top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pod Vape & Wanita Urban

Oleh: Zarith Sofea

Penyunting: Mazidatul Husna


Sumber: Google

Trend menghisap pod vape kini menjadi satu fenomena yang tidak asing lagi dalam kalangan wanita urban dari pelbagai lapisan umur. Ia dilihat sebagai ‘aksesori’ wajib buat golongan wanita yang tidak mahu ketinggalan dengan gaya hidup serba moden seiring dengan kemajuan teknologi masa kini. Tambahan pula, bentuk saiznya yang kecil seakan pemacu kilat USB telah menjadikan pod vape sebagai rokok elektronik yang digilai ramai. Namun begitu, adakah golongan wanita menggunakan pod vape kerana mengikuti trend semasa atau sebagai alternatif untuk mengurangkan ketagihan merokok?


Apa Itu Pod Vape?


Pod vape merupakan sejenis alat rokok elektronik yang mengandungi sistem isian cecair. Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia, sistem isian cecair tersebut akan diisi dengan bahan kimia seperti nikotin dan perisa bertujuan untuk mengurangkan ketagihan merokok dan menggantikan rokok tembakau sedia ada di pasaran. Antara perisa yang sangat digemari ramai ialah perisa buah-buahan.


Terdapat kenyataan yang mengatakan bahawa penggunaan pod vape adalah lebih baik berbanding rokok tembakau kerana kandungan nikotin nya yang lebih sedikit. Namun begitu, nikotin adalah sejenis bahan kimia yang menyumbang kepada ketagihan dan tetap membahayakan kesihatan untuk jangka masa panjang.


Menurut akhbar Harian Metro bertarikh 4 Ogos 2019, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin, Pengarah UMCares dari Pusat Komuniti dan Kemampanan Universiti Malaya memberitahu bahawa jika seseorang individu tidak mampu berhenti merokok menggunakan rokok elektronik dalam tempoh dua tahun, ia akan menyebabkan ketagihan melampau sehingga boleh membahayakan kesihatan.


Pengaruh Luar Biasa Pod Vape


Kita sering melihat semakin ramai wanita yang mudah terpengaruh untuk menghisap pod vape meskipun mereka bukanlah dalam kalangan perokok tegar. Apa yang membimbangkan ialah apabila terdapat sebilangan besar wanita yang sanggup menghabiskan wang ringgit untuk mendapatkan pod vape daripada jenama terkenal kerana terpengaruh dengan pelbagai iklan berorientasikan budaya barat di media sosial. Oleh itu, mereka mahu sentiasa kelihatan bergaya dengan menghisap pod vape tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal menimpa diri mereka.


Dengan adanya pengaruh budaya luar yang membimbangkan ini, terdapat syarikat pengeluar rokok elektronik yang mengambil kesempatan untuk menjual pod vape bukan sahaja kepada perokok golongan lelaki tetapi kepada golongan wanita untuk tujuan keuntungan semata-mata.


Padah Pod Vape Terhadap Wanita!


Ancaman penyakit berisiko


Kita sedia maklum bahawa menghisap rokok elektronik seperti pod vape amat membahayakan kesihatan kerana ia mampu mengundang penyakit berisiko seperti tekanan darah tinggi, barah paru-paru dan jantung dan sebagainya bergantung kepada kekerapan penggunaan pod vape tersebut. Malah, bahan kimia yang terdapat dalam pod vape bukan sahaja mampu merisikokan kesihatan penghisap tetapi mampu memberi kesan terhadap orang sekeliling yang terdedah kepada bauan asap yang dihembus oleh si penghisap.


Masalah fertiliti dan kesuburan


Ramai yang tidak menyedari bahawa pod vape juga mampu memberi kesan terhadap masalah fertiliti dan kesuburan dalam kalangan wanita terutamanya yang menginginkan zuriat. Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia, buat ibu-ibu yang sedang hamil, pod vape dilihat sebagai satu alat yang mampu mendatangkan risiko terhadap kesihatan janin. Hal ini kerana bahan kimia dalam pod vape boleh menyebabkan keguguran , kelahiran pramatang, gangguan pernafasan dan kecacatan fizikal terhadap organ janin.


Menjatuhkan maruah diri


Wanita seharusnya lebih peka dalam melindungi diri mereka daripada terjebak dengan penggunaan pod vape ini. Hal ini kerana wanita yang menghisap pod vape hanya akan mengundang kecaman masyarakat sekeliling dan tanggapan negatif terhadap mereka kerana terpengaruh dengan gaya hidup budaya barat yang bebas. Malah, budaya menghisap pod vape ini bukan lah budaya sihat yang patut diamalkan oleh sesiapa sahaja yang ingin berhenti merokok khususnya wanita kerana terdapat alternatif lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketagihan merokok.


Bertindak, Hindari Sekarang!


Kesimpulannya, golongan wanita seharusnya lebih peka terhadap kesihatan diri dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya menghisap pod vape ini. Hindarilah diri anda daripada persekitaran aktiviti sosial yang melampau kerana ia akan mendorong anda kearah gaya hidup yang tidak sihat. Selain itu, penuhilah masa lapang anda dengan aktiviti berfaedah seperti beriadah dan bersenam kerana sedarlah bahawa wanita adalah tulang belakang ketua keluarga.

1,022 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page