top of page
  • Writer's picturePriiyalakshmi Kumarrajah

Pementasan Teater Jeritan Batin Daripada Sekumpulan Pelajar Citra Seni Lakon

Updated: Feb 6, 2023

Penulis: Priiyalakshmi Kumarrajah

Penyunting: Ahmad Bhaihaqi Mat Tiah

Sumber Foto: Priiyalakshmi Kumarrajah


BANGI, 29 Jan - Teater “Jeritan Batin” merupakan salah satu pementasan yang dipersembahkan oleh sekumpulan pelajar kursus Seni Lakon daripada Pusat Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Sebanyak lima pementasan teater yang dipersembahkan oleh 50 orang pelajar yang telah dibahagikan kepada lima kumpulan sebagai penilaian akhir kursus ini.


Antara genre yang dibawa dalam lima pementasan tersebut adalah realisme, komedi, monolog, puppet dan absurd atau dikenali sebagai experimental.


Antara teater yang mendapat perhatian adalah teater “Jeritan Batin” kerana teater ini diolah daripada skrip teater yang belum dipentaskan yang bertajuk “Soliloquy Melissa” yang membawa genre berbeza iaitu daripada genre soliloquy (sebutan soliloki) kepada genre absurd atau experimental.


Menurut penulis skrip asal, Affizy Shaari, siswazah Pengurusan Seni Persembahan, skrip “Soliloquy Melissa” diamanahkan kepada pengarah kerana untuk melihat kekuatan skrip asalnya sebelum dipentaskan secara formal dan juga melihat kreativiti pengarah untuk mentransformasikan skrip yang berbentuk genre soliloquy kepada genre absurd.


“Skrip Soliloquy Melissa diserahkan kepada pengarah teater Jeritan Batin kerana untuk melihat kekuatan skrip tersebut sebelum dipentaskan secara rasmi kepada khalayak,” katanya semasa ditemu bual oleh pihak Nadi Bangi.


Beliau juga memberi kebebasan kepada pengarah untuk mengolah skrip dengan membawa tema cerita asal mengikut kreativiti tersendiri.


“Saya memberi kebenaran kepada pengarah untuk mengolah skrip yang diserahkan tetapi tidak mengubah maksud asal.


“Dengan cara ini juga dapat memberi peluang kepada pengarah untuk mengolah mengikut kreativiti sendiri,” ujarnya.


Beliau juga berkata dengan pengolahan skrip tersebut dapat memberi idea baharu kepadanya kerana setiap pengarah mempunyai cara penyampaian cerita yang berbeza.


“Setiap pengarah teater mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan sebuah cerita dalam pementasan, boleh jadi 10 pengarah membawa 10 idea berbeza dalam pementasan teater mereka dengan menggunakan skrip ini.


“Contohnya, teater Tun Fatimah yang dipentaskan di Melaka pada tahun 2017 menggunakan set yang berkonsepkan istana manakala teater Tun Fatimah yang dipentaskan di UIAM, Gombak membawa konsep minimalis yang mana set adalah berwarna putih.


“Melalui cara ini dapat memberi idea yang baharu kepada pengarah asal untuk mementaskan skrip asal kepada khalayak,” katanya.


Pihak Nadi Bangi sempat menanyakannya akan reaksi dan komen mengenai teater “Jeritan Batin” yang dipentaskan di Panggung Seni, UKM.


Secara keseluruhan, beliau memberi respons yang positif terhadap teater “Jeritan Batin” walaupun genre asal diubah kepada genre absurd.


“Bagi saya, kreativiti yang ditonjolkan dalam teater Jeritan Batin berjaya menyampaikan mesej daripada skrip asal dengan baik,” ujarnya.


Beliau juga berpendapat bahawa walaupun pelajar kursus citra tersebut tidak mempunyai latar belakang dalam bidang teater, namun mereka berjaya melakonkan watak dengan baik.


“Kebanyakan pelajar bukan dari latar belakang seni persembahan berjaya berlakon dengan baik kerana mereka mempelajari dengan baik semasa sesi latihan.


“Mereka juga menunjukkan komitmen yang baik dan minat yang mendalam terhadap bidang ini,” tambahnya.


Pihak Nadi Bangi turut mendapatkan penjelasan daripada Affizy Shaari mengenai penangguhan pementasan “Soliloquy Melissa” yang masih belum dipentaskan sehingga hari ini.


“Pada asalnya, Soliloquy Melissa sepatutnya dipentaskan pada tahun 2021. Namun begitu, pada tahun tersebut masih berlakunya pandemik Covid-19 sehingga terpaksa ditangguhkan.


“Selain itu, kami juga ingin mencari bakat-bakat baharu untuk mewarnai pementasan ini dan mencungkil bakat mereka dengan baik,” katanya.


Beliau juga menjangkakan teater “Soliloquy Melissa” akan dipentaskan pada hujung tahun ini.


Namun, lokasi pementasan masih belum ditetapkan lagi.


Genre Soliloquy membawa maksud pelakon saling bertukar watak dan perwatakan dengan individu lain.


Genre absurd atau lebih dikenali sebagai experimental adalah sebuah bentuk cerita yang berlawanan dengan dunia realiti dan mempunyai unsur fantastik dan mimpi tetapi masih membawa mesej kemanusiaan kepada khalayak.

195 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page