top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

“Rakyat Malaysia Tak Sokong Produk Tempatan”- Nadzim

Updated: Oct 21, 2019

Oleh: Jesika Berliana

Penyunting: Nazrin Zulkafli


Ahli panel forum Bajet 2020 - Gagasan Kemakmuran Bersama: Realiti atau Fantasi Dari kiri, Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Mohd Shaman Jaes, Prof Tan Sri Datuk Seri Noor Azlan Ghazali, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Penganalisa Pasaran Kewangan, Syed Roslan Syed Zakaria.

BANGI, 14 Okt - “Salah satu punca utama mengapa ekonomi Malaysia merosot adalah disebabkan oleh sikap rakyat kita yang tidak menyokong produk tempatan,” demikian kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian dalam forum Bicara Persada Ke-54 bertajuk Bajet 2020- Gagasan Kemakmuran Bersama: Realiti atau Fantasi, anjuran bersama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM, Pejabat Canselori dan beberapa pertubuhan lain.


“Saya percaya ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi Malaysia sekarang ini. RM50 sekarang sudah tidak mampu memberikan kita seperti mana yang RM50 pada masa dulu boleh.”


“Namun di satu sisi kita perlu lihat faktor yang barangkali ramai daripada kita tidak sedari. Salah satu puncanya adalah sikap rakyat Malaysia yang tidak patriotik kerana tidak menyokong produk tempatan dan memilih untuk membeli produk import daripada produk tempatan sendiri,” kata Nadzim.


Nadzim dalam diskusi yang dipengerusikan oleh personaliti televisyen, Shuhaimi Mohamed, itu turut membandingkan tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun yang disifatkannya jauh berbeza.


“Rakyat Jepun mempunyai tahap patriotik yang sangat tinggi. Mereka mempunyai beberapa jenama kenderaan yang tersendiri dan kalau kita lihat dalam sektor pembuatan kenderaan mereka, hanya produk negara mereka sahaja yang digunakan.”


“Sebahagian besar kenderaan yang ada di atas jalan raya di Jepun juga terdiri daripada produk keluaran negara itu sendiri, menunjukkan betapa tingginya sokongan mereka terhadap produk negara mereka. Tapi di Malaysia, kita ada Proton dan Perodua tetapi rakyat tetap juga memilih produk luar,” tambahnya lagi.


Dalam ucapan yang sama, Nadzim juga mendakwa bahawa sekiranya rakyat Malaysia menyokong produk tempatan, keadaan ekonomi Malaysia tidak akan seteruk sekarang.

Sementara itu, Penganalisa Pasaran Kewangan, Syed Roslan Syed Zakaria pula mengatakan bahawa keadaan ekonomi Malaysia saat ini tidaklah seteruk yang digambarkan kerajaan.


“Sehingga kini kami para penganalisa masih lagi mengkaji apakah yang dimaksudkan kerajaan dengan situasi ekonomi Malaysia yang teruk seperti yang diuar-uarkan selama ini.”


“Kami juga masih tercari-cari dari mana kerajaan mendapat angka-angka mengenai hutang negara sedangkan berdasarkan maklumat yang kami ada, angka sebenar adalah jauh berbeza,” katanya.

125 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page