top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Piala Dekan FSSK 2023 Tawar Lebih Banyak Acara Untuk Pelajar

Oleh: Imran bin Mohd Yusof

Editor: Muhammad Izzul Aiman bin Othman


Sumber foto : Laman Instagram Persatuan Mahasiswa FSSK, UKM


BANGI, 5 Mei - Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, PMFSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia akan menganjurkan kejohanan Piala Dekan FSSK untuk sesi 2022/2023 dengan menampilkan 13 buah acara sukan seperti bola sepak, frisbee, olahraga, catur dan e-sukan pada 6 Mei akan datang.


Kejohanan ini merupakan pertandingan sukan yang diadakan antara kelab-kelab pelajar di bawah naungan PMFSSK bagi mencungkil bakat-bakat terpendam sekaligus mencari atlet berpotensi untuk mewakili fakulti tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.


Yang Di Pertua PMFSSK, Aqil Shahrullizam ketika ditemubual berkata, “Sebanyak 13 buah sukan akan dipertandingkan dengan berlandaskan cogan kata Meneraju Mahasiswa Proaktif, Sihat dan Berdaya Saing.”



”Kali terakhir temasya ini dijalankan adalah pada sesi 2019 di mana 12 program di FSSK berentap bagi merebut gelaran Juara Piala Dekan dan sebanyak 6 sukan sahaja yang dipertandingkan.


“Berbeza dengan sesi kali ini, Piala Dekan FSSK kembali dengan memperkenalkan 6 kelab di bawah Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) yang terdiri daripada SEEDS, MENTION, PESEPSI, PKBL, KPM dan PSYCLUB”, katanya lagi.


Menurut Aqil, penganjuran kejohanan ini adalah bermatlamat untuk memupuk keterlibatan pelajar FSSK dalam acara sukan disamping menyeimbangkan antara akademik dan kokurikulum.


Beliau turut berharap agar bakat-bakat sukan pelajar di FSSK dapat diasah dan seterusnya melahirkan insan yang sihat dan cemerlang dari pelbagai sudut.


Acara sukan yang menjadi tumpuan utama para pelajar adalah acara bola sepak di mana enam pasukan daripada lima buah kelab pelajar akan merebut ibu segala pingat dalam kejohanan ini.


Selain itu acara e-sukan yang juga merupakan salah sebuah nafas baru kejohanan turut diadakan dengan menampilkan dua jenis acara iaitu Mobile Legends dan FIFA yang berjaya menambah kadar keterlibatan pelajar.


Piala Dekan FSSK akan diadakan di UKM kampus Bangi bermula dari 6 Mei sehingga 11 Jun 2023.




41 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page