segi reka bentuk dan kreativitinya kerana ia menampilkan ciri-ciri serta fungsi-fungsi baru yang sesuai dengan kehendak masyarakat moden pada hari ini.

Usaha dalam mengukuhkan kembali industri pembuatan tembikar ialah melalui kemudahan, galakan dan bantuan yang harus diberikan oleh pihak kerajaan dalam membantu mengembangkan industri pembuatan labu sayong ini.

“Pendek kata, keunikan asal usul dan perkembangan industri pembuatan tembikar labu sayong amat unik. Oleh itu saya berharap agar warisan seni ini dipelihara agar ia tidak lapuk ditelan zaman," kata beliau.

284 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page