top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Saadiah Menghadiahkan Pakaian Bayi Kepada Lee Seung Gi

Penulis: Ayu Maisarah Lutas Asril

Penyunting: Alni Fuzuwan



Sumber foto: Twitter


CHERAS, 21 Nov- Halimatun Saadiah, peminat tegar kepada pelakon dan penyanyi terkenal dari Korea Selatan, Lee Seung Gi, telah memberikan hadiah pakaian bayi kepada artis itu semasa sesi perjumpaan ONEderful Day with Lee Seung Gi di MyTown, Cheras pada awal bulan November.


ONEderful Day with Lee Seung Gi ialah satu sesi perjumpaan antara peminat Malaysia dan Lee Seung Gi yang diadakan di MyTown pada 4 November, 5 petang yang ditaja serta dibawakan oleh One Tv Asia dan Astro.


Lee Seung Gi yang baru-baru ini mengumumkan kehamilan isterinya, Lee Da In, serta bakal menjadi seorang ayah menerusi pernyataan rasmi dari agensinya telah menerima hadiah pakaian bayi daripada peminatnya semasa sesi bergambar di atas pentas.


Menurut Saadiah, yang juga merupakan seorang pelajar universiti, dia telah meminati Lee Seung Gi sejak beliau berlakon di dalam drama yang bertajuk ‘My Girlfriend is a Gumiho’ dan dia membawa pakaian bayi itu bermula dengan hanya sekadar gurauan, dan mahu untuk tunjukkan sahaja kepada Lee Seung Gi.


“Rezeki saya kerana saya dapat bagi pakaian ini secara langsung kepada Lee Seung Gi,” katanya dalam temu ramah menerusi DM TikTok.


Melalui video yang tular baru-baru ini di media sosial X dan TikTok, kelihatan riak wajah Lee Seung Gi gembira selepas menerima pakaian bayi itu daripada Saadiah di atas pentas.


“Sewaktu saya bersama peminat lain di bawah pentas lagi, Lee Seung Gi sudah perasan akan pakaian bayi itu dan dia sudah ketawa melihat pakaian itu.


“Lee Seung Gi mungkin tidak menyangka yang dia akan menerima hadiah pakaian bayi daripada peminatnya,” katanya.


Para peminat Lee Seung Gi terutamanya peminat Malaysia sangat gembira akan berita kehamilan isterinya dan Lee Seung Gi bakal menjadi seorang ayah.


“Selepas dapat tahu berita tentang kehamilan isterinya, saya sangat tidak sabar untuk melihat Lee Seung Gi menjadi seorang ayah nanti.


“Kita sebagai peminat akan sentiasa menyokong dia dalam kerjayanya dan akan menantikan aktiviti-aktiviti dia yang akan datang,” katanya lagi.


Ramai peminat Lee Seung Gi turun hadir ke MyTown untuk menyambut kehadirannya dengan penuh semangat serta menciptakan satu suasana kegembiraan dan kehangatan yang tidak dapat dilupakan.


Suasana di MyTown menjadi semakin meriah dengan kehadiran dan sorakan dari ramai peminat yang bersemangat untuk menyambut dan berinteraksi dengan Lee Seung Gi, menciptakan kenangan yang tidak boleh dilupakan untuk artis tersebut walaupun acara ini berlangsung dalam jangka masa yang singkat.


Lee Seung Gi juga memberi kejutan yang dinanti-nantikan untuk para peminat yang hadir pada hari tersebut dengan menyanyikan lagu tema yang dinyanyi olehnya daripada salah satu drama terkenalnya, ‘My Girlfriend is a Gumiho’ yang bertajuk Losing My Mind.


377 views7 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page