top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pengecualian Cukai dan Bantuan Bulanan bagi OKU dan Majikan untuk Kesejahteraan Bersama

Penulis: Nurul Syafiqah Binti Abdul Wahab 

Penyunting : Kumutha Santharan



Sumber foto: Nurul Syafiqah Binti Abdul Wahab 



BANGI, 19 Okt - Faktor pengecualian cukai berganda dikenalpasti menjadi punca untuk majikan menggajikan orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja dalam organisasi. 


Pengecualian cukai ini dilihat sebagai insentif kerajaaan yang dapat merangsang kerjasama antara majikan dan penyedia latihan dalam negara membuka pintu peluang bagi OKU untuk memasuki pasaran pekerjaan. 


Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Dr Rusmailani Abdul Aziz, “Majikan yang menjadikan golongan OKU sebagai anggota pasukan pekerja akan mendapat manfaat daripada pelepasan cukai yang melibatkan segala pendapatan dan perbelanjaan terhadap pekerja OKU.


Dengan demikian, kerjasama ini tidak hanya memberikan keuntungan kepada OKU yang mendapat peluang bekerja, tetapi juga memberi insentif kewangan kepada majikan yang berusaha membangunkan pasukan pekerja yang inklusif.” 


Tambahnya lagi, Dr Rusmailani berkata, “Kerajaan menyediakan kuota yang banyak untuk inisiatif pengecualian cukai berganda kepada majikan yang menggajikan golongan OKU dalam pasaran pekerjaan. Namun menyedihkan kuota ini tidak pernah mencapai penuh penggunaannya oleh majikan atau syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan kepada OKU.” 


Pihaknya menganggap pelepasan cukai berganda ini sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan tahap guna mahir dari golongan OKU, menjadikan mereka lebih berdaya maju dan mandiri dalam arena pekerjaan. 


Selain itu, “Strategi kerajaan turut melibatkan bantuan bulanan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memberikan insentif sebanyak RM450 sebulan kepada OKU yang menerima gaji kurang daripada RM1200, bertujuan untuk memberikan semangat kepada mereka untuk aktif bekerja melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. 


Bantuan bulanan ini merupakan langkah terbaik untuk memastikan OKU tidak perlu bergantung secara sepenuhnya kepada bantuan dari pihak lain dan dianggap bebanan sebaliknya mereka diberi peluang untuk turut serta dalam kegiatan pekerjaan. 


Bagi mereka yang mungkin tidak mampu bekerja disebabkan oleh keadaan kesihatan teruk seperti eczema atau sawan yang serius, atau setidaknya tidak dapat mengemis, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM350 sebulan untuk kos makan harian,” katanya. 


Menurutnya Dr Rusmailani lagi, “Kerajaan melancarkan inisiatif Job Coach untuk menyokong penyertaan OKU dalam pasaran terbuka dengan sijil dan elaun khas. Lebih 200 OKU dengan masalah pembelajaran telah mendapat pekerjaan tetap melalui banyak program pelatihan seperti dalam sektor-sektor seperti kebersihan, perhotelan, dan lapangan terbang. 


Kejayaan yang signifikan dicapai dengan sistem Semakan OKU (SMOKU) yang terkini, di mana ramai dari golongan OKU telah mencapai kehidupan bekerja secara mandiri dengan pekerjaan yang stabil dan taraf hidup yang selesa seperti individu normal. Ini menunjukkan bahawa sokongan kerajaan dan komuniti yang diberikan memainkan peranan penting dalam memperkasakan kemandirian OKU, memberikan keyakinan bahawa mereka mampu berkontribusi secara produktif dalam masyarakat,” katanya.

45 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page